KUALA LUMPUR, 4 Mei (Hrkh) - Dalam beberapa perhimpunan aman yang dianjur pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang mutakhir ini, polis dilihat mula bertindak ke atas peserta dan penganjur dengan beberapa siri penahanan.
Terbaru, dalam satu perhimpunan aman sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei di Seremban, polis telah menahan empat aktivis Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) sebelum sempat sidang media dimulakan.
Berikutan tindakan itu, empat aktivis AMK yang ditahan komited untuk membawa kes penahanan mereka itu kepada Bahagian Tatatertib Ibu Pejabat Polis Bukit Aman 5 Mei ini (Esok), kata Timbalan Ketua Penerangan, Badrul Hisham Shaharin kepada Harakahdaily hari ini.
Badrul Hisham mendakwa, penahanan beliau dan tiga lagi rakannya itu disyaki ada kaitan dengan arahan dari 'orang politik' yang berkepentingan di Negeri Sembilan.
Turut ditahan ketika kejadian ialah, Ketua AMK Negeri Sembilan, Haji Ramlan Roes; Setiausaha AMK negeri, Azizi Abdul dan penolongnya, Amer Hariss.
"AMK akan failkan satu laporan tatatertib kepada Bahagian Tatatertib Bukit Aman, dan selepas itu satu salinan laporan akan dihantar ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam),"kata Badrul Hisham.
Ditahan sebelum mulakan sidang media
Empat aktivis AMK itu ditahan di hadapan Wisma Umno 1 Mei ketika belum sempat memulakan sidang media pengedaran risalah perhimpunan kesedaran rakyat sempena sambutan hari pekerja 1 Mei dekat sini.
Perhimpunan yang dijangka dimulakan pada jam 11.35 pagi itu akhirnya tidak berjalan seperti yang dirancangkan setelah polis terlebih dahulu menghalang kumpulan perhimpunan.
Ketika mahu memulakan sidang media, kumpulan perhimpunan aman didatangi oleh OCPD Seremban, Hasanuddin Hassan yang mahu semua peserta yang berhimpun bersurai segera tanpa mengadakan apa-apa aktiviti termasuk sidang media kepada wartawan.
Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharin, yang ketika itu cuba berbincang dengan Hasanuddin akhirnya ditahan oleh lima anggota polis berpakaian preman.
Badrul dan rakan diheret
Akibat dari tindakan 'ganas' polis mengheret Badrul Hisham, tiga lagi rakan aktivis AMK cuba berbincang dengan polis bagi membebaskan Badrul Hisham, bagaimanapun mereka turut ditahan ketika pergelutan berlaku.
Ketika diheret ke dalam trak polis, Badrul Hisham dan tiga yang lain sempat mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan pihak polis hari ini didakwa sebagai tindakan 'pengecut' dan tidak 'bermaruah'.
"OCPD Seremban jadi alat kepada Mohammad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan)," laung Badrul Hisham disahut rakan-rakannya dengan laungan reformasi dan Umno pengecut
No comments:
Post a Comment