Thursday, November 12, 2009

Takziah : Isteri Datuk Kamarudin meninggal dunia

KELANA JAYA, 11 Nov: Isteri Datuk Kamarudin Jaffar, Datin Kamariah Kamarudin meninggal dunia jam 6 pagi ini selepas sekian lama melawan kanser.

Datin Kamariah meninggal di rumahnya di No 2, Jalan SS 7/4, Kelana Jaya, di hadapan anak-anaknya kerana suami beliau, Datuk Kamarudin, anggota Parlimen Tumpat yang juga AJK PAS Pusat masih dalam perjalanan pulang dari Qatar.

(Gambar: Anak bongsu Datuk Kamarudin tiba dari asrama disambut abang dan kakaknya)

Beliau bergegas pulang ke Malaysia selepas mengetahui isterinya tidak sihat malam tadi. Kamarudin, bekas Setiausaha Agung PAS, dijangka akan sampai ke KLIA tengahari ini.

Allahyarhamah Datin Kamariah, 50-an, telah sekian lama menghidap kanser usus dan sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) termasuk kimoterapi.

Suami beliaulah, walaupun dalam keadaan sibuk, sentiasa berada di sisinya termasuk berada bersama beliau setiap kali mendapatkan rawatan kimoterapi di SJMC.

Menjelang Mutamar PAS Jun lalu, Kamarudin telah memberitahu pucuk pimpinan PAS agar tidak lagi melantik beliau menjadi setiausaha agung. Alasan yang diberikan adalah untuk membolehkan beliau mempunyai lebih banyak masa dengan isterinya itu.

Datuk Kamarudin juga adalah Pengarah Urusan Harakah sehingga kini. Beliau mempunyai empat anak, dua lelaki dan dua perempuan, sepanjang perkongsian hidupnya dengan Allahyarhamah.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin Jaffar di atas pemergian isterinya, Datin Kamariah Kamarudin pagi tadi.

"Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada YB Datuk Kamarudin Jaafar di atas pemergian isteri beliau, Datin Kamariah Kamarudin, ke rahmatullah pagi ini 11 November 2009.

(Gambar: Presiden PAS dan timbalannya antara yang memberikan penghormatan terakhir)

"Sudah tentu pemergiaan isteri beliau ini bukan sahaja dirasai oleh Datuk Kamarudin Jaafar, tetapi juga seluruh anggota keluarga yang senantiasa bersabar dengan ujian dari Allah ini.

"Semoga Datuk Kamarudin Jaafar bersabar dengan ketentuan Allah ini. Kita juga mendoakan agar roh isteri beliau itu berada dalam rahmat dan keampunan Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan.

Jenazah Allahyarhamah Datin Kamariah akan disembahyangkan di Masjid Nurul Yakin, SS7 Kelana Jaya dan akan dikebumikan di Bukit Kiara selepas solat Asar.

Seluruh warga PAS, kakitangan Harakah dan Harakahdaily serta anak-anak syarikat mengucapkan takziah kepada Datuk Kamarudin dan keluarga. Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan solehah.

Sehingga jam tiga petang, kelihatan pemimpin pelbagai peringkat mula berhimpun di perkarangan rumah Kamaruddin.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang datang bersama timbalannya, Nasharudin Mat Isa serta beberapa wakil rakyat lagi

Turut hadir kemudian adalah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid, Ahli Parlimen Gombak Mohd Azmin Ali, Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Adun Batu Caves, Amirudin Shaari.

Sekitar jam 3.30 petang, Kamaruddin sampai ke kediamananya dari Qatar dan disambut dengan ucapan takziah oleh banyak pihak.

Beliau memeluk anak-anaknya dan terus melihat buat kali terakhir jenazah isterinya.

Selepas menatap wajah Almarhumah Kamariah, jenazah dibawa ke masjid sebelum dikebumikan selepas solat Asar petang tadi.

Alfatihah

1 comment: