Saturday, April 09, 2016

Catatan pengalaman Dialog dengan Dr.M : lari balik awal



1. Pada 2 April saya dijemput melalui whats app oleh salah seorang panatia penganjur Program Dialog Anak Muda : Deklarasi Rakyat, Realiti atau Fantasi ? untuk hadir dengan menghantar nama dan no.kad pengenalan. Sebelum itu saya sering dicabar oleh beberapa kelompok yang bersama Deklarasi agar saya duduk mendengar dulu dari Mahathir mengenai deklarasi ini.

2. Pada 7 April saya hadir bersama Komrad Edy Noor Reduan, Pengarah Propaganda SAMM dan Komrad Faisal Zainal, Penyelaras Muda SAMM. Kami tiba lewat beberapa minit, ketibaan kami disambut jelingan sekumpulan lelaki bertubuh sasa yang saya kira 'bodyguard' kepada orang penting yang sudah hadir selain wartawan yang berkumpul kerana tidak boleh masuk. Kami mendaftar dan mengambil tempat. Masuk sahaja Pengerusi Majlis sedang mengumumkan bahawa media, rakaman dilarang malah Pengerusi Majlis mengingatkan pengguna media sosial tidak terlalu laju melaporkan program dialog tersebut. Walaupun ia nampak sangat kontradik dengan semangat kebebasan dan kritikan terbuka kumpulan Deklarasi Mahathir namun saya mengambil sikap positif mungkin tidak mahu terganggu dan Mahathir bersedia untuk sesi terus terang.

3. Kehadiran kurang dari 100 orang, turut kelihatan Khairuddin (yang mengaku sepupu Anwar Ibrahim), Siti Hasmah, Marina Mahathir, Hishamuddin Rais (tukar tiub) juga ada selain Maria Chin, Ambiga dan mahathir sendiri di kerusi panel di depan. Muka - muka kepimpinan pelajar yang dikenali juga turut kelihatan.

4. Mahathir mengambil tempat bercakap awal, tak banyak yang diulas. Dia memulakan celoteh dengan mengingat sejarah Malayan Union dan kuasa raja tetapi keluhnya kini raja juga tak ada kuasa untuk berbuat apa. Secara sinis dia mengaku mengenai tindakannya meminda kuasa raja itu salah katanya dia jangka Raja yang akan timbulkan masalah tetapi dia tidak sangka Perdana menteri yang punca masalah negara.

5. Selepas dia duduk sesi soal jawab dibuka. Dua soalan awal ditanya secara 'formal' oleh wakil Kesatuan Pelajar dan Mahathir respon mudah ajak semua pelajar tumbang Najib dan masalah akan selesai. Kecewa dengan cara Mahathir memperbodohkan anak muda dengan jawapanya , saya mengambil tempat untuk bercakap selepas Adam Adli.

6. Rakaman curi yang dibuat oleh Kak Nashitah yang viral di media sosial itu hanya suku dari semua yang saya ucapkan. Saya bangun dan saya perkenal diri dengan mengatakan saya che'GuBard dari SAMM yang Tun katakan sebagai Kucing Kurap. Saya nyatakan bahawa Tun panik dan silap, saya tidak pernah mencabar Tun berdebat sebaliknya saya menjemput Tun untuk satu sesi terus terang supaya anak muda khususnya jaringan SAMM mampu mendengar sendiri dan membuat keputusan betul dan adil. Saya tegaskan dengan jelassaya tidak akan mengajak orang tua yang memang banyak buat salah yang akan menjadi point - point besar untuk saya 'score' kalau berdebat. Saya ambil kesempatan meminta Tun respon mengenai Kehilangan wang Rakyat memalui skandal Bank negara 1992 ketika TS Jaafar menjadi Gabenor sebanyak RM30billion, Skandal MAS RM580 juta, Skandal Perwaja RM10b, Skandal Bank Bumi RM10b, Skandal Maminco RM1.6b dan saya sebut mengenai Far Eastern Eeconomic Review yang menyebut jumlah RM1.6jutadigunakan Mahathir untuk balilout syarikat kapal anaknya selepas memecat dan menfitnah Anwar Ibrahim atas banyak alasan ini saya tak akan debat dengan Tun sebab teruk Tun akan kena. Ketika ini muka Mahathir berubah dan kelihatan Marina memaling ke arah saya dengan muka yang sangat marah tetapi saya cuma balas dengan senyuman.

7. Pengerusi mula mengganggu dengan meminta saya terus kepada soalan. Saya tegaskan untuk bertanya 3 soalan dan penegasan. Penegasan pertama saya ialah Deklarasi ini bukan deklarasi rakyat ia deklarasi Tun Mahathir kerana ia tak lalui proses suara rakyat, malah majoriti yang tandatangan ketika 4 Mac itu hanya melihat deklarasi penuh hari tersebut. Isinya pula berkisar dengan penyingkiran Najib dan musuh-musuh politik Tun Mahathir. Bagaimana dengan perubahan sistem dan pemansuhan undang - undang penting seperti akta hasutan, pemerkasaan pilihanraya yang bebas dan adil ? Saya tegaskan deklarasi ini hanya retorik dan untuk Tun penuhi kehendak politik semata. Bila saya sebut ini yang hadir bertepuk tangan. Saya katakan Tun hipokrit kerana baru ini dalam temuramah dengan media Indonesia Tun sebut soal Anwar bersalah tak boleh buat apa sebab mahkamah dah putus dan kena hormat, bila kena kat orang lain Tun suruh hormat dan ikut tetapi bila tak kena pada Tun , Tun bising kata sistem rosak lah apa lah.... 

8. Kedua saya sebut dengan jelas 2008 Tun ajak rakyat jatuhkan Abdullah dan semua ayat ajak jatuh Najib sama je bunyi skripnya semasa nak jatuh Abdullah. Masa nak jatuh Abdullah dedah berbiliion juta wang yang dirompak melalui Scomi, Skandal Oil for food termasuk khairy dituduh merompak berjuta - juta termasuk terlibat menjual saham berkepentingan negara ke Singapura. Saya tanya Bila Pak Lah jatuh Tun balik ke Umno semula dan dapat kedudukan istimewa semula tetapi apa usaha nak kembalikan duit rakyat. Saya katakan tak ada usaha kerana Tun bukan soal rakyat tetapi soal kehendak politik Tun semata bila Pak Lah dah jatuh Tun tak peduli pun soal rakyat dan kini sekali lagi nak guna benda sama.... masa ni yang hadir tepuk kuat lagi...

9. Pengerusi berdiri ketika ini untuk saya tamatkan bercakap. Saya sebut yang terakhir saya nak tanya Kenapa Anwar dipecat ? adakah kerana Anwar meliwat, agen Amerika atau dia halang Tun nak bail out anak Tun... saya juga bertanya kalau najib jatuh Tun nak siapa naik jadi PM dan TPM ? ketika ini Pengerusi bercakap dan minta saya berhenti... saya akur dan senyum lalu berhenti serahkan mikrofon.

10. Selepas saya saya ingat ada seorang bangun bertanya juga soal kenapa Tun tak buat apa soal Rafizi ditahan, bukankah Rafizi sekutu Tun sekarang ? dan Mandeep Sigh yang merupakan kakitangan seketeriat BERSIH bangun bertanya soal pilihanraya bebas dan adil dan perlu dimasukkan kedalam deklarasi.

11. Tun bangun jawab.... dia berpusing - pusing langsung tak menyebut atau mengulas apa yang saya bangkitkan. Berkenaan Rafizi dia sebut dengan jelas dia berjuang bukan untuk Rafizi... Rafizi buat salah langgar OSA maka kena lah hukum...dan sebab itu kena perjatuh Najib sebab kalau Najib jatuh Rafizi bebaslah...  berkenaan soalan BERSIH dia menagmbil analogi Sri Lanka dia sebut di Sri Lanka ada dua parti, satu parti isteri Janeral dan satu parti anak pejuang kemerdekaan. Bila isteri Janeral kalah dia kata pilihanraya menipu dan begitulah sebaliknya... Mahathir sebut pihak yang kalah akan sentiasa kata Pilihanraya menipu... ayat ini sepatutnya sudah menampar muka kumpulan BERSIH kerana mahathir sendiri tidak mengakui perjuangan BERSIH dengan tidak mengakui kepincangan pilihanraya.

12. Seorang pemuda duduk dibarisan depan bangun ingatkan mahathir yang dia tak menjawab lagi soalan che'GuBard. Mahathir terus tak peduli, dia mengulas pula mengenai orang tanya saya persoalan kenapa saya boleh duduk dengan musuh saya seperti Lim Kit Siang, Md Sabu dan lain lain. Mahathir sebut dengan jelas bukan saya datang tapi depa yang datang pada saya maka tanyalah depa. mahathir kata dia pun pelik bagaimana orang yang mahathir dah buat macam - macam salah pada mereka masih datang untuk sign deklarasi dengan Mahathir. Ketika ini saya bangun mencelah dan katakan "Tun, kamu tak jawab lagi soalan saya". Pengerusi Majlis mendiamkan saya semula dan Mahathir mengakhirkan ucapanya dengan penipuan katanya Anwar pun tulis surat kepadanya sokong dia. Ini jelas tipu mana ada Anwar tulis surat kepada Mahathir sokong dia... Ini mengingatkan kita dengan pembohongan Mahathir ketika kempen PRU lepas konon ugut nak dedahkan surat Wan Azizah kepadanya yang konon mengadu perihal Anwar.

13. Dia duduk dan terus bisik sesuatu pada pengerusi majlis dan pengerusi Majlis terus umum bahawa Tun Mahathir kena pulang awal kerana ada urusan penting dan soalan yang tidak berjawab akan dijawab oleh Ambiga dan Maria Chin. Saya dan ramai lagi anak muda , aktivis mahasiswa yang hadir tak boleh menyorokkan kekecewaan dengan cara Mahathir, hadir program dialog dengan syarat tiada media dan bila ditanya lari balik awal tinggalkan orang lain untuk cuci ? Inilah demokrasi terpimpin ala Mahathir.

14. Setelah hadir dan berdepan sendiri dengan Mahathir .... saya dan SAMM menegaskan garis yang kami ambil tidak salah dan tepat. 

che'GuBard, SAMM


No comments:

Post a Comment