Monday, May 14, 2007

Gantian Ketua Pengarah bukti reformasi kosmetik


Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang baru Datuk Ahmad Said Hamdan disambut oleh kakitangan BPR setibanya di ibupejabat Badan Pecegah Rasuah Putrajaya bagi memulakan kerjanya. Foto: Shaifuldin Ahmad

Menurut laporan bernama 11 May 2007 melaporkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan perlantikan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah yang baru, Datuk Ahmad Said Hamdan menggantikan Datuk Seri Zulkipli Mat Noor yang tidak disambung kontrak ekoran tekanan kerana terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

Perlantikan Zulkipli itu adalah satu kesilapan yang dilakukan oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun ia dibuat atas nasihat dan sokongan para pegawai tinggi pentadbiran. Zulkipli adalah pegawai tinggi polis yang pertama dilantik mengetuai BPR sedangkan ketua pengarah sebelum itu adalah daripada Perkhidmatan Perundangan (Legal Service).

Rakyat masih tertanya-tanya kenapa khidmat Zulkipli disambung oleh Tun Mahahir dan kemudian oleh Datuk Seri Abdullah Badawi sedangkan isu yang timbul sekarang bukanlah satu perkara baru.

Sememangnya terdapat bukti bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan Zulkipli telah di dalam pengetahuan bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

Isu ini tiba – tiba gempar selepas sidang media Pengerusi GERAK, Mohamad Ezam Mohd Nor yang mendedahkan surat oleh Mohamad Ramli Manan, bekas pegawai kanan BPR kepada Perdana Menteri yang mendedahkan bukti mengenai salah guna kuasa dan rasuah Zulkipli.

Kerana tekanan dan demi menjaga sokongan politik maka Perdana Menteri tidak menyambung kontrak Zulkipli dan jawatan Ketua Pengarah BPR dipangku oleh Ahmad Said semenjak 1 April.

Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia ternyata gagal memberikan alasan wajar mengapa kontrak Zulkipli disambung walaupun reputasi buruk beliau telah dalam pengetahuan perdana menteri sendiri. (Saya sendiri pernah menyampaikan surat Pengerusi GERAK berkenaan perkara itu secara tangan ke Pejabat Perdana Menteri.)

GERAK mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Ahmad Said Hamdan atas lantikan sebagai Ketua Pengarah BPR yang baru.

Namun GERAK melihat tiada apa yang penting dengan lantikan Ketua Pengarah yang baru ini. BPR masih di bawah kekangan pejabat Perdana Menteri. Ketua Pengarah baru pasti mengulangi manual kerja Ketua – Ketua Pengarah yang lama. Beliau cuma punya 3 pilihan iaitu mendiamkan diri melihat amalan korupsi (jika pelaku mempunyai kepentingan politik dengan parti pemerintah) atau cuba bertindak sesuatu di luar bidang kuasa dengan mendedahkan korupsi besar dan berdepan dengan risiko. Lebih parah lagi jika beliau mengambil pilihan yang ketiga iaitu turut mengambil kesempatan melakukan korupsi kerana berada di bawah pemimpin korup.

GERAK mahu mengajak rakyat melihat proses ini hanya proses kosmetik politik semata mata tanpa kesungguhan dan keberanian melakukan reformasi ke arah memastikan negara yang benar – benar bersih.

Semua kebobrokan, salah guna kuasa dan rasuah yang merompak harta kekayaan negara berlaku kerana negara tidak punya badan pencegah rasuah yang bebas. BPR berada dibwah kuasa Perdana Menteri dan perlantikan jawatan Ketua Pengarah BPR ialah dibwah kuasa Jabatan Perdana Menteri. Persoalan yang timbul ialah apa jaminan Perdana Menteri mampu membentuk BPR yang bebas ? dan apa jaminan Perdana Menteri itu sendiri tidak mengamal korupsi ?

GERAK dengan ini sekali lagi menyatakan desakan dan cabaran kepada Perdana Menteri agar benar – benar berani dan jujur dengan kempen Anti Rasuahnya dengan membebaskan BPR dan meletakkan BPR di bawah Parlimen.

GERAK mengajak rakyat secara amnya dan organisasi – organisasi massa untuk terus memberikan tekanan agar negara memiliki sebuah badan pencegahan rasuah yang benar – benar telus.

baca berita dari harakah : http://www.harakahdaily.net/bm/index.php?option=com_content&task=view&id=7678&Itemid=28

No comments:

Post a Comment