Anak muda merupakan golongan yang secara langsung terlibat dalam segala aspek kehidupan bernegara yang sentiasa berjuang dalam memastikan diri kita tidak tercicir dalam arus pembangunan. Setujukah kawan – kawan bahawa hari ini kita terpaksa memikirkan beban kos minyak, gaji yang rendah, mutu pendidikan yang merosot, kekurangan pusat – pusat riadah. Mereka membina Kompleks berharga jutaan ringgit, tetapi adakah kita anak muda pertengahan ini mampu untuk merasai nikmat kompleks itu?
Pelajar telah kehilangan kebebasan akademik walaupun sedikit sinar muncul disebalik kes UKM4 namun, sikap Kerajaan yang ingin merayu penghakiman Mahkamah Rayuan adalah amat dikesali. Anak muda pelajar terus ingin dicengkam dengan AUKU oleh rejim pemerintah. Anak muda terus dicengkam minda. Tiada kebebasan dalam berfikir yang boleh memberikan impak positif kepada Negara. MY Creative Capital yang diumumkan dalam Belanjawan 2012 tidak akan mungkin mencapai objektif sebenar sekiranya kebebasan berfikir terus dijajah.
Jika Isacc Newton dilarang meluahkan idea kepada guru dan rakan sekolah, mungkin tiada kedengaran tentang gravity. Jika Albert Einstein dikongkong dari berhujah di sekolah, di university hanya kerana tiada tauliah, tentunya dia tidak dapat menghasilkan teori yang mengubah persepsi manusia terhadap ruang, masa dan gravity. Dan, jika Mark Zuckerberg tidak diberikan ruang untuk mencipta, sudah pasti hari ini kita tidak dapat berinteraksi dengan rakan-rakan di seluruh dunia melalui facebook. Sistem pendidikan hari ini akan kekal tempang manakala sistem mengemis projek dan kontrak akan berterusan. Anak muda akan terus kehilangan arah kerana kreativiti gagal muncul tanpa kebebasan berfikir, bersuara dan berekspresi.
3 November lepas menjadi titik kebangkitan golongan pekerja menuntut pembelaan hak mereka daripada ditindas oleh golongan kapitalis dan opportunis politik apparat kapitalis yang rakus menjadi lintah menghisap darah mereka. Kaum pekerja merupakan segmen masyarakat yang selama ini telah bermandi peluh, berkorban jerit perih demi untuk membangunkan dan memajukan Negara. Jasa dan pengorbanan yang tidak ternilai ini sedang cuba disentap dengan pengenalan pindaan Akta Kerja 1955 yang berpotensi untuk menindas dan menganiayai mereka.
Kaum pekerja perlu bersatu dengan mengambil pengertian dan semangat Aidiladha ini dalam perjuangan suci mereka untuk terus bangkit memperjuangkan hak mereka bersama. Pengorbanan kaum pekerja selama ini harus diangkat dengan memberikan mereka pembelaan yang sewajarnya, bukannya penindasan demi penindasan hanya untuk terus mengkayakan segelintir kapitalis. Ahli politik mesti memahami hakikat kedatangan Aidiladha, melakukan tindakan dan perbuatan untuk mencari keredhaan Allah, bukannya menjadi opportunis bernaung sebagai apparat kapitalis hanya kerana anda memerlukan sumber pembiayaan kempen pilihanraya semata-mata.
Kita juga anak muda pasca-merdeka perlu mengambil iktibar kesusahan dan keperitan pejuang-pejuang tanahair termasuklah pejuang-pejuang yang tidak didendang (unsung Heroes) selama ini. Mereka telah bersatu hati menentang penjajah dengan kudrat kecil jika dibanding dengan penjajah, namun semangat untuk memerdekakan tanahair dari genggaman penjajah yang menindas tidak pernah luntur. Pejuang-pejuang ini tidak pernah gentar walau dipenjara, diseksa, dihina dengan pelbagai gelaran. Komunis, pelampau agama dan kaum adalah kalimah-kalimah warisan penjajah demi untuk memastikan tanahair tercinta ini kekal di dalam genggaman mereka melalui pewaris-pewaris yang dicipta penjajah. Iktibar semangat dan pengorbanan mereka ini perlu ditanam di dalam setiap diri kita anak muda pasca-merdeka. Jangan menjadi lemah longlai hanya dengan pemberian materialistik hingga kita alpa dengan nasib teman-teman lain di sekeliling kita.
Lihat, anak muda Mesir, Libya dan Tunisia yang telah bangkit menolak rejim pemerintah zalim, rakus kuasa, haloba dan aparat kapitalis yang menindas mereka bertahun lamanya. Mereka sanggup berkorban demi membebaskan Negara mereka dari penguasa bongkak yang tidak lagi mengenal erti ketuhanan dan kemanusiaan. Di Libya, di sebalik segala kebajikan yang diberikan oleh Rejim Ghadaffi namun, rakyat bangkit menuntut sebuah pemerintahan yang adil dan berperikemanusiaan.
Sempena kedatangan Hari Raya Aidiladha ini dapat kita bersama-sama insafi pengertian sebuah pengorbanan agar masa depan Negara ini terus bergemerlapan tanpa penindasan terhadap mana-mana entity di dalamnya.
SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
No comments:
Post a Comment