Sunday, March 31, 2019

Mohammad Hassan Teknokrat Palsu (siri 1)

Kenyataan Umum
28 Mac 2019

1. Pilihanraya ini merupakan ibu kepada pilihanraya kecil pasca PRU 14 kerana jelas ia penentu masa depan politik Pemangku Presiden Umno bekas parti paling dominan selama ini di Malaysia sejak merdeka. Jika Umno kalah bukan sahaja Mohammad Hassan akan tamat karier politiknya malah Umno itu sendiri pasti menerima tamparan yang sangat berat ketika usaha mahu bangkit selepas kekalahan teruk tanpa disangka PRU lepas.
2. Bagi pihak PKR pula sudah memutuskan dan diumumkan melalui beberapa kenyataan umum imej Anwar Ibrahim sebagai taruhan dalam pilihanraya ini. Maka pastinya PRK Rantau ini menjadi perhatian.
3. Langkah kempen PRK Rantau kali ini nampaknya dimulakan dengan isu penjualan arak di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC). Saya dengan ini menyatakan sokongan penuh bersama teman – teman yang lain ke atas pengumuman YAB Menteri Besar Negeri Sembilan yang menyatakan larangan penjualan arak di SIGC. Ini satu langkah yang sihat dan bijak. Arak bukan lambang kemewahan jauh lagi tidak ada kaitan dengan sukan maka larangan itu sewajarnya dilihat dari aspek positif. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam Negeri Sembilan yang juga merupakan Pengerusi SIGC membuat larangan tersebut amat bersesuaian. Malah ketegasan Menteri Besar menyatakan dia akan meletakkan jawatan selaku Pengerusi SIGC jika SIGC ingin meneruskan penjualan arak.
4. Namun pengumuman Menteri Besar tersebut telah disanggah melalui satu mesyuarat agong luar biasa SIGC yang memutuskan meneruskan penjualan arak bersesuaian dengan ‘perlembagaan SIGC’ itu sendiri. Jawatankuasa SIGC pasti tidak berani melakukan aksi mesyuarat agong luar biasa bagi melanggar arahan MB jika tidak punya asas kukuh. Perlu diketahui puncanya ialah sememangnya wujud perlembagaan SIGC yang Datuk Seri Utama Hj Mohammad Hj Hassan (ketika menjadi Menteri Besar) sendiri telah menandatangani dokumen perlembagaan SIGC pada 2009 yang memberi "kebebasan" khusus kepada SIGC menjual dan menghidangkan arak.
5. Ini perlu diketahui umum, ahli politik bakal calon UMNO - BN Rantau yang juga mengetuai UMNO
yang kini bercakap soal Melayu dan Islam tetapi dialah yang menandatangani dokumen menghalalkan penjualan arak di Kelab Golf yang asetnya milik kerajaan negeri, kerana tandatangan kebenaran tersebutlah MB kini gagal untuk menghalang penjualan arak. (rujuk lampiran)


6. Akhirnya Menteri Besar mengumumkan perletakan jawatan, saya mengucapkan tahniah atas ketegasan serta sikap cakap dan buat tersebut. Namun semalam ada bekas setiausaha SIGC mengeluarkan kenyataan dipetik media memperlekehkan Menteri Besar Negeri Sembilan kononnya jika mahu meletakkan jawatan selaku Pengerusi SIGC , perlu meletakkan jawatan selaku MB dahulu kerana kononnya perlembagaan SIGC menyatakan Menteri Besar wajib menjadi Pengerusi SIGC.
7. Ini satu usaha memperlekehkan institusi rakyat yang diangkat atas suara demokrasi rakyat. Siapa SIGC yang mahu angkuh dan sombong. Rakyat NS angkat Menteri Besar bukan SIGC, malah ingat SIGC pun padang golf nya itu tanah kerajaan negeri. Jangan sampai ada usaha desak tutup sahaja SIGC untuk gunakan tanah tersebut dengan lebih bermanfaat pada rakyat terbanyak.
8. PRK Rantau ini bagi Umno mereka bangga mempertaruhkan Mohammad Hassan kononnya seorang ahli politik bersih dan bijak. Namun disini saya umumkan sepanjang kempen PRK ini kami akan gunakan untuk mendedahkan siapa sebenar Mohammad Hassan. Rakyat perlu tahu Mohammad teknokrat palsu.
9. Satu pasukan ‘pencari bukti dan data serta penyusun maklumat’ telah memulakan kerja hampir sebulan, kini diperingkat akhir bagi menyiapkan siri pendedahan Mohammad teknokrat palsu. Banyak dokumen, maklumat dan data telah disusun yang sudah tentu akan juga kami panjangkan dalam bentuk laporan kepada pihak berkuasa.
10. Banyak sebenarnya kepincangan dalam pentadbiran Mohammad yang diselindungkan konon dengan imej bijak dan bersihnya. Dia bijak menyusun imejnya bagi mengaburi rakyat. 
11. Menteri Besar diperbadanankan (MBI) merupakan entiti terbesar yang mengawal semua ‘perniagaan’ bagi pihak kerajaan Negeri Sembilan. Berdasarkan penemuan dibawah kerajaan Barisan Nasional perniagaan sepenting ini hanya mempunyai 2 orang kakitangan dan dua orang lembaga Pengarah iaitu Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja. Ini menjadikan MBI satu organisasi tertutup dan tidak ada proses check and balance. Semua keputusan mutlak Menteri Besar. Malah MBI ketika itu tidak memberi akses tanpa had kepada juruaudit. Ini disyaki kerana bagi mudah melindungi rekod kewangan yang tidak teratur terutamanya akaun 3 (CSR). Kami juga menemui banyak bayaran tanpa rekod dan juga pembayaran dibuat tidak melalui tatacara kewangan sepatutnya seperti voucher pembayaran tidak ditandatangani.
12. Semuanya kami akan dedahkan satu persatu dalam siri pendedahan ini. Itu belum termasuk bagaimana Kerajaan melalui MBI telah menandatangani dokumen perjanjian tanah walaupun tanah tersebut sendiri tidak mempunyai ‘title’ bukan sedikit tetapi 2585.09 hektar. Senarai pajakan tanah melalui MBI dilihat sangat bermasalah dan merugikan MBI. Menyerahkan projek kepada pihak yang tidak berkelayakan. Pemilihan rakan usahasama tanpa penilaian sewajarnya merekodkan jutaan kerugian.
13. Kita punya rekod panjang senarai tanah kerajaan negeri yang akhirnya bertukar tangan dengan diskaun premium bagi projek komersil dengan nilai sangat tidak munasabah. Terdapat juga tanah hutan simpan yang digazet semula sebagai kawasan pertanian namun selepas pengeluaran balak, projek pertanian tidak dilakukan.
14. Banyak tatacara pengurusan yang tidak mengikut proses yang betul sehingga memberikan kesan sehingga ke hari ini akan didedahkan sedikit demi sedikit. Rakyat perlu disedarkan imej Mohammad sebagai bersih dan teknokrat pemimpin hebat cuma ilusi semata.

che’GuBard (Badrul Hisham Shaharin)
Bekas ahli MPP PKR
Bekas Ketua Cabang PKR Rembau