Wednesday, June 11, 2014

Isu halal : Ketegasan JAKIM dituntut


Isu pengiktirafan halal oleh Jakim seperti ada pasang surutnya. Ia seolah bermusim. Musim kali ini ia dimulakan dengan kontroversi terdedahnya laporan kajian dari sebuah makmal yang mengatakan wujud DNA Babi dalam coklat Cadbury. Namun ia setelah ia berlarutan maka Jakim kemudian telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan produk tersebut halal. Namun ia tidak mematikan pertikaian berkenaan hal tersebut.

Makanan halal menjadi trend hari ini bukan hanya kerana soal hukum agama tetapi penganut agama lain turut menjadikan halal sebagai tanda aras bagi memastikan soal keselamatan dan kebersihan makanan yang diambil. Tidak dinafikan dalam hal pengiktirafan halal JAKIM ini, kita agak dihormati.

Namun menjadi persoalan mengapa dalam ramai menghormati penetapan standard halal ini persoalan keraguan halal ini wujud dan seolah bermusim. Terbaru pula tersebar dalam media sosial berkenaan isu Mee Hoon label Masjid. Bukan sahaja taraf halalnya diragui tetapi dari gambar yang tersebar jelas sekali kilang tersebut amat kotor.

Dalam hal ini Jakim dituntut ketegasanya.

Perlu diketahui pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 yang diluluskan di parlimen sejak 2010 memperuntukkan denda yang lebih berat kepada pesalah individu dan syarikat yang menyalahgunakan logo halal JAKIM.

Pindaan itu mengenakan denda RM500,000 untuk individu dan RM1 juta kepada syarikat atau penjara lima tahun atau kedua-duanya. Jika kesalahan itu diulangi, pihak berkenaan akan didenda sehingga RM1 juta bagi individu dan RM5 juta bagi syarikat atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya.

Kilang Mee Hoon Van Loong Mee Hoon beralamat 29A Batu 7, Jalan Ipoh Kuala Lumpur telah beroperasi lebih 30 tahun, dipercayai melanggar akta berkenaan. Selain kotor dan jijik, syarikat itu juga sepertimana disahkan oleh JAKIM, telah menggunakan logo halal palsu.

Nah ... apa lagi nak ditunggu, bukti dah terpampang di depan mata. Tidak cukup sekadar arahan menutup kilang oleh pihak berkuasa, JAKIM sepatutnya menggunakan akta yang sedia ada untuk mengheret syarikat dan individu terbabit ke mahkamah.

Jangan sampai ada individu di JAKIM nak buat demontrasi makan bihun pula. JAKIM jangan main-main !

Selain itu Jakim juga perlu ada pasukan penguatkuasaan yang pro aktif bukan hanya bertindak bermusim yang mana akhirnya isu halal ini dilihat menjadi mainan dan akhirnya standard halal Jakim yang disegani itu boleh dipermainkan yang mana seterusnya memberikan kesan buruk pana Islam itu sendiri.

Jakim juga diseru mempermudahkan pengiktirafan halal ini dari segi permohonanya khususnya dalam perihal kewangan,  ini kerana terdapat rungutan status halal sesebuah restoran besar boleh terganggu hanya kerana ia mendapatkan bekalan kuih dari makcik yang membuat kuih yang tidak mendapat status halal kerana ketidak kemampuan kewangan yang sememangnya dari aspek kebersihan dan sumber bahan ia halal.

Akhirnya industri kecil sederhana negara ini yang menjadi sumber kekuatan akenomi rakyat terbantut kerana isu logo halal.

Dalam isu halal inin jelas Jakim perlu tegas, pro aktif dan lebih memahami realiti bukan sekadar duduk di pejabat dan hanya bertindak berdasarkan apa yang sudah menjadi isu semata - mata.


- che'GuBard, SAMM


No comments:

Post a Comment