Saturday, July 09, 2016

Muhyiddin tidak boleh berdiam diri, harus tampil jawab tuduhan kem sendiri.

Kenyataan Umum 

10 Julai 2016

1. Hujung Jun 2016 sudah tersebar beberapa poster malah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sendiri mendapat jemputan program yang dinamakan Nothing To Hide 2.0 with Tan Sri Muhyiddin Yassin anjuran Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang dijadualkan diadakan pada 3 Julai 2016. Namun pada tarikh tersebut Muhyiddin tidak hadir dan menafikan ada memberikan persetujuan hadir.

2. JMM diketuai oleh Azwanddin Hamzah seorangyang pernah saya kenali ketika bersama dalam PKR yang kemudian keluar PKR dan memasuki Umno. Pernah juga bersama sebagai jentera Mahathir menjatuhkan Abdullah Badawi. Dikalangan kelompok 'aktivis politik' beliau bukan sahaja bekas PKR tetapi turut pernah dikenali sebagai anti-Anwar, anti-RPK, anti-Kalimullah, anti-Nor Mohd Yakcop, anti-Malaysia Insider dan rapat dengan Mukhriz. Maka oleh itu SAMM ada keyakinan ketika menerima jemputan Nothing To Hide 2.0 ialah anjuran kem Mahathir(dalam Umno) sendiri yang yakin Muhyiddin mampu hadir menjelaskan malah menyerang balas bagi pihak Mahathir.


3. Namun mungkin tersentak dan termalu dengan ketidakhadiran Muhyiddin malah tertekan dengan penafian persetujuan hadir Mukhriz, Azwanddin telah bertindak menyerang Muhyiddin bagi menyelamatkan air mukanya. Namun SAMM tegaskan tidak bersetuju dengan cara serangan tetapi tidak pelik kerana serangan peribadi dan selak kain (gutter politic) memang sudah menjadi senjata biasa sesama Umno ketika bergaduh.

4. Seperti yang SAMM tegaskan dalam kenyataan 23 Jun 2016 mengulas akuan bersumpah yang dihantar ke Pusat Gerakan Rakyat (PaGER) SAMM, bahawa SAMM kesal dengan serangan 'peribadi' skandal Muhyiddin namun SAMM mendesak Muhyiddin untuk menjawab dalam perihal lelaki (yang membuat akuan bersumpah itu) yang menyatakan isterinya memperolehi hak pembangunan kawasan perumahan di atas tanah kastam milik kerajaan negeri. Malah dinyatakan juga ketika Muhyiddin menjadi Menteri Belia dan Sukan , isterinya mendapat hak penswastaan Kompleks Sukan Kampung Pandan, KL. Menurut lelaki itu semua ini diperolehi isterinya kerana hubungan intim dengan Muhyiddin.

5. Muhyiddin wajib tampil memberikan penjelasan bukan sekadar penafian kosong semata - mata. Benarkah projek yang disebut oleh Stenley benar melibatkan Nika secara langsung atau tidak langsung ? Kes berkaitan penceraian Stenley dan Nika kini sudah difailkan di Mahkamah Keluarga Kuala Lumpur, kes yang dijadualkan dibicarakan dihadapan Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad sehingga kini masih tidak mendapat tarikh perbicaraan lagi. Dihebahkan di media sosial juga ada usaha bagi mendesak penyelesaian luar mahkamah. Jika Muhyiddin tidak memberikan penjelasan dan kes ini pula diselesaikan diluar mahkamah maka sudah tentu ada satu misteri akan terus menjadi tanda tanya. Perihal kes peribadi dan Muhiyuddin diserang ia sangat memualkan tetapi bagi kes pemberian kontrak dan projek itu rakyat berhak persoalkan.

oleh ;

che'GuBard,
Pengasas,
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

No comments:

Post a Comment