Wednesday, September 16, 2015

Mekah berubah menjadi tanah elitis

Kenyataan Umum
14 September 2015
Mekah Berubah Menjadi Tanah Elitis
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merasa amat dukacita dengan insiden kren pembinaan jatuh di kawasan Masjidil Haram, Mekah, Arab Saudi. Takziah kepada semua waris-waris mangsa yang meninggal dunia khususnya warga Malaysia. Moga "syahid" buat mereka di sana.
SAMM melihat insiden ini berlaku berpunca daripada kecuaian keselamatan di tapak projek. Kerajaan Arab Saudi harus bertanggungjawab sepenuhnya di atas kemalangan yang dahsyat ini. Bagaimana kren pembinaan boleh runtuh ketika jutaan umat Islam dari serata dunia tertumpu untuk melaksanakan Rukun Islam yang kelima ini? Seharusnya Arab Saudi mempertingkatkan aspek keselamatan menjelang musim haji ini. Kontraktor kapitalis kaya yang meraih untung tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
Isu ini juga perlu dilihat sebagai kegagalan bukan sahaja Arab Saudi malah dunia Islam keseluruhannya dalam mempertahankan kesucian dan warisan sejarah Islam di Tanah Haram. 85% warisan Islam telah dimusnahkan kononnya atas nama pembangunan.
Kaabah - kiblat umat Islam ketika solat, kelihatan sangat kecil, tersembunyi disebalik binaan hotel-hotel mewah. Monumen-monumen mewah bertambah banyak dan Mekah telah bertukar dari kota ibadah kepada pusat membeli belah. Mekah kini menjadi kota elitis.
Mekah turut terperangkap dengan perlumbaan menonjolkan kelas kehidupan manusia. Tidak lagi menonjolkan ajaran Islam bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah, yang membezakan hanya iman dan taqwa.
SAMM juga amat kesal dengan sikap negara-negara Islam, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan, khususnya Malaysia yang selama ini mengambil pendirian berdiam diri terhadap tindakan Saudi tersebut. Rentetan itu, SAMM berpandangan sudah tiba masanya untuk dunia Islam memikirkan secara serius agar Tanah Haram ini harus ditadbir oleh sebuah jawatankuasa bebas Islam Sedunia.
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah
Pemikir Kaum Muda SAMM

No comments:

Post a Comment