Monday, March 02, 2009

Tan Malaka Che' Asia


Oleh Hafiz Hamzah

“Kemerdekaan (politik) bangsa adalah harus seratus peratus – yakni melalui resistan secara padu ke atas penjajah. Kemerdekaan melalui rundingan dan diplomasi hanya akan menghasilkan kemerdekaan yang tidak absolut dan separuh-separuh terhadap Republik Indonesia.” – Tan Malaka.

Tokoh perjuangan kiri sentiasa mempunyai persona yang memikat. Setidak-tidaknya bagi mereka yang mencari satu sosok inspiratif. Dan ini sama nafasnya dengan semangat dan keyakinan Tan Malaka, seorang warga dengan gagasan idea radikal – dari sudut pandangan penjajah dan juga kelompok diplomasi – yang hanya mahu melihat tanah airnya merdeka penuh daripada tangan penjajah. Bukan separuh-separuh.

Ibrahim Datuk Tan Malaka – nama dan gelar keluarga yang diberikan kepadanya – semenjak hayatnya sudah seorang tokoh legendaris. Dia seorang komunis yang mempunyai pandangan radikal – baik bagi faham komunis itu sendiri. Ini kerana, di kongres Komunis Internasional di Moscow, dia melontarkan pandangangnya yang mencadangkan mereka tetap perlu bekerjasama dengan gerakan Pan-Islam seluruh dunia untuk melawan kuasa Imperialis, sama seperti apa yang sudah beliau lakukan di Jawa. Dia juga ketika hayatnya pernah berjumpa dengan tokoh-tokoh komunis dunia lain termasuk dua kepala besar mereka – Stalin dan Lenin.

Bagi bangsa Indonesia, dia meninggalkan hasil buah fikiran yang tajam di dalam buku-bukunya. Dia adalah orang terawal bertanggungjawab mengimpikan sebuah Republik Indonesia ketika pemimpin-pemimpin mereka yang lain belum mendapat gambaran masa depan yang jelas – seperti yang tertulis di dalam bukunya, Naar de Repuliek Indonesia (Menuju Republik Indonesia) (1925).

Dia sering diburu dan kerap dalam pelarian. Juga dijoloki sebagai ‘Che Guevara’ Asia kerana dia sudah menjelajah hampir separuh dunia untuk keyakinannya yang satu ini – kemerdekaan Indonesia - pada usia muda. Dia melarikan diri ke 11 negara dengan menggunakan 23 nama samaran. Seperti Che, Tan juga penghidap penyakit paru-paru kronik. Juga, tokoh ini pernah mengghuni 11 penjara ketika hayatnya.

Kisah hidup Tan Malaka ini dikupas dengan begitu teliti oleh Tempo – majalah berita mingguan Indonesia – untuk edisi khas sempena ulang tahun ke-63 proklamasi kemerdekaan republik itu tanggal 17 Ogos lalu. Mungkin, Tan Malaka tidak penting bagi kita di Malaysia. Kaitannya dengan negara kita yang ada hanya ini – beliau menggunakan Pulau Pinang. untuk kembali ke Indonesia melalui Medan pada 10 Jun 1942

Malaysia pula ulang tahun kemerdekaannya jatuh pada 31 Ogos setiap tahun, beberapa hari selepas RI. Tetapi, dipagi Ahad itu tahun ini, tak banyak tokoh-tokoh yang dikenang. Mingguan Malaysia hanya kecoh mengambil kedudukan sebagai pemain penting (kononnyaa) untuk membuka diskusi hal-hal politik semasa. The Star ada lampiran khas untuk hal kemerdekaan, tetapi agak ‘kering’ kerana hanya menumpukan sosok Tunku, Tun Razak, Tun Hussein – yang tiap-tiap tahun kita mendengar tentangnya sampai naik jemu.

Namun, kita harus faham. Media perdana akan memenuhi hasrat kelompok pro-pemerintah. Persoalannya, di mana kelibat penulis-penulis lain – penulis bebas, pensyarah universiti, peminat sejarah dan sebagainya – yang mampu membuat laporan ekstensif tentang kisah perjalanan kemerdekaan di sini? Baik pejuang kanan mahupun kiri, kita mahu baca tentang lain-lain kisah mereka ini yang sebelum ini dibiarkan tertimbus oleh versi-versi klise sejarah negara.

Medium media sudah bercambah, cuma tukang kerja mungkin belum bangun. Kita mungkin mahu menghabiskan masa membaca cerita-cerita ini sepanjang hari cuti umum itu berbanding membiarkan ketiak berpeluh ditengah kerumunan orang ramai di Dataran Merdeka menyaksikan acara perbarisan tiap-tiap tahun.

Jika tidak jelas tentang maksud laporan ekstensif dan detail yang dimaksudkan, selak semula hasil kerja - penulis dan penyumbang - di dalam majalah Tempo Edisi Khas 11-17 Ogos lalu. Lihat sendiri bagaimana ketelitian mereka menggarap kisah hidup seorang tokoh penting repulik itu walaupun beliau sudah diluputkan dari ingatan massa kerana dibayangi oleh tokoh-tokoh popular yang lain di sana – dengan pandangan yang ragam dan rencam hasil pengkajian bersungguh-sungguh.

Kita apa kurangnya, banyak juga tokoh yang sengaja dilupakan bukan? Tapi mana usaha untuk memperingati mereka-mereka ini pada sambutan hari merdeka itu sendiri di media massa? (Ya, memang banyak buku-buku menyebut tentang itu-ini, tapi kita memerlukan sesuatu yang aksesibel pada hari merdeka itu sendiri, sekurang-kurangnya. Buku-buku itu mungkin sedang terbungkus di dalam kotak di stor rumah atau belum dibeli.) Sudah sampai masanya media utama kita menyorot cerita tentang warga seperti Tan Malaka ini. kalau tidak sekarang, bila lagi?

2 September 2008

Kisah-kisah tentang Tan Malaka anda boleh layari link di bawah:

http://id.wikipedia .org/wiki/ Tan_Malaka

http://www.marxists .org/indonesia/ archive/malaka/

http://cetak. kompas.com/ read/xml/ 2008/07/07/ 00194311/ tan.malaka. dan.kebangkitan. nasional

http://www.britanni ca.com/EBchecked /topic/582117/ Ibrahim-Datuk- Tan-Malaka

1 comment: