Thursday, January 07, 2016

Jangan berhenti desak , tangguh 3 bulan cuma wayang

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Kenyataan Umum

7 Januari 2016

Penggantungan Operasi Bauksit Adalah Kemenangan Pertama Rakyat

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyifatkan pengumuman penggantungan operasi Bauksit selama 3 bulan adalah kemenangan pertama untuk rakyat Pahang khususnya di kawasan yang terjejas. Operasi perlombongan bauksit ini telah pun berlaku dengan sangat lama tetapi rejim Pemerintah agak perlahan dalam penguatkuasaan sehingga telah meragut nyawa dan memusnahkan kelestarian alam sekitar.

Di saat Indonesia, pengeluar ketiga terbesar bauksit pada tahun 2013 melarang pengeksportan mineral ini, Malaysia pula mencipta peningkatan hampir 1400% iaitu daripada 2040 tan pada tahun 2004 kepada 208,770 tan pada tahun 2014. Walaupun SAMM memahami bahawa industri bauksit ini boleh menjana pendapatan kepada negara, tetapi seharusnya rejim Pemerintah turut mengambil berat soal kelestarian alam dan kesejahteraan kesihatan umum.

Apakah Pemerintah tidak boleh mengenakan syarat ketat kepada pemain industri supaya tidak merosakkan alam seperti yang dilakukan oleh Australia? Mengapa Pemerintah tidak melihat kepada amalan baik pengurusan Bauksit seperti yang dikeluarkan oleh International Aluminium Institute (IAI)? Rejim Pemerintah hanya membiarkan pemain industri ini untuk membuat apa sahaja tanpa dikawal.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuklah agensi dan penjawat awam berkepentingan telah mengeluarkan kenyataan berdolak-dalik yang cuba menyembunyikan kemudaratan perlombongan bauksit yang tidak terkawal ini. SAMM mengecam sikap begini. Hari ini Menteri Kesihatan juga telah memberikan amaran agar rakyat tidak menggunakan bekalan air sungai dan juga makan ikan dari sungai yang tercemar. Namun begitu, bagaimanakah untuk orang ramai dapat mengetahui ikan-ikan ini berasal daripada sungai yang telah tercemar?

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kononnya memandang serius dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ekoran wujud unsur-unsur rasuah dalam akitviti bauksit ini juga agak lucu. Cukuplah SPRM menjadi bahan lelucon sebelum ini. SAMM yakin dan percaya perkara ini akan senyap dan hilang begitu sahaja kerana di belakang semua aktiviti bauksit ini wujud kelompok-kelompok individu yang sangat berkuasa dalam hierarki kuasa negara.
SAMM menyeru rakyat Pahang khususnya penduduk Kuantan dan kawasan terjejas untuk meneruskan usaha melawan aktiviti perlombongan bauksit yang tidak terkawal ini. Walaupun kita telah beroleh kemenangan pertama susulan pengumuman penggantungan operasi selama 3 bulan, tetapi percayalah itu hanyalah satu keputusan politik yang bersifat sementara - untuk meredakan kegusaran dan kemarahan rakyat semata-mata. Penangguhan 3 bulan ini adalah usaha untuk menipu rakyat semata-mata dan tidak bererti apa-apa kerana mana mungkin kemusnahan dahsyat ini dapat diperbaiki atau dibersihkan dalam masa 3 bulan.
Rakyat Pahang perlu bersatu menuntut pengharaman pengeksportan Bauksit jika Rejim Pemerintah terus gagal untuk menguatkuasakan peraturan amalan baik industri bauksit ini. SAMM dalam masa terdekat bersama-sama dengan beberapa aktivis sekutu dari dalam dan luar negara akan ke lokasi yang terjejas teruk dengan aktiviti bauksit ini bagi menyusun dan membantu perlawanan massa rakyat.

che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

1 comment:

  1. Anonymous2:49 PM

    Walaupun operasi bauksit telah digantung selama 3 bulan, rakyat telah terdedah kepada pelbagai unsur-unsur berbahaya seperti arsenik, plumbum (lead), mercury dll dan bahan radioaktif seperti thorium and uranium yang terkandung dalam bijih bauksit. Ini bererti perlombongan bijih bauksit boleh membahayakan dan mengancam manusia, haiwan darat dan air dan pencemaran darat, udara dan air !

    Sepatutnya, perlombongan bauksit diberhentikan untuk selama-lamanya !

    ReplyDelete