Almarhum Prof Dr Hamka dalam artikel
beliau berjudul "Syahwat perut dan syahwat faraj" menerangkan bagaimana
Karl Marx dan Sigmund Freud melihat punca permasalahan manusia.
Kedua-dua
mereka mengatakan, bertentangan sesama manusia dan kucar-kacir yang
berlaku kemudiannya adalah akibat daripada keduanya.
Karl Marx
membuat kesimpulan bahawa masalah manusia berasal daripada ‘perut'.
Perut
yang lapar akan melakukan apa sahaja untuk diisi sehinggakan membuat
perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai dan waras akal
kemanusiaan.
Manakala Sigmund Freud pula membuat kesimpulan
bahawa masalah bagi manusia adalah organ di bawah perut yakni kemaluan.
Kata
Prof Dr Hamka: "Seabad yang lalu Karl Marx menyatakan bahawasanya yang
menentukan perang dan damai di dunia ini, yang hidup bertentangan di
antara manusia ialah perebutan mencari makanan ataupun mengisi perut.
"Segala
soal dalam dunia ini, berpusat kepada perut. Semua orang ingin kenyang
dan tak mahu lapar lalu merebut makanan. Maka terjadilah pertentangan
yang tidak dapat dielakkan, suatu hukum besi di antara golongan yang
mempunyai (have) dengan yang tidak mempunyai (have not).
"Dan
setengah abad yang lalu datang pula seorang lelaki bernama Sigmund
Freud, menyatakan bahawasanya bukan urusan perut yang menjadi sebab
timbulnya pertentangan dan perebutan di dalam dunia ini. Bukan perut,
melainkan faraj (kelamin).
"Kecerdasan berfikir menurut Freud,
atau kegoblokannya (kebodohannya), sukses (berjaya) atau gagal, soalnya
hanya satu iaitu soal libido! Iaitu soal keinginan jantan kepada betina
dan betina kepada jantan. Lebih popular lagi, adalah soal seks." [lihat
(2009), Tuntutan Puasa, Tarawih & Shalat Aidilfitri, Shah
Alam: Pustaka Dini, hlm 23]
Menariknya, jauh sebelum kedua ahli
falsafah Barat berketurunan Yahudi ini muncul dengan idea-idea falsafah
melalui karya mereka, Hujjatul Islam Imam Abu Hamid bin Muhammad
al-Ghazzali RH sudah jauh membicarakan hal yang sama.
Beliau
malah menyatakan bahawa keduanya amat penting bagi kelangsungan hidup
manusia di muka bumi.
Keduanya, yakni syahwat perut dan faraj
adalah fitrah dan anugerah Allah kepada manusia ciptaannya. Keduanya
tidak dicipta untuk tujuan yang sia-sia melainkan ada tujuan khusus buat
manusia.
Bayangkan manusia tanpa syahwat makan dan faraj,
ternyata dunia ini akan gersang dan kering kontang sekali gus
menunjukkan kelemahan Allah Taala sebagai Pencipta dan Pentadbir yang
Agung.
Di sinilah, menurut Imam al-Ghazzali peranan akal
(al-`aql) sangat penting bagi menjadi penimbang tara antara kebaikan dan
keburukan dalam diri manusia.
Seiring dengan penciptaan kedua
syahwat tersebut Allah juga menganugerahkan manusia dengan sifat
berfikir dengan akal bagi menimbang baik dan buruk sesuatu perkara,
inilah yang membezakan manusia dengan ciptaan Allah yang selain daripada
mereka (baca: khususnya binatang!). (lihat hlm. 24-25)
Diperleceh dengan jenama 'Islam', 'Nabi'
Saya
tertarik dengan komentar seorang penulis muda yang membuat ulasan
mengenai buku yang beliau baca, tulisan seorang Muslim rakyat Amerika.
Beliau
antara jutaan umat Islam di Amerika yang mempunyai peranan penting
dalam menghadapi apa yang sedang dihadapi umat Islam khususnya di
Amerika sendiri.
Beliau adalah Imam Feisal Abdul Rauf yang
dikenali melalui kontroversi sebagai imam masjid yang dicadangkan dibina
di Ground Zero, tapak runtuhan WTC.
Dalam buku terbaru beliau
yang berjudul Moving the Mountain: Beyond Ground Zero to a New
Vision of Islam in America (2012), beliau memberikan komentar
terhadap amalan Islam di Malaysia sementelah beliau pernah tinggal di
Malaysia selama beberapa tahun sebelum ini.
Antara lain beliau
hairan bagaimana Muslim di Malaysia sangat mudah mengaitkan sesuatu
dengan Islam seperti bank Islam, universiti Islam, perubatan Islam dan
sastera Islam.
Ternyata apa yang pelik di mata Imam Feisal Abdul
Rauf ada benarnya apabila pelbagai produk muncul dengan galaknya
mutakhir ini dengan menisbahkannya dengan sesuatu yang mempunyai unsur
Islam.
Ia antaranya kurma nabi, capal nabi, jubah nabi, tasbih
kayu kokka, bahtera Nabi Nuh dan mutakhir berkenaan isu air campuran
pelbagai jenis unsur yang kononnya mempunyai kemujaraban tertentu.
Ia
termasuk anai-anai yang memakan 22 juzuk ayat al-Quran serta air
bikarbonat berperisa oren yang dibacakan 30 juzuk al-Quran!
Apa
hujah dan dalilnya? Apakah penyataan daripada kajian saintifiknya?
Apakah rasionalnya kesemua perkara ini sehinggakan hanya di Malaysia
barangkali dijumpai hal-hal seumpamanya?
Timbul persoalan apakah
tahap pemikiran dan iman orang Islam di Malaysia mudah diperlecehkan
sehingga ada yang berani terus menerus menggunakan kaedah dan teknik
yang sama bagi tujuan tertentu.
Dalam kes ini jelas bagi tujuan
keuntungan perniagaan.
Apakah ini bukan satu daripada unsur
melacurkan agama dan unsur berkaitan dengannya?
Ikhwanul Muslimin, bukan Ikhwanul Islamiyyin
Apabila
penisbahan berlaku secara wewenang, khususnya kepada istilah Islam yang
merupakan agama yang ditanzilkan oleh Allah dan bukan konsep-konsep
pemikiran, falsafah atau budaya, maka implikasi penisbahan itu sangat
besar.
Dan jika digunakan tidak kena pada konteksnya akan
menimbulkan fitnah dan persepsi buruk kepada Islam sendiri.
Sebagai
contoh mudah, sebuah universiti yang dinisbahkan kepada Islam yang
pelajarnya pelbagai.
Jika seorang pakcik kampung datang melawat
anaknya di universiti dan terlihat sekumpulan siswa sedang bermain bola
sepak dengan mamakai seluar pendek, barangkali di benaknya terfikir:
"Eh,
kata universiti Islam. Main bola pun pakai seluar pendek."
Bayangkan
jika institusi lain yang dinisbahkan dengan Islam namun tidak pernah
berjaya menzahir akhlak Islamiah yang wasath (terbaik) dan hikmah (yang
paling tepat) dengan kehendak Islam, maka fitnahnya kepada Islam
sendiri.
Menyalahkan non-Muslim yang mempunyai persepsi buruk
kepada Islam khususnya di Malaysia perlu dinilai dengan adil dengan
mencari di manakah puncanya yang sebenar.
Maka tidak hairan di
belah Asia Barat, meskipun di sana bermulanya agama Islam, sehingga kini
susah untuk kita mencari institusi atau produk yang dinisbahkan kepada
Islam secara langsung, sekalipun dari sudut istilah.
Sebagai
contoh Ikhwanul Muslimin, mereka menggunakan Muslimin yang bermaksud
orang Islam tetapi tidak Ikhwanul Islamiyyin.
Meskipun mereka
menubuhkan parti, juga tidak digunakan istilah Islam melainkan Hizb
al-Hurriyyah wa al-Adalah (Parti Kebebasan dan Keadilan).
Hal
yang sama kepada parti pimpinan Erdogan yang menguasai Turki pada masa
ini.
Tapi di Malaysia kita ada Parti Islam se-Malaysia (PAS),
ini istimewanya Malaysia meskipun nama asalnya yang diharamkan penjajah
adalah Hizb al-Muslimin.
Gambarkan
perubatan moden 'kafir'
Apabila ‘perubatan Islam'
digunakan untuk merujuk kepada perawatan kaedah ruqyah (jampi)
menggunakan al-Qur'an, pada asasnya memang kaedah perawatan tersebut
tidak ada masalah.
Ini kerana memang Islam mengajarkan bahawa
memang wujud unsur ghaibiyyat yang jahat seperti jin dan iblis yang
mampu merasuk manusia dan sebagainya selain unsur sihir yang disebut
dalam banyak tempat dalam al-Quran dan Hadis sendiri.
Namun
apabila ia dijenamakan sebagai perubatan Islam ia seolah menggambarkan
bahawa kaedah perubatan selain daripada perubatan Islam adalah perubatan
kafir!
Perubatan moden di hospital adalah sama dengan
‘perubatan kafir'.
Kita kembali ke tahun-tahun sebelum merdeka,
apabila para tuan guru pondok kebanyakannya mengatakan bahawa
sekolah-sekolah yang dibina oleh Inggeris adalah sekolah kafir sekali
gus ilmu-ilmu yang diajar di sekolah tersebut.
Ini tidak tepat
kerana perubatan moden hari ini juga adalah merupakan sumbangan sarjana
dan ulama Islam seperti Ibnu Sina yang terkenal dengan kitabnya al-Qanun
fi al-tib yang kemudian menjadi karya penting dan utama dalam
perkembangan ilmu perubatan di Barat.
Begitu juga ilmu-ilmu sains
tabii (fizik, biologi dan kimia), sains teknologi dan matematik serta
ilmu-ilmu sains sosial lain.
Hakikatnya, Islam tidak pernah
memisahkan ilmu-ilmu Islam seperti ilmu akidah, syariah dan tasawuf.
Menyalahkan
generasi agamawan sebelum merdeka yang hidup dalam tekanan penjajah
juga tidak wajar kerana suasana pada masa itu membentuk pemikiran dan
kefahaman mereka sehingga berlakunya pertentangan yang begitu - semua
yang berasal daripada penjajah atau Barat adalah tidak baik dan
bertentangan dengan Islam.
Dalam isu perubatan Islam istilah yang
sebaiknya digunakan adalah ruqyah shar`iyyah atau perubatan
alternatif sebagaimana yang digunakan oleh sebahagian daripada
pengamalnya.
Menggunakan istilah perubatan Islam namun kemudian
melakukan penipuan dan jenayah seksual sebagaimana yang banyak
dilaporkan dalam akhbar hanya menimbulkan fitnah kepada Islam secara
umumnya.
Apatah lagi dalam negara yang terdiri daripada pelbagai
bangsa dan agama seperti Malaysia.
Jinakkan
syahwat perut & faraj
Kesimpulan mudah yang boleh
dibuat, manusia berusaha dan menggunakan daya kreatif bagi memenuhi
syahwat perut dan faraj sehinggakan agama yang sepatutnya dianugerahkan
sebagai al-Din, yakni panduan kehidupan dimanipulasi untuk kepentingan
kedua syahwat tersebut.
Pernahkah kita terfikir mengapa puasa
disyariatkan dan mengapakah perkara yang perlu dipuasakan adalah syahwat
perut dan faraj?
Ia antara lain untuk melatih dan mendidik
manusia khususnya Muslim bagi menjinakkan keduanya, sehinggakan tiada
lagi alasan yang boleh diberikan jika dosa yang dibuat berpunca daripada
keduanya dilakukan oleh mereka kelak.
ZAHIRUDDIN ZABIDI
pelajar Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Sejarah & Tamadun Islam).
Assalammualaikum .......
ReplyDeleteBetoi cikgu bard
teruskan perjuangan cikgu ...
buat kerana Allah
Sampaikan salam kpd DSAI
Harap cikgu bard dapat mempertimbangkan cadangan saya:
anjurkan program2 kerohanian majlis zikir spt menjemput Syeikh2 Tariqat dari dalam @ luar negara
anjurkan majlis2 mencintai Rasullullah spt hadrah n Qasidah
Permulaan khusus kepada pengikut2 cikgu & seterusnya kpd terbuka masyarakat
hanya dgn cara ini kita akan berjaya
Kebenaran,keadilan yg Hak takkan tertegak dgn acuan demokrasi yahudi... kejayaan adalah dgn airmata
InsyaAllah saya sedia bekerjasama dibelakang tabir
Rgds
Hamba yg hina
Ok tu. Jgn jadi isham ttiub sudahlah...terus sekular...
ReplyDelete