Tuesday, March 17, 2009

Peneroka Felda Sendayan dakwa kerajaan BN ‘rampas tanah’

PENEROKA Felda Sendayan mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Negeri Sembilan mengunakan taktik kotor untuk merampas tanah bagi tujuan membangunkan kawasan berkenaan.

Menurut salah seorang peneroka, Mustafar Abdul Latif, mereka dipaksa menjual tanah mereka kepada kerajaan negeri tanpa sebarang perbincangan yang dilakukan serta hanya menguntungkan pembeli yang juga kerajaan negeri.

“Kami diberikan harga yang ditetapkan oleh kerajaan negeri untuk membeli tanah tersebut dan kerajaan juga membayar tanah berkenaan dengan cara tersendiri,” katanya ketika ditemui Suara Keadilan.

Jelasnya, masalah yang berlarutan semejak tahun 1996 adalah cadangan kerajaan negeri dengan kempen untuk menjadikan para peneroka sebagai jutawan, namun wang tunai yang diterima oleh mereka tidak sampai kepada angka juta.

Tambah Mustafar, pihak kerajaan pada tahun 2005 telah mencadangkan agar satu skim penyelesaian bagi membayar pembelian tanah yang diambil.

Penawaran berkenaan ialah dengan menyediakan sebuah banglo satu tingkat dan memberi tanah seluas dua ekar serta membayar baki wang pembelian dengan menolak nilai banglo serta tanah yang ditawarkan kerajaan.

“Saya tidak bersetuju dengan pembayaran pihak kerajaan yang memaksa kami memaksa kami membeli semula tanah yang disediakan kerajaan tanpa mendapat persetujuan para pembeli,” katanya lagi.

Mustafar berkata, para peneroka menjual tanah mereka kepada kerajaan dengan nilai RM 3 sekaki walaubagaimanapun, kerajaan memaksa para peneroka untuk membeli semula tanah bagi penganugerahan banglo dan tanah dengan nilai nilai RM 12 dan RM4 sekaki.

Walaupun ditawarkan tanah, menurut Mustafar, ada pihak peneroka tidak tahu dimana wujudnya tanah dan pihak kerajaan telah menawarkan tanah tanpa usul periksa.

“Ada peneroka yang tidak tahu dimana lokasi tanah mereka, dan ada yang ditawarkan tanah di tempat yang tidak munasabah. Sebagai contoh, ada yang ditawarkan tanah diatas jalan raya serta lombong,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, dalam usaha komited untuk membantu rakyat, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan Badrul Hisham Shaharin berkata pihaknya akan membantu peneroka secara terus dalam masalah ini.

Jelasnya, beliau kesal dengan cara kotor Umno yang memonopoli BN untuk menipu pengundi sendiri bagi memenangi pilihanraya dengan menawarkan janji palsu termasuk pemberian tanah berkenaan.

“Kita komited, sejak tahun 2004 untuk membantu peneroka menyelesaikan masalah ini dan secara konsisten untuk mencari penyelesaian kes ini serta kesal dengan BN yang mengunakan keperdulikan seperti ini untuk mendapat undi,” katanya.

Badrul yang juga Ketua KeADILan Rembau berkata, satu majlis penerangan akan diadakan pada 18 April ini untuk mendedahkan pelbagai kekejian BN akan diadakan di Rembau.

“Pada 18 April ini, kami akan adakan majlis penerangan dan para peneroka juga akan memanggil wakil kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN untuk memberi penjelasan mengenai isu yang telah berlarutan sejak 1996,” katanya lagi.

1 comment:

  1. Anonymous11:42 AM

    I think everyone should read Kanun Tanah Negara..kata-kata perlu menggunakan fakta.

    ReplyDelete