SHAH ALAM 4 APRIL : Pakatan Rakyat (PR) menyeru semua untuk hadir
menyertai satu perhimpunan besar-besaran pada 1 Mei nanti bagi
menyuarakan bantahan ke atas kerajaan Umno-BN.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata PR juga akan mengerahkan
seluruh ahli dan penyokong untuk menghadiri perhimpunan anjuran badan
bukan kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Katanya,
kehadiran semua penting bagi memberi mesej bantahan atas pelaksanaan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) dan kenaikan harga barang.
“PR akan menyertai himpunan anjuran NGO itu sebagai meneruskan usaha
kita sejak Januari lalu dengan jelajah bantahan (GST, TPPA dan kenaikan
harga barang).
“Kita akan kumpulkan seramai mungkin, ratusan ribu (untuk himpunan),” katanya dalam sidang media hari ini.
Sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi
tadi turut disertai Ahli Jawatankuasa PAS, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib
Presiden PKR, Tian Chua.
Melalui video rakaman di Harakahdaily, Tian Chua pula berkata
himpunan kali ini penting bagi memberi amaran kepada Umno-BN untuk
menguruskan wang rakyat dengan baik sekaligus mengurangkan bebanan
rakyat yang semakin terhimpit.
“Selepas pilihan raya, sehingga kini kita tidak melihat apa-apa
perkembangan atau usaha Kerajaan Pusat untuk membantu meningkatkan
ekonomi rakyat untuk seimbangkan dengan kenaikan kos sara hidup.
“Sekarang ini pun, inflasi meningkat, hutang isi rumah juga
meningkat, tetapi Kerajaan Pusat hanya buat lagu-lagu (GST) untuk siaran
media dan tiada sebarang persiapan konkrit mengurangkan beban rakyat
menjelang pelaksanaan GST setahun daripada sekarang,” katanya.
Himpunan pada awal Mei nanti dijangka bermula jam 2 petang hingga 5 petang serta disertai beberapa NGO lain.
Peserta akan berhimpun di beberapa lokasi seperi di Masjid Negara,
Sogo, Dataran Maybank dan Brickfield sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
No comments:
Post a Comment