Badrul Hisham Shaharin
Ketua Bahagian
Parti Keadilan Rakyat Rembau
d/a ; Pusat Khidmat Rakyat Rembau
No.390, Taman Seri Rembau,
70301 Rembau, Negeri Sembilan.
Tarikh : 3 Jun 2009
Kepada
YAB Datuk Seri Utama Mohamad Hassan
Menteri Besar Negeri Sembilan
Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan
Tingkat 5 Blok B,Wisma Negeri,
70503 Seremban, Negeri Sembilan
melalui email : mbns@sukns.gov.my
YAB Datuk ;
RAYUAN PERTIMBANGAN SEMULA UNTUK DUDUK BERBINCANG DAN MENIMBANGKAN TUNTUTAN PENDUDUK YANG TERLIBAT DALAM PENGAMBILAIHAN TANAH OLEH KTM DI REMBAU.
Dengan segala hormat demi kepentingan rakyat terbanyak perkara di atas dirujuk.
Untuk pengetahuan YAB Datuk saya telah bertemu dengan wakil penduduk Kampung Waris Chembong, Kampung Chembong Halt dan Kampung Chuai yang terjejas dengan projek landasan keretapi berkembar. Tanah mereka akan diambil alih oleh KTM dalam masa terdekat.
Menurut mereka, yang terlibat tidak diberi ruang dan pendedahan secukupnya untuk membincangkan masalah pengambil alihan tanah. Malah ada penduduk yang terlibat 'tidak berpendidikan' tinggi seolah tertipu dengan proses pengambil alihan paksa ini.
Mereka telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak, melalui Jawatankuasa Bertindak ini mereka telah pergi ke semua pihak yang berkenaan malangnya bukan sahaja masalah mereka gagal ditangani tetapi ada pihak yang lansung tidak melayan mereka. Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen kawasan tersebut juga seolah lepas tangan.
Sebagai latar belakang perkampungan disebut diatas telah diteroka oleh nenek moyang mereka seawal 500 tahun dahulu. Telapak yang semuanya terletak di tanah adat ini menjadi tempat anak suku dan saudara semenda berlindung, bertemu dan mengadakan kerapatan.
Nilai adat, kehidupan harmoni yang berteraskan perpaduan masyarakat amat tinggi terpendam dalam kampung tersebut. Namun semuanya tergugat dengan surat 'ugutan' dan ambil paksa tanah kerana hendak membuat jalan keretapi.
Tuntutan mereka yang terbabit ialah gantikan dengan tanah yang sesuai luasnya,rumah (telapak) yang sesuai luasnya untuk keluarga besar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan mengekalkan kekuatan adat dan istiadat yang harus dipelihara.
Malangnya mereka dipaksa untuk menerima pampasan yang jauh (sehingga lebih 70%) lebih rendah dari nilai yang dibuat oleh jurunilai bertauliah. Jumlahnya bukan sahaja jauh tidak terbanding dengan nilai kehidupan tinggi yang terpendam di kampung ini, tetapi dari segi nilai kormesial juga jauh lebih rendah. Maka nilai pampasan yang diperolehi (antaranya RM1.10 sekaki) jauh memungkinkan mereka mencari tanah yang sesuai untuk menggantikan tanah adat pusaka keluarga.
Penduduk mengadu betapa mereka dilayan seolah setinggan. Tidak dilayan oleh pihak berkenaan dengan sempurna. Malah kerajaan negeri bersikap lepas tangan, dengan hanya mengatakan kononya ia projek persekutuan dan undang – undang membolehkan pengambil alihan paksa. Adakah YAB Datuk bersetuju undang – undang digunakan untuk menzalimi rakyat dan membunuh suasana harmoni beradat ?
YAB Datuk selaku Pengerusi Umno Negeri Sembilan seharusnya lebih prihatin. Bukankah Umno yang sering memanipulasikan isu ketuanan dan hak melayu sebagai modal politik untuk meraih sokongan.... ini sebenarnya hakikat isu Melayu... Tanah Adat / Tanah Rizab Melayu makin terhakis.... hilang tidak berganti....
Saya selaku pemimpin Pakatan Rakyat yang berakar bangsa Melayu mengecam tindakan dan keseombongan pihak berkenaan dengan ini mendesak YAB Datuk untuk memulakan usaha perbincangan semula dan memberhentikan pengambil alihan tanah tersebut secepat mungkin.
Jika YAB Datuk tidak tahu bagaimana hendak memulakan proses perbincangan dengan beradat dan beradab pihak saya bersedia menjadi orang tengahnya.
Mati di kandung tanah hidup di kandung adat.
Sekian dan terima kasih.
BADRUL HISHAM BIN SHAHARIN
Ketua Bahagian
Parti Keadilan Negeri Sembilan.
email : chegubard@gmail.com
blog : http://chegubard.blogspot.com
No comments:
Post a Comment