Saturday, October 27, 2012

Aidiladha, Pengorbanan dalam Bernegara dan Kepedulian Anak Muda

Simbolik kedatangan 10 Zulhijjah atau Aidiladha yang disambut seluruh umat Islam diseluruh dunia saban tahun wajar dihayati dalam aspek pengorbanan dalam bernegara dan kepedulian anak muda terhadap masa depan tanahair.

Anak muda seharusnya tidak terperangkap dengan janji-janji atau omongan-omongan pemain-pemain politik tempatan tidak mengira pihak Pemerintah atau Pembangkang. Anak muda seharusnya memiliki fikrah yang utuh dan juga jiwa yang besar dalam menilai setiap janji yang diungkapkan oleh politikus. Malah, tidak keterlaluan anak muda harus menjadi vocal dalam menilai setiap tindak tanduk mereka-mereka yang berada di Koridor Kuasa sementelah kita ini merupakan pewaris masa depan negara.

Pengorbanan pejuang-pejuang Kemerdekaan adalah tidak bermakna sekiranya kita terus menerus menutup mata, membiarkan wabak korupsi dan penyelewengan kuasa terus menjangkiti system pemerintahan Negara.

Persoalan utama yang harus kita muhasabahkan sempena dengan kehadiran Aidiladha ini adalah system pengurusan dan penyampaian Kerajaan yang telah dihinggapi wabak ini selama 55 tahun hasil pemerintahan UMNO/BN. Ia adalah sesuatu yang sangat busuk lagi membusukkan hingga mengakibatkan daya saing kita terus merosot.

Wabak korupsi ini semakin membusukkan sewaktu pemerintahan Tun Mahathir, di kala Dasar Penswastaan dilaksanakan hingga muncul beberapa konglomerat UMNOputera yang segera mendaki puncak kekayaan dengan berselindung di sebalik Dasar Ekonomi Baru memunggah hasil khazanah Negara untuk memenuhkan kantung sendiri. Hendak jalan mudah, beri rasuah sana, duit kopi sini, komisyen sana, komisyen sini, daripada Menteri hinggalah Pembantu Tadbir, semuanya rosak ibarat sinki bocor yang mengalirkan untung kepada orang yang terpilih.

Ketirisan, kepincangan dan ketidakteguhan prinsip telah di dedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Segenap lapisan aparat Pemerintahan Negara berhadapan dengan keadaan ini. Bekalan Peralatan yang dihantar ke rumah individu, bekalan bahan makanan untuk pelajar yang rendah mutu hinggalah pendedahan beberapa GLC milik Kerajaan Negeri yang memiliki saham dalam industry yang disifatkan sebagai memeras kantung rakyat. Pemberian komisyen juga semakin parah. Bukan setakat pembelian Kapal Selam dikaitkan dengan pemberian komisyen malah kini ia melarat kepada pemberian Geran Kebajikan untuk Persatuan Bekas Polis Malaysia. Inilah masalah fundamental utama Negara, janji ditepati, janji manismu, segalanya memerlukan komisyen.

Di sebalik pelbagai janji cakerawala Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri tempohari, Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah menyatakan secara jelas akan kemungkinan tariff elektrik akan dinaikkan. Inikah janji mensejahterakan rakyat yang gah disebut Najib dalam Bajet 2013? Rakyat khasnya anak muda perlu terus menolak BN dalam PRU 13 agar usaha terancang Rejim BN dalam memperdayakan rakyat melalui gula-gula Bajet 2013 dan kemudiannya menarik semula segala nikmat itu melalui kenaikan harga gula, kenaikan tariff utility dan juga pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Rakyat patut sedar sehingga kini RUU GST tidak pernah ditarik balik, sebaliknya ditangguhkan dari perbahasan di Dewan Rakyat. Najib dan kroni sedang menunggu masa yang sesuai untuk menyedut kantung rakyat.

Manakala, mereka-mereka yang sedang mengintai peluang dan ruang untuk berada di Koridor Kuasa juga tidak harus lupa akan jeritan rakyat. Polisi yang sedang dirangka tidak harus indah di mata tetapi perlaksanan fizikal itu juga haruslah indah. Sikap seperti Rejim BN yang gemar memberi janji indah tanpa perlaksanaan rapi haruslah diubah.

Pendedahan berhubung pegangan saham sebuah GLC milik Kerajaan Negeri dalam syarikat IPP dan konsesi Tol harus segera diperjelaskan. Apakah “Lucrative Investment” itu terus menenggelamkan prinsip dan janji-janji yang dimeterai di dalam beberapa dokumen? Alasan, bahawa ia diwarisi daripada Pemerintah lama juga merupakan satu alasan tipikal atau “Lame Excuses” yang sekadar hanya untuk melepaskan diri semata-mata.

Sudah sampai masanya, anak muda harus bangkit menegur politikus-politikus di Koridor Kuasa ini untuk melaksanakan prinsip yang diperjuangkan. Bukannya sekadar retorika jalanan menyedapkan halwa rakyat. “Walk the Talk” harus dibisikkan di telinga mereka.

Banyak lagi yang boleh dicoretkan, Kadar Hutang Negara yang mencecah RM 500 billion, terus meningkat tanpa diperlihatkan langkah-langkah untuk mengawalnya. Sudah pasti kita tidak mahu melihat Negara tercinta ini mengalami nasib yang sama seperti Greece. Kesan kebankrapan itu pasti akan menyebabkan situasi Negara kucar kacir dan rakyat akan terpaksa menghadapi bahana tersebut. Kesan kenaikan kos sara hidup semasa Negara turut menghimpit pemikiran kita. Anak muda ketika ini, sudah menjadi umpama robot. Keluar setiap hari mencari rezeki agar dapat digunakan untuk membayar kos-kos sara hidup harian. Bekerja pagi hingga ke petang untuk melunaskan tuntutan bil utility, PTPTN, kereta, rumah sewa, makan dan minum hinggakan ada di antara kita yang tidak dapat menghulurkan sedikit wang tanda ingatan dan menghargai jasa kedua ibu bapa yang telah membesarkan kita selama ini.

Sempena kedatangan Hari Raya Aidiladha ini dapat kita bersama-sama insafi pengertian sebuah pengorbanan agar masa depan Negara ini terus bergemerlapan tanpa penindasan terhadap mana-mana entity di dalamnya. Anak muda juga perlu berani untuk bersama-sama di dalam pertempuran terhebat dalam sejarah tanahair iaitu PRU 13. Anak muda harus keluar menjadi agen-agen penyampai maklumat. Rejim yang korup dan menindas rakyat harus kita singkirkan.


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

Ahmad Anwar Asyraf Ismail
Penyelaras
SAMM Johor

No comments:

Post a Comment