SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan terbaru ke atas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung video lucah yang dikatakan membabitkan dirinya sangat serius kecuali jika ia dibuktikan tidak benar.
Beliau yang belum menonton video terbabit berkata sekiranya dakwaan itu tidak benar, ia adalah satu hari yang sedih untuk negara kerana 'politik kotor' telah digunakan untuk mencemarkan imej ketua pembangkang itu.
"Pada pendapat saya, politik kotor memalukan. Berilah kami ruang mencukupiuntuk melakukan tugas kami kerana ianya untuk kebaikan semua pihak.
"Walaupun ahli politik perlu bersih dalam tingkah lakunya, namun kita juga perlu beri ruang kepada orang dan kita tidak boleh sentiasa ikut (mereka) malahan hingga ke tandas. Terdapat kehidupan peribadi dan kehidupan politik," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis minum petang sempena penghargaan kepada pegawai jabatan teknikal Selangor anjuran SSIC Bhd di sini, Isnin.
Abdul Khalid mengulas dakwaan satu kumpulan yang enggan dikenali yang mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang menawarkan perkhidmatan seks.
Ketika ditanya sama ada beliau mempercayai bahawa Anwar terlibat dalam video terbabit, Abdul Khalid secara berseloroh berkata: "Tidak pernah pula saya dandia (Anwar) buat perkara ini. Kami ada kerajaan negeri untuk ditadbir."
Sementara itu, Abdul Khalid memuji kejayaan SSIC mencapai sasaran RM10 bilion dalam menarik pelaburan ke Selangor pada tahun lepas.
"Sebanyak 50 peratus daripada RM10 bilion itu adalah pelaburan berterusan, 50 peratus lagi pelaburan baru. Ada keseimbangan dan terdapat lebih 30 syarikat terlibat dalam pelaburan di Selangor.
"Tahun ini kita harap akan dapat juga jalankan usaha untuk tarik pelaburandari luar dan dalam negara ke negeri ini dengan sasaran kita untuk menarik pelaburan antara RM10 bilion ke RM12 bilion," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment