ABRI amat berkuasa di zaman pemerintahan Suharto. Di bawah slogan Order Baru, Jeneral Suharto memperkukuhkan kedudukan dengan melibatkan tentera dalam kegiatan politik.
Diperuntukkan sejumlah kerusi khas kepada militer di dalam Parlimen atau MPR. Jasa para jeneral tentera menumbangkan PKI, diekplotasi Suharto sepenuhnya bagi meletakkan beliau sebagai presiden yang tidak boleh dicabar.
Semasa kempen pilihan raya, tentera digunakan sepenuhnya untuk memenangkan calon dari parti Suharto. Orang ramai mengundi "di hujung senapang" golongan militer. Ketakutan untuk menolak regim Suharto amat dirasai.
Reformasi rakyat 1997 menamatkan penguasaan militer dalam mencengkam politik Indonesia. Demokrasi kembali kepada rakyat.
Pilihan raya kecil Ijok April 2007 meletakkan regim Abdullah Badawi seumpama di penghujung regim Suharto. Ribuan polis beruniform dan tidak beruniform diturunkan. Segala unit seperti Cawangan Khas, cawangan jenayah, pasukan polis berkuda, FRU dikerah ke Ijok. Sepanjang kempen suasana di Ijok seperti keadaan di Baghdad. Polis berada di mana-mana.
Ceramah PAS dan KeADILan selalu diganggu dan digagalkan polis. Anggota FRU atau pasukan khas dalam keadaan penuh bersedia untuk menggempur himpunan BA. Senapang gas pemedih mata sentiasa terhunus. Ijok seolah-olah berada dalam suasana "riot" atau darurat.
TV3 dan RTM sentiasa memuntahkan berita memuji pembangunan kerajaan BN dan menghentam BA, tanpa segan silu dan rasa bersalah. Pemimpin BA pula tidak diberi peluang langsung menjawab atau memberi penjelasan. Tidak peliklah Malaysia pada kedudukan tempat 131 daripada 150 negara dalam senarai kebebasan media dunia.
Rasuah dan sogokan pemerintah sudah secara terbuka, tanpa malu-malu. Pegawai tertinggi SPR sedia menjadi pecacai regim Abdullah. Pegawai kerajaan, para pensyarah IPTA dan naib-naib canselor diekplotasi sepenuhnya untuk kemenangan BN. Regim Abdullah betul-betul menjadi regim Suharto di zaman rasuah dan kezaliman sebelum di ambang kejatuhan 2007.
Bilakah rakyat Malaysia akan bangun menuntut harga diri? Perjuangan mesti bermula untuk mengembalikan demokrasi. Dalam mana-mana pilihan raya, biarlah parti melawan parti, bukan parti melawan kerajaan seperti sekarang.
Kita mesti berusaha menghantar "ABRI Malaysia" balik ke berek-berek mereka. Tugas mereka menjaga keselamatan negara, memerangi jenayah bukan menjaga BN supaya terus berkuasa. "ABRI Malaysia" iaitu polis mesti disedarkan bagaimana mereka diperkudakan regim BN untuk menyelamatkan kerajaan yang penuh korup.
Orang Tionghua mula membuat perubahan untuk tidak tunduk "di hujung senapang" ABRI Malaysia untuk mengundi calon yang ditunjuk BN. Sudah hampir masanya semua rakyat termasuk pasukan beruniform bangun bersama membuat reformasi dan mewujudkan semula demokrasi dan keadilan dalam pilihan raya di Malaysia.
Regim yang penuh rasuah di bawah "Patrick Badawi" ini akan sampai ke penghujung tidak lama lagi.
_______________
MOhamad Sabu ialah Naib Presiden PAS
No comments:
Post a Comment