SEREMBAN – "Saya terkejut apabila tidak dibenarkan masuk," kata Setiausaha Pemuda MIC negeri, S. Satish Kumar.
Satish Kumar mendakwa dia dimalukan apabila dihalang masuk ke bangunan
MIC Negeri Sembilan, kelmarin ketika hadir untuk menyerahkan satu
dokumen.
Lebih menghairankan, katanya, larangan tersebut dikatakan arahan daripada Pengerusi MIC negeri, Datuk T Rajagopalu.
Menyorot
kembali kejadian kira-kira 2.30 petang itu, Satish Kumar berkata, dia
datang ke bangunan MIC negeri di sini kerana mahu menyerahkan beberapa
dokuman penting berhubung masalah rakyat.
“Saya terkejut apabila Setiausaha Kerja Rajagopalu tidak membenarkan
saya masuk dan meminta saya pulang. Dia memberitahu arahan itu datang
dari Rajagopalu.
“Saya tidak faham kenapa beliau mengeluarkan arahan demikian sedangkan
saya tidak mempunyai sebarang rekod buruk atau masalah dengan parti,"
katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Beliau yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Kuala Pilah berkata, masalah
itu mungkin berpunca daripada tindakannya memperjuangkan Sekolah Jenis
Kebangsaan (SJK) Tamil Kuala Pilah, baru-baru ini.
"Tindakan saya itu mungkin dianggap melebihinya selaku ketua dalam MIC.
Saya hanya menjalankan peranan saya sebagai pemuda MIC dan isu itu kita
perjuangkan sejak 2009 lagi," katanya.
Sementara itu Ketua Pemuda MIC Negeri, Palani Mahadevan berkata, beliau
kesal kejadian tersebut dan akan membawanya kepada Pemuda MIC peringkat
pusat untuk dibincangkan.
Dalam pada itu, Rajagopalu ketika dihubungi Sinar Harian, semalam menafikan ada mengeluarkan arahan tersebut.
"Saya tidak bagi arahan seperti itu dan saya rasa telah timbul salah faham kepadanya.
“Sebenarnya dia sendiri bermasalah kerana saya ada terima aduan daripada
MIC Bahagian Kuala Pilah berhubung kelakuannya," katanya.
Berikutan itu, Rajagopalu berkata, beliau akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Satish Kumar.
Sumber : Sinar Harian
No comments:
Post a Comment