Wednesday, December 15, 2010

Matlamat perjuangan: Demi kuasa atau menegakkan keadilan?

Oleh Beduk Canang.blogspot.com a.k.a Nazli Ibrahim

Mana satu matlamat perjuangan PKR sebenarnya? Adakah untuk menumbangkan kezaliman sekaligus menegakkan keadilan atau hanya kerana ingin berkuasa semata-mata?

Ekoran kenyataan sokongan reformis terhadap tindakan Chegu Bard yang menuntut agar JPP membuat siasatan telus dan memberikan jawapan terhadap aduan-aduan sepanjang pemilihan parti telah mencetuskan pelbagai pandangan pro dan kontra di blog ini.

Apa pun di atas prinsip kebebasan memberikan pandangan, ia merupakan satu perbahasan yang bagus dan amat tidak wajar bagi mana-mana pihak yang beremosi ketika membahaskan isu ini.

Dalam isu yang dilihat semakin berlarutan ini dan pada masa yang sama pilihan raya DUN Sarawak dan PRU 13 yang semakin hampir, persoalan asas mengapa Umno dan BN harus dinyahkan dari tampuk kuasa patut ditanyakan kepada diri sendiri.

Adakah penolakan terhadap UBN adalah semata-mata disebabkan perasaan benci dan meluat yang meruap-ruap terhadap parti itu semata-mata? Adakah semata-mata bagi memenuhi tuntutan nafsu yang mahu merasai nikmat memegang kuasa? Adakah disebabkan UBN harus ditolak kerana kegagalan parti itu memberikan keadilan kepada rakyatnya?

Penulis percaya tentunya ramai di antara kita yang memilih sebab ketiga iaitu faktor kegagalan UBN menegakkan keadilan untuk semua rakyatnya sebagai penyebab utama yang mendorong kepada kesungguhan untuk menolak UBN dalam PRU kelak.
Bagaimanapun, benarkah kita menolak UBN disebabkan keinginan melihat keadilan dapat ditegakkan untuk semua lapisan masyarakat negara ini? Benarkah prinsip untuk menegakkan keadilan itu adalah paksi utama dalam perjuangan kita?

Jika prinsip menegakkan keadilan merupakan paksi utama perjuangan, maka seharusnya keadilan wajar ditegakkan tanpa mengira siapa mangsa dan siapa pemangsanya.

Keadilan hakiki tidak tertegak seandainya perjuangan hanya digerakkan tatkala pemangsanya adalah UBN sahaja, manakala apabila keadilan dituntut di kalangan sesama sendiri ia hanya dilihat sepi dengan alasan menjejaskan persiapan untuk Putra Jaya.

Sekiranya kita hanya mentertawakan sambil berkata ‘padan muka’ kepada seorang penyokong UBN yang dizalimi oleh parti yang disokongnya itu sendiri tanpa berbuat apa-apa, maka jelas perjuangan kita hanyalah keinginan untuk berkuasa semata-mata. Apatah jika ia berlaku dikalangan kita sendiri.

Jika menegakkan keadilan merupakan misi utama dalam penglibatan seseorang dalam politik, maka seharusnya keadilan harus ditegakkan tanpa mengira masa dan siapa mangsa dan pemangsanya.

Sedangkan asas utama untuk ke Putra Jaya itu sendiri kononnya untuk menumbangkan kezaliman dan memberikan keadilan kepada semua pihak atau rakyat negara ini. Prinsip keadilan juga tidak boleh dilihat secara berpilih-pilih.

Kelompok yang mahukan agar isu penyelewengan dalam pemilihan PKR disenyapkan bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi pilihan raya bolehlah ditafsirkan sebagai kelompok yang meletakkan keutamaan untuk menumbangkan UBN sebagai keutamaan mereka.

Bagaimanapun, amat malang apabila kelompok ini sanggup membelakangkan keadilan yang dituntut oleh kelompok lain apabila melihat tuntutan ini boleh menjejaskan peluang ke Putra Jaya.

Dalam erti kata lain, ianya adalah sama dengan konsep yang diaplikasikan oleh UBN sendiri untuk mempertahankan tampuk kekuasaan mereka iaitu dengan ‘matlamat menghalalkan cara’.

Maka perjuangan seperti ini boleh disimpulkan sebagai perjuangan yang berasaskan untuk menolak UBN dari terus berkuasa semata-mata dan prinsip menegakkan keadilan adalah perkara sampingan yang dijadikan penyedap telinga massa bagi meraih sokongan.

Lantaran itu, sekiranya kelompok ini berjaya menakluki Putra Jaya kelak, lambat laun ia semakin menyerlahkan wajah sebenar yang kelihatan semakin lama makin menyerupai wajah UBN ketika berkuasa sebelumnya. Ini adalah akibat daripada perjuangan yang didasari keinginan untuk berkuasa semata-mata.

Ianya sama keadaannya kita menukarkan Perdana Menteri dari Mahathir kepada Abdullah Badawi dan Abdullah kepada Najib. Perdana Menteri bertukar, tetapi dari sudut keadilan untuk rakyatnya, ia tidak memberikan apa-apa makna.

Sama juga keadaannya dalam isu penyelewengan dalam PKR ini. Keadilan harus ditegakkan atau sekurang-kurangnya memberi peluang kepada pihak-pihak yang merasakan tidak memperolehi keadilan perjuangkan apa yang mereka percayai.

Kesan kemelut dalaman PKR terhadap prestasi dalam PRU

Sejauh mana kesannya terhadap prestasi PKR dalam PRU-13 nanti, ia bergantung kepada kecekapan JPP mentangani isu ini. Makin cepat JPP menyelesaikan aduan-aduan di atas meja, makin minimalah kesan terhadap prestasi PKR dalam PRU nanti dan begitu juga sebaliknya.

Walau apa pun, kesan penyelewengan dalam PKR sedikit sebanyak tetap akan memberi kesan. Cuma beban kini tergalas kepada bagaimana JPP dan kepimpinan parti menyelesaikan masalah ini sekaligus meminimakan kesannya.

Jika PKR menghadapi PRU dalam keadaan kemelut dalaman yang masih tidak diselesaikan lagi, bakal memberikan kesan terburuk sekali terhadap prestasi parti itu sendiri.

Tindakkan cuba menutup mulut para pengkritik atau mengarahkan Chegu Bard jangan buat yang ‘bukan-bukan’ adalah satu tindakkan yang tidak kemana-mana dan jauh sekali menyelesaikan masalah.

Melabelkan kelompok ahli parti yang berani mengkritik parti sendiri sebagai pengkhianat parti adalah sama keadaannya dengan pemimpin UBN melabelkan pengkhianat negara kepada pemimpin-pemimpin PR yang mengkritik pemerintahan UBN. Adakah kualiti pemimpin PKR adalah sama dengan UBN.

Ketika penulis menemubual Profesor Mohd Agus Yusoff ketika Pemilihan PKR telah berada di penghujungnya, beliau berkata, antara sebab utama kemelut yang berlaku dalam PKR disebabkan ketidakcekapan pemimpin parti itu dan JPP menguruskan masalah dalaman parti dalam mentangani aduan-aduan ketika pemilihan.

Katanya, pemimpin PKR dan JPP telah mengambil masa yang terlalu lama atau tidak kelihatan sebarang tindak balas hingga memberi persepsi aduan-aduan tersebut hanya disapu di bawah karpet menyebabkan dari luka kecil menjadi parah.

Malah, beliau juga percaya jika JPP mengambil langkah tegas semenjak mula pemilhan berlangsung bermula dengan aduan pertama yang diterimanya, kemungkinan besar belum tentu Zaid Ibrahim meninggalkan PKR.

Jadi, satu-satunya jalan yang ada buat PKR pada masa ini hanyalah segera menyelesaikan aduan-aduan yang diterima dengan telus dan adil serta mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dengan isu penyelewengan dalam pemilihan.

Kalau kita mengandaikan Zaid Ibrahim sebagai trojan horse walaupun ia hanya persepsi, sekurang-kurangnya kini beliau sudah menjadi orang luar parti. Apa yang patut PKR bimbangkan sekarang apabila trojan horse yang hanya berjuang untuk kuasa berbanding keadilan, mengaplikasikan kaedah matlamat menghalalkan cara yang seacuan dengan Umno dan masih berada di dalam PKR.

No comments:

Post a Comment