Sunday, November 14, 2010

Wan Azizah puji cara anak muda tangani krisis Keadilan


Ekoran, 'kontroversi' dalam pentadbiran pemilihan Keadilan, Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pemimpin parti itu supaya mengelakkan kritikan peribadi sesama sendiri.

Menurutnya, ini kerana perkara sebegitu hanya akan "membuka ruang kepada musuh". "Apa yang berlaku ini merupakan proses mematang dan memantapkan parti.

"Kita yakin ini akan menatijahkan semangat dan kekuatan baru kepada ahli dan parti," katanya yang menang tanpa bertanding sebagai presiden dalam pemilihan langsung kali pertama itu.

Dalam satu kenyatan hari ini, Wan Azizah memberi jaminan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat Keadilan dan beliau sendiri akan memberi perhatian serius terhadap kritikan yang dibuat melalui perbagai cara.

"Bahkan kita telah pun memulakan tindakan dan tumpuan diberikan kepada kes-kes yang mempunyai petunjuk yang jelas. "Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi etika yang digariskan," katanya.

Semalam, Pengerusi Keadilan Pahang Datuk Fauzi Abd Rahman menyerahkan "Resolusi Rapat Anak Muda Malaysia" bertarikh 10 November 2010.

Resolusi enam perkara itu berkaitan perjalanan pemilihan pimpinan parti yang sedang berjalan.

Wan Azizah juga menyifatkan tindakan menyerahkan resolusi itu merupakan proses yang baik mengikut saluran yang tepat dan menunjukkan kematangan anggota dalam menangani isu-isu berbangkit.

Petikan Sharpshooter - Inilah cara terbaik untuk menangani masalah dalaman parti bukannya menyerang parti di media perdana. Jangan keruhkan lagi suasana yang ada dengan menyerang mana-mana individu hingga ada yang cabar untuk berdebat tetapi bila Chegubard pelawa berdebat tentang misi dan visi AMK, diam membisu pula.

Ingatlah, tidak mustahil Parti Keadilan Rakyat akan menerima nasib seperti Umno lama yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada tahun 1988 sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk mengatasi kemelut dalam pemilihan yang sedang berlangsung.

Kes pengharaman Umno 1988

Untuk rekod, pada Jun 1988, satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno yang dinamakan sebagai ‘Umno 11′.

Kumpulan ini telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Akibat daripada tindakan kumpulan Umno 11 tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Harun Hashim telah mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram-FMT

Kepada semua pencinta dan pendokong Parti Keadilan Rakyat, janganlah terlalu emosi hingga membawa kes parti ke mahkamah. Berilah ruang kepada pimpinan parti menyiasat dan mengambil tindakan. Fikirlah hati rakyat yang terluka dan nasib rakyat marhaen bukannya hanya memikir tentang kepentingan diri sendiri hingga mahu manghancurkan parti.

Chegubard tidak sekali-kali akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mahu membawa kes ke mahkamah atau ingin keluar parti dan menubuhkan parti baru.

Kepada pimpinan atasan parti, bertindaklah atas dasar keadilan dan kebenaran bukannya atas dasar untuk kepentingan individu kesayangan. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi parti mesti diutamakan dan imej parti wajib dipulihkan kembali dengan kadar segera.

No comments:

Post a Comment