Monday, March 02, 2009

Kerajaan Perpaduan cadangan yang ibarat masuk “lubang ular” dua kali


SIASAH dalam keluaran terbarunya melaporkan cadangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, agar semua parti-parti politik di negara ini bersatu untuk agenda yang lebih besar negara iaitu bekerja untuk kepentingan rakyat.

Beliau mencadangkan pengalaman Habibie, Presiden Indonesia selepas Suharto, membentuk kerajaan perpaduan di negara itu dijadikan contoh ikutan.

Dalam kerajaan perpaduan itu, semua parti politik bersatu dalam kerajaan dan bekerja untuk matlamat bersama.

Saya membantah keras cadangan Presiden PAS ini dengan menghujahkan tiga perkara berikut:

  1. Sejarah DEB dan PAS dalam Barisan Nasional

Selepas berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969, Tun Razak Hussein yang pada ketika itu memimpin Umno menjemput PAS untuk menyertai Barisan Nasional diatas alasan perpaduan Melayu.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan kononnya untuk membantu bangsa Melayu dan penduduk pribumi yang ketinggalan dari segi ekonomi berbanding dengan kaum-kaum lain.

PAS akhirnya ditipu dan ditendang dari Barisan Nasional sementara DEB telah diperalatkan untuk mengayakan kroni-kroni Umno dan Barisan Nasional.

Setelah berpuluh tahun DEB dilaksanakan, bangsa Melayu penduduk pribumi masih lagi terbiar dan merempat di Malaysia.

Sejarah Malaysia telah membuktikan bahawa politik dan ekonomi mempunyai perkaitan yang rapat dan tidak mungkin “samseng-samseng” dalam Barisan Nasional akan melepaskan kepentingan ekonomi yang telah mengenyangkan perut mereka.

Krisis politik di Perak telah membuktikan bagaimana Umno dan Barisan Nasional yang telah hilang pegangan ekonomi selepas pilihanraya 8 Mac telah berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dipilih oleh rakyat.

Jadi, teori untuk melaksanakan “gencatan senjata” politik untuk memperbaiki keadaan ekonomi adalah tidak waras sama sekali.

  1. Ketakutan kepada bakal PM, Najib Razak

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seringkali mengeluarkan kenyataan agar Abdullah Badawi terus kekal sebegai Perdana Menteri Malaysia sehingga pilihanraya akan datang.

Setelah melihat gerakan untuk mempertahankan Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri lemah dan tidak popular, kenyataan Presiden PAS mencadangkan agar kerajaan perpaduan ditubuhkan sebagai ketakutan terhadap Najib Tun Razak.

Umum mengetahui bahawa Najib Tun Razak mempunyai gaya pemerintahan yang keras dan ganas tambahan lagi beliau mempunyai rekod dikaitkan dengan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang sehingga kini menjadi buah mulut orang ramai. Malah apa yang berlaku kebelakangan ini seperti penggunaan secara tanpa raa malu jentera kerajaan secara amat melampau seperti SPRM, menculik wakil rakyat, ugutan dan seumpamanya ialah gerakan terancang Najib dalam persediaan menjadi Perdana Menteri Malaysia. Dan bayangkan apa yang akan berlaku selepas dia disahkan sebagai PM

Dikala Barisan Nasional sedang lemah akibat daripada kekalahan yang teruk dalam pilihanraya 8 Mac 2008, Presiden PAS seperti mahu menampal lubang-lubang yang terdapat pada kapal yang hampir karam pada ketika beliau seharusnya membangkitkan semangat rakyat untuk terus melawan Barisan Nasional yang zalim, rasis dan fasis.

Presiden PAS dilihat sebagai bernostalgia mengenai apa yang pernah berlaku dizaman ayah Najib dahulu tetapi terlupa bahawa PAS juga dikhianati akhirnya.

Sejarah dinegara-negara jiran kita seperti Filipina dan Indonesia telah membuktikan bagaimana pemerintah yang diambang kejatuhan akan mengganas untuk mempertahankan kuasanya. Ini dapat dilihat dengan pembunuhan dan penculikan yang berlaku terhadap aktivis-aktivis di Filipina dan Indonesia sebelum jatuhnya Marcos dan Soeharto.

Sama dengan situasi di Malaysia. Najib Tun Razak adalah benteng terakhir kepada Barisan Nasional. Beliau akan melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan dirinya dan regim Barisan Nasional.

Seharusnya pada ketika ini, Presiden PAS memberitahu kepada rakyat agar beristiqamah untuk terus berjuang melawan kezaliman dan penindasan sehingga ketitisan darah yang terakhir bukannya menyerah dan menyelamatkan kapal yang hampir karam.

  1. Kedudukan dan jawatan

Harapnya kedudukan dan pangkat bukan menjadi motovasi kepada Presiden PAS untuk mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan?

Sedarlah ramai rakyat yang mahukan perubahan mula meragui apabila melihat peristiwa “muzakarah” diantara PAS dan Umno yang berlaku selepas pilihanraya 8 Mac yang lalu. Di Selangor, pimpinan PAS bertemu dengan Umno untuk membincangkan mengenai perkongsian kuasa dinegeri itu dimana jawatan Menteri Besar ditawarkan kepada PAS.

Harapnya cadangan kerajaan perpaudan dengan bersama Umno / Barisan Nasional dalam kerajaan perpaduan, bukan kerana PAS mengharapkan untuk menguasai beberapa negeri termasuk mendapat jawatan diperingkat pusat?

Apakah Presiden PAS mahu mengkhianati amanat dan undi yang telah diberi oleh rakyat?

Diharapkan agar Presiden PAS dapat memikirkan kembali cadangan beliau tersebut agar rakyat tidak terkeliru dengan hala tuju perjuangan.

Di kala “mood rakyat” bersama dengan Pakatan Rakyat untuk perubahan, tokoh besar seperti Datuk Seri Abdul Hadi harus tampil dengan lebih jelas. Regim zalim Bn harus ditumbangkan sepenuhnya.

Pada ketika diserang disegenap penjuru oleh Barisan Nasional, parti komponen Pakatan Rakyat seharusnya bersatu dan berganding bahu bagi memimpin rakyat menuju perubahan yang semakin hampir dan bukannya “masuk gear reverse” dan memadamkan arus perjuangan.

Percayalah dengan kekuatan rakyat !!!

1 comment:

  1. Anonymous12:50 PM

    Pas akan musnahkan parti itu kalau setuju dengan kerajaan campuran BN

    ReplyDelete