KUALA LUMPUR – Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menggesa bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor memberi penjelasan terbuka terlebih dahulu sebelum kembali menyertai parti Keadilan Rakyat (PKR).
Badrul atau dikenali sebagai Chegubard ketika dihubungi berkata, walaupun PKR ketika ini memerlukan ‘ikon’ baharu bagi mengantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun itu tidak bermaksud Ezam layak untuk mengisi kekosongan tersebut.
“Saya tidak nafikan, PKR ketika ini memerlukan ‘ikon’ yang kuat untuk meneruskan perjuangan menentang UMNO/BN (Barisan Nasional) namun itu tidak bermaksud kami telah melupakan dosa beliau (Ezam) terhadap Anwar.
“Malah tindakannya yang meninggalkan parti (PKR) dan terlibat secara langsung dalam kes ‘fitnah liwat 2’ masih terkesan hingga kini, kita jangan lupa Anwar terpenjara disebabkan ‘dosa’ Ezam itu.
“”Malah saya dimaklumkan dia antara orang yang pergi berjumpa dengan saiful dan turut memainkan peranan tersebut,” katanya sebentar tadi.
Chegubard turut mengakui walaupun Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memerlukan ‘panglima perang’ untuk menghakis kekuatan politik Datuk Seri Azmin Ali, namun gerakan untuk membawa Ezam kembali ke dalam PKR adalah satu tindakan yang tidak kena.
“Saya tidak nafikan secara keseluruhan wujudnya permasalahan di dalam PKR antara kem Wan Azizah dan Azmin namun pada saya ia merupakan masalah dalaman parti.
“Ia juga tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menerima Ezam begitu sahaja kerana pada saya apa yang penting dia perlu terangkan terlebih dahulu mengenai tindakan dan kerosakkan yang pernah dilakukan dahulu,” ujarnya lagi.
Terdahulu sumber SuaraTV mendedahkan, Ezam dijangka akan kembali menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik Wan Azizah sebagai presiden parti.
Malah sumber itu turut menjelaskan Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan dan beberapa perbincangan dengan Ezam berhubung perkara itu. – SuaraTV
No comments:
Post a Comment