Wednesday, January 06, 2016

CABARAN AZMIN TUNJUK SAMA ADA DIA TIDAK PAHAM PENTADBIRAN ATAU DIA NAK TUTUP PENIPUAN

KENYATAAN MEDIA
6 Januari 2016

LAPOR SPRM : CABARAN AZMIN TUNJUK SAMA ADA DIA TIDAK PAHAM PENTADBIRAN ATAU DIA NAK TUTUP PENIPUAN

1. Sekali lagi YAB Datuk Seri Azmin Ali gagal menjawab persoalan malah hanya mengelak dan menyerang saya dengan perkataan kasar. Isu wang zakat Selangor yang diagih diluar Selangor melalui pimpinan yang menyokong dia, bukan sahaja tidak ada mekanisma pemantauan malah ia sedikit meretakkan parti kerana wang zakat yang digunakan sebagai menindas bukan penyokongnya dalam parto. Kemudian isu DEIG yang jelas dia menipu dengan penafian DEIG belum berfungsi dan kemudian terbukti dia bohong apabila bocor DEIG mendapat pinjaman bank ketika tempoh masa yang dia sebut belum beroperasi.

2. Isu gerbang pula, dia yang tidak mampu menjawab akhirnya dijawab oleh salah seorang ADUN Selangor, bukan saja menjawab isu tetapi hanya menambah kekeliruan. Dalam kenyataan sebelum ini saya telah membidas satu-satu jawapan ADUN berkenaan. Kini isu penganugerahan kerja pembalakan kepada dua syarikat juga terbukti dia menipu.

3. Panik maka dia hanya mampu guna perkataan kasar mengalih isu, dari perkataan menuduh saya ‘macai UMNO’ depan media, semalam pula dia menggunakan perkataan ‘menyalak’ ke atas saya. Wajah sebenar Azmin makin terserlah dan ia amat memalukan PKR itu sendiri.

4. Sikap Azmin ini diburukkan dengan sikap setengah penyokong yang mengampu secara membabi buta. Contohnya ialah dalam isu pintu gerbang apabila saya sebut sekitar November 2015 lepas, facelift tidak masuk akal dan saya fitnah kata mereka. Sebaliknya Azmin sendiri kemudian mengakui projek tersebut wujud dengan jumlah yang saya nyatakan.

5. Semalam pula apa bila Azmin mencabar saya ke SPRM, maka pengampu terus mengulang cabaran Azmin malah dalam laman social pelbagai perkataan kesat dan kasar digunakan menyerang saya. Mungkin mereka rasa ia tidak salah kerana Azmin juga begitu.

6. Untuk pengetahuan semua, Kerajaan (sama ada negeri atau pusat) dalam perihal memberikan projek atau kerja boleh memutuskan untuk memberikan secara tender terbuka, tender terpilih, sebut harga atau rundingan terus. Malah dalam hal pembalakan ini jelas Seksyen 14 enekmen (pemakaian) akta perhutanan 1985, semua hasil hutan adalah harta pihak berkuasa negeri dan seksyen 16 enekmen yang sama jelas menyatakan pihak berkuasa berhak memberikan hak mengeluarkan hasil hutan dengan apa cara difikirkan sesuai.

7. Maka jelas pemberian tanpa tender bukan kesalahan bidang kuasa SPRM, tetapi pemberian melalui tender terbuka ialah janji ketelusan dan antara asas perjuangan kita yang melawan amalan regim Barisan Nasional.

8. Adakah Azmin tidak memahami perihal pentadbiran ini atau dia sengaja mahu menutup penipuannya. Di tangan saya ialah kertas MMKN yang berstatus rahsia. Tertakluk dibawah undang-undang rahsia rasmi kerajaan, namun dia boleh mengkelaskannya semula. Kerana itu pada 4 Jan lalu, saya mencabar dia mengkelaskan semua dokumen MMKN sebagai kertas umum maka saya akan dedahkan penipuannya.

9. Adakah tujuan Azmin memancing saya ke SPRM menyerahkan dokumen yang saya ada sebagai perangkap untuk mengunci dokumen tersebut di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009pula, dimana menyebut dengan jelas laporan atau bukti yang diserahkan dalam laporan ke SPRM adalah diklasifikasikan rahsia dan salah untuk menerbitkannya semula. Maka jikapun dia berpura-pura berani mengklasifikasikan semula kertas MMKN sebagai dokumen umum tetapi saya akan terperangkap tidak boleh mendedahkan kerana dihalang AKTA SPRM.

10. Isunya ialah dia sebut melalui tender terbuka dan ternyata ia tidak.  Ia bukan kes SPRM.

11. Kepada semua saya pertegaskan ini bukan persoalan politik atau perbezaan pendapat dalamn parti tapi ini soal reformasi dalam kaedah tataurus atau pengurusan kerajaan negeri.

12. Persoalan tuntutan reformasi bukan sekadar merubanh kerajaan tetapi kaedah pengurusan yang lebih telus, efisien dan bertanggungjawab kepada rakyat yang telah memberikan amanah dan pengharapan kepada KeADILan dalam melaksanakan agenda reformasi secara menyeluruh.

13. Kaedah reformasi dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri di bawah Keadilan/Pakatan Harapan sepertimana yang digagaskan oleh DSAI menegaskan tentang prinsip2 dasar ke arah ketelusan, pertanggungjawaban dan keberkesanan (effisien) dalam memenuhi tuntutan amanah rakyat yang inginkan perubahan. Jangan khianat prinsip ini, walaupun Anwar terpaksa merengkok di penjara bagi mempertahankan prinsip-prinsip reformasi.

14. Soal menggunakan media saya lakukan kerana
a. Ia terpakai satu proses yang dibolehkan kerana parti telah mengakui dengan tidak mengambil tindakan ke atas Azmin yang pada tahun 2013 selepas kecewa tidak dilantik MB menyerang Presiden dengan menuduh parti mengamalkan kronisma dan nepotisma.
b. Tiada pilihan lain apabila aduan saya melalui surat kepada parti seawall September lepas berkenaan perkara-perkara ini tidak diambil perhatian, imej parti makin tercalar maka rakyat perlu diperjelaskan bahawa PKR mampu ditegur dan memperbetulkan kesalahan dalam pentadbiran

15. Wahai Azmin jangan mudah mematah kritikan dengan menuduh saya agen Umno, siapa agen Umno sebenarnya? Siapa yang dihadapan keluarga Anwar Ibrahim sendiri dalam majlis kenduri anak kamu secara terbuka kamu sanjung Mahathir bukan sahaja nyatakan air dicincang tidak akan putus bagi menggambarkan hubungan kamu dan Mahathir, malah kamu nafikan Anwar dengan bukan sahaja tidak menyebut Anwar tetapi menyifatkan dari zaman pelajar hingga kini kerusi Menteri Besar Mahathir lah orang yang memimpin kamu. Bukan sahaja Mahathir tetapi kamu turut memuji muja pemimpin-pemimpin Umno yang kamu jemput khas. Umum mungkin juga tidak mengetahui bagaimana secara sulit kamu ‘menyelinap’ ke Seri Perdana sebaik lepas menjadi MB meminta membuka lembaran baru hubungan. Sikap kamu yang hanya mementingkan kelompok penyokong kamu dan mengenepikan yang lain memecah belahkan parti. Malah sikap kamu kini dalam Pakatan Harapan saling tak tumpah seperti sikap Hadi yang Berjaya menghancurkan Pakatan Rakyat. Presiden PKR lancarkan Pakatan Harapan tetapi hari yang sama kamu hina Presiden dengan sebut Selangor tidak ada kena mengena dengan PH dihadapan media.

16. Ramai pimpinan parti bersetuju dengan apa yang saya lakukan namun saya diperingatkan betapa ada usaha yang bersungguh mahu saya dipecat dari parti. Saya pernah ditunjukkan pintu keluar, dihina dan dipijak dalam parti sendiri, saya difitnah meninggalkan parti namun realitinya saya masih disini, saya sayangkan parti ini kerana inilah rumah perjuangan saya. Saya ulang isu korupsi, pembaziran, penyelewengan dan salah laku urus tadbir negara atau negeri harus ditegur dan dibongkarkan. Kita melawan bukan sekadar untuk ambil alih kuasa tetapi untuk menjadi lebih baik dari yang sedia ada. Janganlah perlawanan melawan korupsi, penyelewengan, pembaziran dan salah laku atau lemah urus tadbir itu hanya menjadi slogan semata-mata, ingat…. Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.

17. Ingatlah pengorbanan Anwar yang sedang terpenjara, jangan rakus dan ego sangat. Kembalilah kepada landasan asas reformasi, rakyat sangat mengharapkan.

Sekian.

che’GuBard
ahli seumur hidup PKR
bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan Ketua Cabang Rembau

No comments:

Post a Comment