KUALA LUMPUR, 2 Mei (Hrkh) - Empat aktivis Angkatan Muda KeADILan (AMK) yang ditahan dalam perhimpunan aman di hadapan Wisma Umno semalam akhirnya dibebaskan jam 1.20 petang tadi dengan jaminan polis.
Empat aktivis yang ditahan ialah, Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharin; Ketua AMK Negeri Sembilan, Haji Ramlan Roes; Setiausaha AMK negeri, Azizi Abdul dan penolongnya, Amer Hariss.
Badrul Hisham yang dihubungi Harakahdaily selepas dibebaskan berkata, tindakan polis itu adalah disyaki ada kaitannya dengan arahan dari pihak tertentu yang tidak mahu risalah kesedaran kenaikan harga minyak diedar di Negeri Sembilan.
Polis alat Umno?
"Saya kecewa, polis bertindak sedemikian dan menjadi alat Umno lebih-lebih lagi selepas AMK membuat cabaran terbuka kepada Umno untuk berdebat mengenai isu harga minyak di Wisma Anwar, Seremban baru-baru ini.
"Kita ambil inisiatif edar risalah setelah cabaran terbuka AMK itu tidak disahut Umno," katanya.
Sambil melahirkan rasa kecewa dengan tindakan ganas polis mengheret beliau dan tiga lagi rakannya tanpa sebarang perbincangan, beliau menyatatkan tindakan itu menggambarkan Umno Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Mohammad Hassan takut kepada kebangkitan rakyat berikutan isu kenaikan harga minyak, katanya.
Ini ditambah pula dengan isu keretakan hubungan antara pemimpin Umno negeri sehingga wujudnya kem-kem dikalangan mereka, dakwanya.
"Kita akan teruskan lagi usaha menyedarkan rakyat.Penahanan saya semalam tidak melunturkan semangat dan ianya pembuka jalan kepada usaha menyedarkan rakyat negeri ini khasnya seluruh Malaysia amnya,' katanya.
Empat aktivis AMK itu ditahan di hadapan Wisma Umno semalam (1Mei) ketika mahu memulakan sidang media pengedaran risalah perhimpunan kesedaran rakyat sempena sambutan hari pekerja 1 Mei dekat sini.
Perhimpunan yang dijangka dimulakan pada jam 11.35 pagi itu akhirnya tidak berjalan seperti yang dirancangkan setelah polis terlebih dahulu menghalang kumpulan perhimpunan.
Ketika mahu memulakan sidang media, kumpulan perhimpunan aman didatangi oleh OCPD Seremban, Hasanuddin Hassan yang mahu semua peserta yang berhimpun bersurai segera tanpa mengadakan apa-apa aktiviti termasuk sidang media kepada wartawan.
Timbalan Ketua Penerangan AMK, Badrul Hisham Shaharin, yang ketika itu cuba berbincang dengan Hasanuddin akhirnya ditahan oleh lima anggota polis berpakaian preman.
Badrul dan rakan diheret
Akibat dari tindakan 'ganas' polis mengheret Badrul Hisham, tiga lagi rakan aktivis AMK cuba berbincang dengan polis bagi membebaskan Badrul Hisham, bagaimanapun mereka turut ditahan ketika pergelutan berlaku.
Ketika diheret ke trak polis, Badrul Hisham dan tiga yang lain sempat mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan pihak polis hari ini didakwa sebagai tindakan 'pengecut' dan tidak 'bermaruah'.
"OCPD Seremban jadi alat kepada Mohammad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan)," laung Badrul Hisham disahut rakan-rakannya dengan laungan reformasi dan Umno pengecut.
No comments:
Post a Comment