Monday, May 02, 2016

Dihalang di bumi sendiri, Bn Salahguna kuasa

Catatan Umum

2 Mei 2016

1. Sarawak bukan asing bagi SAMM, ia umpama antara lopak permainan aktivis SAMM dan SAMM sendiri punya jaringan di Sarawak dan perbagai aktiviti pendidikan politik berskala sederhana sentiasa berjalan.

2. Contoh November 2013, SAMM sudah memulakan jelajahan pendidikan politik ke pendalaman Baram ketika angin pilihanraya langsung tidak terasa. (klik sini untuk baca lanjut). Berkongsi latihan 'melawan penguasa' dengan orang pendalaman Baram , malah kami berjaya mengumpul sedikit dana bagi sama membina 'dewan rakyat' di Baram.  Saya juga turut terlibat dalam menggerakkan latihan dalaman anggota PKR sehingga ke serambi rumah - rumah Panjang (klik sini untuk angin perubahan ke pendalaman Sarawak atau klik sini untuk membaca Latihan PKR Lanang) tanpa henti sejak 2009.

3. Latihan aktivis juga sentiasa dilakukan dengan perbagai pendekatan secara sederhana besar, malah ada lawatan kerja sempena latihan aktivis mendapat liputan dan protes dari Bn Sarawak (klik sini untuk baca lanjut) Ketika kebanyakan pemimpin politik mendepani Taib dengan begitu berhati hati kerana kononya popularitinya yang hebat, SAMM Sarawak sudah mendepani Taib dengan imej garang dan radikal (klik sini 'Taib penipu" atau klik sini 'Nyah Taib' atau klik sini "ketua Menteri membunuh rakyat")

4. Gerakan berskala sederhana sudah dimulakan seawal 2008 lagi di kawasan seperti Sibu (klik sini untuk baca lanjut) . Malah PRN yang lepas juga saya dan teman - teman aktivis muda punya peranan tersendiri (klik sini dari lensa che'GuBard PRN Sarawak).

5. Perlu diakui PRN kali ini sedikit ada kelebihan kepada Bn kerana mereka telah menggugurkan beban paling besar mereka iaitu Taib Mahmud. Namun ketahuilah ia tidak banyak beza kerana Taib terus punya peranan dan harta rakyat dirompak keluarganya tidak pernah dipulangkan juga (klik sini untuk "laporan kekayaan keluarga Taib")

6. Sememangnya tidak berhenti SAMM menggerakkan pendidikan politik warga Sarawak kerana melihat jangan mimpi untuk membuat perubahan melalui pilihanraya tanpa kesedaran perubahan dari Borneo kerana jumlah kerusi parlimen di Borneo yang banyak.

7. 1 Mei, sempena 'ombakan' akhir menjelang PRN Sarawak ke 11, seramai 21 orang delegasi SAMM Kebangsaan telah dijadualkan ke Sarawak melalui perbagai penerbangan dengan perbagai bahan kempen untuk bergabung dengan aktivis muda tempatan. che'GuBard sendiri bersama Rizal Tahir (Pengarah Kewangan SAMM), Zulkifli Ibrahim (Penyelaras SAMM Kebangsaan) dan beberapa komrad SAMM telah menaiki penerbangan MH2712 8.25 pagi dari KLIA Ke Sibu. Kami membawa 31 kilogram lencana butang Imej Anwar Ibrahim dan bendera tangan PKR yang dimuat dalam guni dan kotak. Juga beberapa puluh banner dan bunting kempen PRN Sarawak dengan imej Anwar Ibrahim. Ketika PRN kali ini Anwar hampir dilupakan tetapi kami datang dengan Imej perjuangan Reformasi dan Anwar.

8. Sampai sahaja di Lapangan Terbang Sibu agak pelik kelihatan kelibat Polis 'airport' dan Pegawai Imigresen lengkap beruniform 'celoreng' sudah kelihatan bersedia. Beberapa komrad diminta keluar dahulu untuk pastikan semua barangan dibawa berjaya dihantar keluar dengan selamat.

9. Dalam kumpulan terakhir che'Gubard dan Zulkifli beratur. Sebaik sahaja menyerahkan 'pasport' ke kaunter imigresen, pegawai di kaunter terus meminta maaf dan terus besuara kuat memanggil 'pegawai- pegawai beruniform' yang kelihatan sememang sudah bersedia. Pasport saya ditangan mereka, manakala Zulkifli sudah mendapat 'cop' kemasukan terhad dan wajib keluar 5 Mei.

10. 10 minit saya 'ditahan' dalam Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Sibu saya ingin bertanya kenapa saya ditahan, semua Pegawai mengelak dan mengabaikan saya, tidak seorang pun mahu bercakap. Kecuali seorang Pegawai dengan sayu datang meminta maaf dan beritahu 'kami memang sedia dan siapa nama 'black list' dalam data kami sekat. Rupanya sempena pilihanraya memang anggota imigresen berpakaian celoreng sentiasa bersedia di sempadan Imigresen. Saya akui hak dan bidang kuasa mereka untuk sekat saya kerana saya disenaraikan tetapi kenapa Zulkifli Ibrahim yang tidak ada dalam senarai dikenakan sekatan.

11. Beberapa minit kemudian Imigresen membatalkan op sekatan yang dikenakan ke atas Zulkifli, dia diarah meninggalkan pejabat Imigresen dan masuk ke Sibu, diiring keluar oleh Polis 'airport'. Seminit selepas itu masuk 2 orang kakitangan MAS, kira - kira 10 orang Polis dan Pegawai Imigresen saya dipaksa mengikuti mereka, diiring sehingga ke pintu pesawat. Saya meminta arahan bertulis saya dihalang masuk, mereka kata perlu arahan 'atasan' untuk memberikan sebarang dokumen bertulis.

12. Rupanya penerbangan ke Kuala Lumpur itu sudah lewat hampir 30 minit dan penumpang jelas tidak selesa menanti termasuk ada kanak - kanak sudah menangis. Saya terpaksa akur melangkah masuk ke perut pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur.

13. Sampai semua ke KLIA menjelang tengahari saya sekali lagi diiring oleh keselamatan lapangan terbang ke Pejabat MAS. Saya diminta menandatangani beberapa dokumen, saya meminta salinan dokumen jika saya tandatangan. Mereka kata perlu arahan 'atas' , saya tidak menunggu lama saya terus melangkah keluar dengan mengatakan jika saya tidak ditahan dan langgar mana - mana undang - undang maaf saya gunakan hak saya untuk tidak disekat.

14. Nampaknya pilihanraya Sarawak kali ini benar - benar menandakan kemuncak kematian demokrasi. (klik untuk baca kenyataan PRN Sarawak - kematian demokrasi). Ya kita hormati hak Imigrasen merupakan hak negeri Sarawak, namun adakah apabila kerajaan yang dibubar untuk mendepani pilihanraya berhak sewenang - wenang menyalah guna kuasa tersebut ?

15. Adnan Satem sendiri membunuh propaganda 1 Malaysia Najib Razak dengan PRN kali ini sentimen anti semenanjung ditiup tanpa selindung. Adnan menyeru menolak parti semenanjung dan memilih parti tempatan seperti PBB SUPP dan lain lain. Wahai pengundi Sarawak ketahuilah selama ini yang sehingga Sarawak tertinggal jauh pembangunan ini ialah kerana kamu memilih parti yang konon parti tempatan tetapi kewujudan parti tempatan inilah seperti Taib Mahmud yang memberi kuasa Kerajaan Pusat bawah Bn terus memeras 'air mata' Sarawak kerana Kerajaan Pusat menutup mata dengan kegiatan menghisap darah oleh Taib yang sehingga kini tersenarai antara keluarga terkaya di dunia.

Perubahan sangat sukar kali ini khususnya apabila sesama pembangkang bertembung sesama sendiri di banyak kerusi (klik sini 'siapa dalang pertembungan?') . Namun bagi pihak SAMM dan aktivis muda che'GuBard merayu agar berilah undi anda kepada selain Barisan Nasional kerana ia bermaksud mengundi 'perubahan'.

barang - barang lepas masuk, terima kasih penyumbang
pas lawatan Zulkifli yang disop sekatan dan kemudian dibatalkan

dalam pejabat Imigresen lapangan Terbang Sibu
antara bahan (lencana butang imej Anwar Ibrahim) yang cheGuBard bawa


Salam perubahan buat semua pengundi Sarawak, insyaAllah selepas pengundian kemungkinan semua larangan digugurkan maka kita akan bertemu dan kita akan teruskan lagi program - program kecil pendidikan kita. Kepada parti pembangkang fahamilah perubahan bukan usaha semalaman, ia usaha berpanjangan tanpa henti, apa juga keputusan PRN ini tolonglah jangan berhenti teruslah berusaha mendidik dan menyedarkan rakyat.

Kepada penyumbang bahan - bahan kempen insyaAllah semua yang dihantar lepas sampai ke bumi Sarawak, cuma kepada penyumbang tiket ke Sarawak maaf che'GuBard gagal masuk. Harapnya ada pihak yang akan saman Adnan kerana salah guna kuasa khususnya dalam perihal Imigresen ini selepas PRN ini, SAMM nak saman kami tak mampu dari segi kewangan.

oleh che'GuBard, SAMM

2 comments:

  1. Anonymous1:33 AM

    It is in point of fact a nice and useful piece of info.
    I'm happy that you simply shared this useful
    info with us. Please stay us up to date like
    this. Thanks for sharing.

    ReplyDelete
  2. Anonymous11:34 PM

    If there are more than two players, sit in a circle.

    ReplyDelete