1 FEB: Chegubard akan bertindak untuk mendedahkan dokumen ‘rahsia rasmi’ tentang projek balak yang tidak diberikan secara tender terbuka jika Lembaga Disiplin PKR tidak mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya masih dalam tempoh ‘berdiam’ sebentar kerana semua dokumen berkaitan telah saya serahkan kepada Lembaga Disiplin PKR, saya menghormati parti dan memberi ruang kepada Lembaga Disiplin menyelesaikan kerja mereka seperti memanggil Azmin dan seumpamanya.
“Namun saya tegaskan, jika tidak ada tindakan yang diambil saya hanya ada satu jalan untuk mendedahkan kepada umum dokumen bertaraf ‘rahsia rasmi’ tersebut walaupun punya risiko dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Bagi saya pembaziran atau salah guna harus ditentang secara berani tidak kira siapa lakukan kerana itu didikan gerakan reformasi keatas saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Azmin sebelum ini dilaporkan media projek balak tersebut diberi secara tender terbuka, namun Chegubard berkata Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR itu secara jelas telah membuat penipuan kerana kenyataan tersebut adalah tidak benar.
Ini kerana projek tersebut tiada iklan tender terbuka dan projek tersebut diletakkan dalam dokumen kerajaan Selangor yang berlabel rahsia.
Susulan daripada itu, Chegubard kemudiannya telah dipanggil Lembaga Disiplin PKR untuk memberi keterangan serta menyerahkan dokumen berkaitan untuk disiasat dengan lebih terperinci.
Sesi pendengaran berkenaan berlangsung selama 1 jam 30 minit yang juga kali pertama selepas puluhan aduan dikemukakan sejak 2010.
Namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang dikenakan terhadap Azmin.
No comments:
Post a Comment