Monday, September 10, 2007

Rusuhan Polis di Terengganu


Adalah dengan ini che'GuBard mengecam tindakan ganas polis yang merusuh di Batu Buruk 8 September 2007 yang lalu. Polis yang bertindak ganas menghalang perhimpunan rakyat anjuran BERSIH yang dijamin dibawah perlembagaan negara.

Alasan polis perhimpunan tersebut tidak mempunyai mempunyai permit adalah bohong. Menurut satu sumber dari penganjur menyatakan kebenaran polis telah dipohon 30 Ogos tetapi hanya pada selepas 6 September baru polis menyatakan tidak dibenarkan dengan perbagai alasan yang tidak munasabah. Malah Ketua Polis Terengganu BERBOHONG kepada rakyat Malaysia dengan mengatakan bahawa ceramah BERSIH tidak diberi permit kerana faktor keselamatan memandangkan tempat ceramah berada di kawasan kediaman orang. Sebenarnya tempat ceramah tersebut amat popular dan sudah diguna berkali kali oleh penceramah termasuk ceremah menyambut Saudara Dato' Anwar Ibrahim sebaik saja di bebaskan dari penjara dan sepanjang rekod itu tidak ada sebarang masalah timbul, sehinggalah peristiwa rusuhan polis 8 September lalu.

Tuduhan yang mengaitkan penyokong 'pembangkang' bertindak ganas termasuk menggunakan molotov cocktail juga satu pembohongan yang terancang. Masih diingat sekitar Febuari 2002, Bagaimana Superintendan Hasan Ismail, Ketua Polis Daerah Baling (di siarkan Berita TV3) satu ketika dahulu menyatakan bahawa penyokong 'pembangkang' melontarkan cuka getah yang dibungkus didalam plastik kepada polis yang cuba secara aman menyuraikan ceramah Tn. Guru Datuk Nik Abd. Aziz, dan anggota polis yang cedera terkena cuka getah dikejarkan ke hospital dan mengalami gatal - gatal....Ia jelas satu penipuan!

Tuduhan molotov cocktail juga penipuan kerana sehingga kini itulah modal polis (yang diperkuda UMNO-BN) kerana sehingga kini tuduhan Ezam dan beberapa teman ditahan ISA kerana cuba menggulingkan kerajaan dengan mengumpul senjata seperti molotov cocktail sehingga dibebaskan dari pemenjaraan tanpa bicara, polis gagal membuktikan tuduhan mereka.

Kehilangan harta benda sehingga RM 1 juta berdasarkan kenyataan media ternyata kerana rusuhan terancang pihak polis. Menurut satu sumber hampir semua kamera milik wartawan dirampas kerana itu media menggunakan gambar sama berulang kerana ia hasil dari kamera polis. Ini berlaku kerana beberapa kamera yang dirampas itu telah berjaya merakamkan siapa yang bertindak ganas.

Ternyata kejadian tersebut ialah rusuhan polis yang terancang dibawah arahan atau tekanan UMNO - BN yang amat gusar dengan tahap kesedaran rakyat mutakahir ini. UMNO - BN yang berjaya memperkudakan polis untuk merusuh sudah pasti akan melanjutkan usaha jahat mereka dengan memperkudakan media untuk memburukkan imej 'pembangkang' dengan harapan mengalihkan isu sebenar.

Amat diyakini dan dipercayai rakyat kini sudah matang dan mampu bertenang serta berfikir waras. Ini usaha terdesak UMNO-BN apabila mereka tertekan.

Jentera parti, organisasi bukan kerajaan yang progresif serta rakyat harus terus menumpukan usaha menyedarkan rakyat. Tumpuan seperti mengumpulkan 100,000 rakyat menuntut pilihanraya yang adil dan bersih November ini perlu dipergiatkan.

Ketika terdesak UMNO - BN sanggup menggunakan apa saja mempertahankan kuasa, kita jangan terperanjat rusuhan kaum rekaan juga sanggup dilakukan.

Tetapi rakyat jangan bimbang...... majoriti kini sudah cerdik dan sebagai sebuah bangsa Malaysia yang bermaruah kita akan terus bangkit secara aman dan tenang melawan penindasan, rasuah dan menumbangkan kerajaan yang sudah tidak berwibawa memacu negara.

cheGuBard percaya dan yakin berkongsi rasa dengan semua ahli MPT keADILan dan teman - teman anak muda progresif di Malaysia untuk meneruskan semua perhimpunan, ceramah, pengedaran risalah dan apa jua usaha mempertingkatkan kesedaran orang ramai mengenai kegagalan dan penindasan pemerintah.

Perhimpunan 'perpaduan' Rakyat Malaysia dari perbagai latar belakang, perbagai kaum dan perbagai agama menuntut Demokrasi dikembalikan di Malaysia harus direalisasikan pada November ini. che'GuBard dengan ini memberikan jaminan akan membantu sedaya mungkin menggunakan jaringan teman pro demokrasi dan hak asasi serantau dalam merialisasikanya untuk memastikan sejarah perhimpunan November ini akan dipantau dari dari dekat dan jauh.
Merujuk kepada peristiwa rusuhan polis di Terengganu che'GuBard dengan ini mendesak satu suruhanjaya diraja diwujudkan untuk menyiasat apa yang terjadi dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

No comments:

Post a Comment