Wednesday, May 20, 2009

Tok Mat 'nakal' tembak peluru angin...



Hari ini che'GuBard mendapat ratusan sms, panggilan telefon dan email mengenai benarkan dua ADUN keADILan akan meletakkan jawatan ?

Ruangan Nasional, Berita Harian melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan bahawa sekurang kurangnya dua wakil rakyat pembangkang akan meletakkan jawatan.

Kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan ini sebenarnya hanya menggambarkan 'kenakalannya' dan umpama menembak peluru angin.

Kenyataan ini lebih kepada usaha Pengerusi Umno tersebut yang mahu mengalihkan isu dan perhatian ahli Umno dari krisis dalaman yang berlaku dalam parti Umno dan Bn itu sendiri.

Bn di peringkat pusat sedang bergolak dengan kenyataan dan pergeseran terbuka. Umno yang takut akan kuasa rakyat yang bersungguh - sungguh mengelakkan pilihanraya sedang ditempelak oleh rakanya dalam MCA dan Gerakan yang mahukan pilihanraya di Perak. Pergolakan dalaman PPP mula sudah membabitkan pemimpin lain di dalam Bn.

Di Perlis Umno yang gagal menyelesaikan masalah dalaman terus melantik Menteri Besar sebagai Pengerusi Perhubungan dimana telah menyebabkan sekurang kurangnya 1000 ahli Umno keluar parti secara terang menyertai keADILan.

Di Terengganu walaupun di pangku oleh Naib Presiden merangkap Menteri Dalam Negeri gagal mengawal dan menenangkan pertembungan kem bekas Menteri Besar dan kem Menteri Besar sekarang sehingga membawa kepada ancaman bunuh.

Di Pahang Umno Bahagian teruk bertembung dengan Menteri Besar Pahang dengan saling membogelkan diri dalam pendedahan isu rasuah. Namun Polis mahupun SPRM gagal menjalankan peranan masing - masing dalam menyiasat pendedahan yang dilakukan.

Di Selangor protes senyap kem penyokong bekas calon Timbalan Presiden dan bekas Pengerusi Perhubungan serta kem bekas Menteri Besar Selangor yang kalah Ketua Pemuda makin terasa. Usaha melantik bekas calon Ketua Pemuda sebagai Ketua pemikir Umno Selangor tidak memadamkan sama sekali protes senyap yang masih berterusan.

Di Negeri Sembilan khususnya masalah dalaman Umno makin parah. Seorang ahli Parlimen yang pernah kononya menuduh 'seorang budak pejabat bank' dihantar oleh Anwar untuk membelinya sedang heboh mempersiapkan diri sebagai bakal MB kononya kerana hubungan baiknya dengan Presiden Umno. Antara serangan yang dilakukan kepada Pengerusi Umno Negeri Sembilan ialah orang Pak Lah, budak Khairy Jamaluddin dan menguruskan Umno secara adik beradik. Tuduhan orang Pak Lah atau budak Khairy cukup ditakuti dalam Umno setelah melihat bagaimana Khairy diperlakukan oleh Najib dengan tidak menamakan beliau dalam kabinet walaupun menang Ketua Pemuda.

Bukan menjadi rahsia tuduhan ahli Umno yang menyatakan betapa pengurusan Umno dan Kerajaan negeri dikuasai oleh Mohamad Hasan, Azman Hassan (abangnya) dan adik beradiknya yang lain. Malah dalam banyak perkara Azman (Datuk) dilihat lebih berkuasa dari Mohamad.

Tidak tahan dengan tekanan yang diberikan maka sebaik sahaja sah Najib menjadi Presiden Umno, Mohamad perlu cepat membuat penyesuaian semula. Maka abangnya terpaksa berundur. Protes dari bahagian Umno masih kuat seperti dari Umno Bahagian Seremban.

Kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan tersebut telah dibantu dengan penulisan berita yang sengaja berniat jahat dengan menyataakn penafiaan dua ADUN keADILan iaitu ADUN Sikamat dan ADUN Ampangan.

Semua ini che'GuBard sekali lagi menganggap ia cuma usaha nakal dan terdesak Mohamad. Ini menggambarkan Umno yang tak henti - henti berpolitik.

che'GuBard mengajak Mohamad selaku Menteri Besar Negeri Sembilan untuk henti hanya bermain politik sebaliknya memberikan tumpuan kepada isu pentadbiran dan kebajikan rakyat.

Pusat Khidmat Rakyat Rembau (PKR) yang dikendalikan oleh keADILan Rembau sendiri mempunyai berpuluh kes keluarga miskin dan susah serta Aduan rakyat yang lama tidak selesai dalam DUN Rantau yang diwakili Menteri Besar sendiri.

Hampir semua pengadu menyatakan bawah mereka telah pergi mengadu ke Bn atau kerajaan namun setelah gagal diselesaikan baru dibawa ke pengetahuan keADILan Rembau. Tanpa ada sumber keADILan Rembau tetap terus membantu rakyat termasuk dalam DUN Rantau yang tidak mendapat perhatian Menteri Besar.

Lebih parah lagi bantuan dari kerajaan seperti dari Jabatan Kebajikan telah dipolitikan. Ada keluarga atau individu layak diketepikan hanya kerana mereka dikaitkan dengan parti selain Bn dan menambah lekib parah lagi apabila Datuk Ishak, Ketua Bahagian Umno Seremban sendiri menyatakan kes kepayahan rakyat yang diketengahkan oleh beliau juga diketepikan, mungkin kerana dia tidak sebulu dan pernah membuat laporan rasuah mengaitkan Mohamad Hasan sekeluarga.

Jika Menteri Besar berhenti bermain politik dan 'berniaga' sebaliknya menumpukan kepada kebajikan rakyat maka sudah tentu rakyat akan lebih bertuah. Malangnya tidak di Negeri Sembilan, rintihan rakyat tidak dilayan. Menteri Besar yang sibuk berpolitik dan berniaga ini pula sering menggunakan media dengan memberikan liputan luar biasa terhadap usaha sedikit seperti menyampaikan beras sekampit dan sebagainya. Bantuan JKM mahupun pusat zakat diberikan imej Umno dan rakyat dipaksa berterima kasih dengan Umno.

Dalam Rembau di mana Mohamad sendiri Ketua Bahagian Umnonya, telah muncul perbagai isu yang tidak berkesudahan seperti Isu tanah Sendayan. Sekurang kurangnya 13 keluarga Melayu lagi masih tergantung kesnya di mahkamah. MB seharusnya perihatin tetapi sebaliknya hanya berkeras memberikan kata dua dan tawaran tanpa mendengar rintihan masalah sebenar.

Pemilik tanah adat di Kampung Chengkau, Kampung Waris dan kawasan sekitarnya yang terjejas kerana projek landasan berkembar keretapi langsung tidak mendapat perhatian Mohamad. Tanah mereka akan dirampas dibawah Akta Pengambilan Tanah dengan harga RM1.20 sekaki. Harga yang terlalu jauh lebih murah dari harga yang diletakkan oleh jurunilai. Penduduk berkeras isunya mudah pampasan tak masuk akal, mereka bukan menolak pembangunan sebaliknya memohon hak tanah mereka. Mereka mahu tanah mereka diganti di dalam kawasan Rembau semula. Tanah Adat (tanah rizab Melayu) ini maruah keluarga mereka mereka tidak mahu melihat keluarga mereka hilang tanah. Mereka telah pergi ke banyak pihak termasuk cuba berjumpa Mohamad namun gagal mendapat perhatian. Jika tidak kena gaya dua minggu dari sekarang 40 buah rumah akan menyembah bumi, akan sekali lagi peristiwa Kampung Berembang, Selangor akan berlaku. Mohamad tidak punya masa buat mereka, keADILan Rembau semalam telah bertemu dengan wakil penduduk terbabit.

Di Selangor berita gembira buat rakyat orang Asal apabila kerajaan Pakatan Rakyat Selangor membatalkan saman terhadap tanah orang asal yang mahu diambil kerajaan Bn dahulu. Malah hak milik diperolehi oleh orang asal terbabit. Malangnya di Negeri Sembilan, penduduk orang asal yang telah meneroka tanah sejak ratusan tahun di Kampung Tangai Gua Batu Maloi (sempadan Rembau - Tampin) sedang tidak nyenyak tidur apabila tanah mereka hendak dirampas untuk membangunkan kawasan pelancongan. Mereka yang tidak mempunyai hak undang - undang ke atas tanah itu sudah mendapat surat arahan 'menghalau' dengan mengosongkan tanah. Mereka juga sudah pernah naik bas ke Seremban untuk bertemu MB namun gagal. keADILan Rembau juga sudah bertemu wakil mereka berbincang mengenai masa depan mereka.

Itu baru cheGuBard singkap masalah dalam rekod Pusat Khidmat Keadilan Rembau.

Keadilan Rembau yang tidak mempunyai sumber, tidak mempunyai kuasa malah ditindas dihimpit dengan menggunakan perbagai aparat di bawah regim tetap terus menghayun langkah tidak kira semak atau rimba, siang atau malam, hujan atau panas akan terus membela dan memperkasakan rakyat.

Kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang dikenali sebagai tokoh korporat berhentilah 'berpolitik dan ' berniaga' berikanlah tumpuan pada rakyat.

1 comment: