Sunday, November 15, 2015

Kes Bantahan Penipuan PRU 13 (Blackout 505) depan Parlimen 15 termasuk saya dipanggil bela diri

Kenyataan Umum

15 November 2015

KES BANTAHAN PRU 13, 15 DIPANGGIL BELA DIRI
  1. Pilihanraya Umum ke 13 , 2013 merupakan antara pilihanraya paling kotor dalam sejarah negara. Ia menyaksikan Kerajaan Malaysia dibentuk dengan undi porpular hanya 47.4%. Maka Bn bukan sahaja menipu pilihanraya tetapi Kerajaan yang dibentuk bukan lagi kerajaan majoriti.
  2. Keputusan itu disambut dengan protes rakyat bermula dengan himpunan rasaksa di Klana Jaya. Satu siri jelajah protes dan penerangan penipuan pilihanraya dengan tema Black out 505 telah diadakan seluruh negara. SAMM dan sekutu sendiri terlibat selaku penganjur antara himpunan "Blackout 505" yang terbesar iaitu di Padang Timur, Petaling Jaya, di mana hampir dua tahun saya berdepan pertuduhan 'menganjurkan himpunan haram'. Kes tersebut saya mulakan dengan membela diri dan pertengahan kes tersebut hadir Sdr. Eric Paulsan dan teman- teman peguam dari Lawyers4Liberty membantu yang mana berakhir dengan saya dibebaskan.Selain saya Komrad Azhar Achil (Penyelaras SAMM Selangor) juga berdepan tuduhan di Mahkamah Kelang kerana menganjurkan program BlackOut 505 di Sungai Besar.
  3. Kemuncak kempen "Blackout 505" ialah Himpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Walaupun ada pihak kalangan kita sendiri cuba menggagalkan dengan perbagai alasan antaranya kerana tidak berjaya mendapat jawatan Menteri Besar namun kerana mood rakyat yang kuat himpunan pada petang Sabtu tersebut tetap berjaya.
  4. Tetapi beberapa aktivis telah bersetuju untuk bermalam di Kuala Lumpur dan pada hari Isnin ketika majlis aangkat sumpah (hari pertama sesi pertama penggal ke 13) kami bersetuju bersama untuk menghantar memorandum bantahan ke Parlimen.
  5. Subuh Isnin tersebut masih segar di ingatan bagaimana sebelum subuh, khemah kami 'disamun' oleh penguasa yang hadir dengan jumlah yang cukup ramai dan lengkap bersenjata. Pagi itu kami bergerak bersama ke Parlimen. Rundingan dibuat beberapa ahli parlimen setuju untuk turun mengambil memorandum bantahan, malah Ketua Polis Daerah yang dirunding bersetuju membenarkan.
  6. Namun apabila anggota keselamatan mula bertindak kasar keadaan agak luar kawal. 33 orang dari yang hadir telah ditahan dan dilokap. Tangkapan yang agak kasar telah mengakibatkan ada antara kami yang cedera.
  7. Selepas itu kami terus dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan menyertai himpunan haram malah 17 orang dari 33 orang mendapat pertuduhan ke dua iaitu merusuh yang boleh membawa kepada hukuman penjara 2 tahun bagi pertuduhan di bawah Kanun 147 manakala bagi pertuduhan kanun 143 pula 6 bulan penjara.
  8. Setlah lebih 2 tahun kes ini dibicarakan pada 13 November 2015 yang lepas Mahkamah melalui Hakim Abdul Rashid Daud telah membacakan keputusan di mana 15 orang bebas dan 18 yang lain termasuk saya dikehendaki membela diri kerana wujud 'prima facie'.
  9. Sehingga kesempatan ini saya dan 33 teman - teman yang dibicarakan mengucapkan terima kasih atas sokongan perbagai pihak khususnya peguam - peguam. Banyak yang kita sama lalui. Dalam kes ini ada seorang warga emas terpaksa berulang dari Johor dan tidur di masjid sebelum disedari dan diberi tumpang oleh teman-teman OKT. Ada OKT yang diambil tindakan disiplin oleh majikan kerana tidak hadir kerja kerana ke mahkamah.
  10. Tahniah kepada 15 orang yang dibebaskan. Saya dan 18 yang lain akan meneruskan perjuangan di mahkamah dengan InsyaAllah tanpa rasa gentar. Bagi kami ia perjuangan suci ke arah mendapatkan pilihanraya bebas dan adil yang menjadi hak asas dalam negara demokrasi. Malaysia seharusnya malu dengan negara tentera Myanmar yang berjaya mengadakan pilihanraya tanpa kritikan keras dunia. Sebaliknya Malaysia bukan sahaja dalam negara malah dunia mehamburkan kritikan terhadap proses pilihanraya negara.
  11. Bagi kami ia pendakwaan terpilih kerana kami bersuara secara aman, kami didera dengan sistem perundangan yang dimanipulasi oleh penguasa monoriti ini. Sebaliknya pro Kerajaan banyak lakukan himpunan khususnya mutaakhir ini langsung tidak ada tindakan malah kelihatan seperti dilindungi. Adakah kebebasan bersuara itu hanya dimiliki oleh pro Kerajaan ?
  12. Kes ini akan disambung 3 hari berturut - turut Januari 2016. Mungkin kami akan didapati bersalah atau tidak kami serahkan kepada kebijakan peguam dan berserah pada Allah namun sama sekali tidak mematahkan semangat kami. Disini saya berjanji saya tidak akan membayar satu sen pun kepada sistem perundangan 'songsang' ini dan jika ditakdir bersalah saya akan memilih penjara dari tunduk menyerah wang sebagai akuan bersalah.
  13. Kepada semua khususnya politikus pemimpin utama parti - parti politik, isu pilihanraya bebas dan adil ini harus jangan berhenti diperjuangkan. Jangan ia hanya diingati selepas kalah PRU14 nanti dan anda merengek kembali kepada rakyat. Ketika kami merayu tangguhkan angkat sumpah sehari sahaja supaya ia menjadi perhatian dunia , kamu dengan angkuh mengangkat sumpah kononnya mahu gunakan kesempatan duduk dalam parlimen untuyk melawan. Namun apa yang terjadi... masuk parlimen tidur, tanya soalan salah malah berapa ramai yang ponteng termasuk sesi - sesi penting. Amat juga kecewa apabila ada pemimpin yang kononya progresif yang menyatakan sokong Najib kerana dia dipilih dalam pilihanraya bebas dan adil.
  14. Kesempatan ini juga saya menyeru kepada BERSIH supaya kembali memfokuskan perjuangan pilihanraya bebas dan adil. Biarkan isu najib dipelopori oleh parti dan pihak lain. Kini BERSIH tumpu untuk undi tidak percaya Najib. Isunya ialah adakah Najib dijatuhkan ia akan digantikan oleh (orang dalam Umno) orang yang akan memastikan pilihanraya BERSIH ? Ya isu Najib banyak seharusnya BERSIH ambil isu pengakuan Najib bahawa wang RM2.6 billion digunakan untuk pilihanraya maka ia membawa jumlah yang salah dengan akta pilihanraya. Seret mereka ke mahkamah, bukan saja Najib tetapi kemenangan Bn itu sendiri haram. BERSIH harus guna kesempatan ini untuk mobilisasi rakyat, desak PRU bersih. SPR ditukar dan proses melihan suruhanjaya dengan penglibatan rakyat. Saya tidak boleh menyelindungkan kecewa saya apabila bersih seolah hilang fokus dan tersedut dengan sentimen bukan sahaja politik kepartian malah ia politik hanya menggantikan sosok tubuh semata.
  15. Yakinlah perjuangan menuntut pilihanraya bersih ini merupakan perjuangan yang payah dan panjang umpama menuntut kemerdekaan kedua bagi pihak rakyat. Perjuangan ini memerlukan pengorbanan. Doakan saya dan teman - teman terus tabah melangkah. Janji kami selagi terdaya kami akan terus berjuang. Bagi kami dari duduk bersimpun baik rebah merempuh.

Sekian

che'GuBard,
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)


No comments:

Post a Comment