Tulisan Terbuka
20 Oktober 2013
Sempena Hartal 66 tahun, Ayuh Kita Susun Gerakan Ampuh
Tanggal
hari ini, 66 tahun yang lalu menyaksikan semangat penyatuan rakyat di
seluruh negara berada di kemuncaknya. Demi membantah Perlembagaan
Persekutuan yang diusulkan oleh Penjajah British, Pusat Tenaga Rakyat
(PUTERA) dan All Malayan Council of Joint Action (AMCJA) telah
melancarkan Hartal di seluruh Malaya. Inilah kekuatan demokrasi rakyat
sebelum dilembikkan oleh 'subsidi' kerajaan selama hampir 60 tahun. Dari
dasar pecah perintah, hingga ke dasar 'kalimah Allah', rakyat terus
cuba dipisahkan dari bersatu.
Hari
ini, selepas 5 bulan rakyat dinafikan demokrasi melalui penipuan PRU13,
kita terus terperosok menghitung nasib ketika satu demi satu musibah
berlaku hasil dari kekalnya pemerintah legasi penjajah. Kemenangan penuh
penipuan dengan sokongan minoriti kurang '47 peratus' ini, rompakkan
siang hari terus berlaku dan rakyat terus diperah keringat untuk
kemewahan tidak terperi kaum kerabat serta kroni.
Aspirasi
perubahan yang cuba diterjemah dalam PRU13 telah digagalkan dengan
penipuan. Mungkin ramai di antara kita sudah akur keputusan PRU13 dengan
alasan kita gagal mengekang penipuan tersebut. Tetapi saya tetap tidak
berganjak untuk tidak menyerah dan terus lawan kebobrokan ini hingga ke
akhirnya. Gagal mengekang penipuan pilihanraya bukan bermaksud kita
perlu akur, kerana saya percaya jika kita akur berserah kepada penipuan
ini bermakna kita telah bersubahat. Noktah.
Apabila
kerajaan yang terbentuk itu terhasil dari penipuan, ia sama sekali
tidak berkat khususnya buat rakyat. Lihatlah bagaimana kerajaan terus
menipu dengan menaikkan harga RON95 setelah berjanji ia tidak akan
dinaikkan. Telah dijanjikan hanya RON97 sahaja yang diselaraskan
mengikut pasaran harga petrol dunia, bukan RON95. Apakah kita begitu
mudah terlupa? Maka domino kenaikkan rantaian harga keperluan asas
berlaku dan rakyat menjadi mangsa.
Malah
ketika saya menulis ini juga, subsidi gula sedang dalam perjalanan
untuk diturunkan. Alasan menteri 'ayam' berbunyi - demi rakyat sejahtera
harga gula dinaikkan. Perdana menteri juga acap kali menyebut 'rakyat
perlu ubah gaya hidup' ketika ada anak menteri yang didakwa beli banglo
RM7.2 juta. Rakyat diminta untuk berkorban demi keluarga 'mereka'.
Saya
tidak mahu menyebut soal audit yang harus menjadi polemik besar, ia
terlalu panjang untuk dihuraikan. Cukuplah jika saya menyentuh soal
kualiti hidup rakyat menjunam merentasi masa. Percayalah bahawa rakyat
hari ini terpaksa beralah untuk memilih keperluan asas jenama yang
kurang berkualiti berbanding sebelumnya demi penjimatan. Dulu minyak
masak botol berjenama, kini hanya minyak masak paket iaitu minyak masak
kitar semula dari restoran KFC dan McD. Sos cili yang berplumbum, kicap
yang terlebih masin, beras yang hancur berderai, semua ambil jenama
murah, kualiti dipinggirkan. Rakyat tidak sihat asalkan pemimpin terus
sihat.
Tanahair
juga bakal ketandusan modal insan. Kini kedengaran banyak kes anak
derhaka, ibu ditinggalkan, bapak dipukul secara 'royal rumble'. Mengapa
ini terjadi dalam negara yang rakyatnya kaya budi bahasa? Semua ini
berlaku kerana ayah dan ibu telah menjadi pencuri, mencuri masa emas
yang sepatutnya bersama anak-anak. Detik tersebut telah disalahguna
kerana kesempitan hidup. Ibu bapa mencari lebihan wang untuk berniaga di
sebelah malam, menyertai MLM, kerja lebih masa hingga melibatkan sabtu
dan ahad. Maka anak akan berpeleseran tanpa kasih sayang yang cukup.
Akhirnya rasa hormat dalam sistem kekeluargaan akan berkurang. Kes anak
derhaka mungkin terpencil hari ini, bagaimana dalam tempoh 10 tahun
lagi? Tanpa modal insan, negara akan lahirkan generasi anak muda sumbang
yang tidak menyumbang.
Apa
yang saya sebut di atas bukanlah pilihan sebenar rakyat Malaysia. Ibu
bapa pasti mahukan masa yang lebih banyak untuk anak-anak, mereka juga
mahukan kualiti hidup dengan keperluan asas yang berkualiti. Tetapi
rakyat tiada pilihan, terpaksa melalui detik sukar ini ketika pembaziran
berleluasa - lihat sahaja laporan audit. Rakyat Malaysia layak untuk
kehidupan yang lebih baik, percayalah. Untuk kualiti dan negara yang
lebih baik, rakyat telah memilih perubahan, namun kematian demokrasi
menghalang. Ini hakikat.
Maka
sesuatu perlu dilakukan. Pakatan Rakyat telah melancarkan #Black505
sejurus selepas PRU13 namun memenui jalan buntu. Malah ia tidak terkesan
secara menyeluruh kerana tiada hasil yang nyata. Akhirnya rakyat letih
untuk meneruskan perlawanan di jalanraya kerana telah masak dengan
'endingnya' - ceramah, ceramah, ceramah! Ini meletihkan, ceramah tidak
membawa perubahan.
Rakyat
perlukan satu aksi yang mampu membawa perubahan. Tidak keterlaluan jika
saya katakan di atas kesedaran betapa penipuan PRU berlaku, rakyat mahu
pilihanraya semula jika berpeluang. letih dengan perhimpunan berbentuk
ceramah, hasil keputusan yang tidak merubah apa2, tiada kesan mendalam.
Sekiranya
satu perhimpunan dianjurkan oleh parti politik, menolak GST contohnya,
saya pasti ia tidak akan mendapat sambutan yang besar. Bukan kerana PR
tidak mampu menghimpun penyokongnya, bukan kerana PR tidak punya
sokongan besar, tetapi seperti saya katakan tadi rakyat letih
membayangkan 'ending'nya. Rakyat memang letih hingga merasakan tidak
guna untuk melawan kerna 'brengsek' yang menipu pilihanraya ini punya
kuasa dan segala kekuatan untuk terus bertahan memerintah
Namun
begitu, jauh di sudut hati rakyat yang terluka, mereka menantikan
sesuatu yang besar, mereka menunggu satu detik yang paling ideal untuk
menunjuk sepenuh kekuatan. Rakyat menunggu kembalinya himpunan
demonstrasi penuh bersejarah kembali dijadualkan dalam arena perlawanan
jalanraya. Rakyat bersedia untuk kembali ke jalanraya demi demokrasi
kemenangan rakyat yang dicuri 5 Mei lalu.
Bersih
4.0 adalah yang dinanti-nanti. Segala yang dipendam akan diluahkan
sehabisnya, bagaikan tiada hari esok. Pilihanraya semula akan dituntut.
Percayalah bahawa walau sejauh manapun keletihan itu, rakyat cukup
bertenaga untuk satu lagi aksi asalkan ia mempunyai potensi demi membawa
perubahan.
Kali
ini, Dataran Merdeka harus menjadi sasaran. Dataran Merdeka harus
ditawan dengan aksi 'duduk dan terus bantah' hingga keputusan
pilihanraya ke-13 diumumkan tidak sah. Harus diingat, salah satu
tuntutan Bersih iaitu perlaksanaan sistem dakwat kekal telah
diperuntukkan sebagai satu syarat wajib untuk mengesahkan keputusan
PRU13. Namun dengan ratusan ribu kes dakwat tidak kekal bersama 1500
laporan polis, bagaimana BN boleh ishtihar menang PRU-13 dan dibenarkan
terus memerintah negara ini dengan memijak-mijak rakyat?
Sempena
66 tahun Hari Hartal meninggalkan kita, ayuhlah kita bersatu melawan
penindasan dan penipuan ini. Sudah sampai masanya rakyat bangun melawan,
bersama semua golongan masyarakat. Semua NGO, semua orang parti, orang
bukan parti, rakyat biasa dan luar biasa, aktivis dan pejuang muka buku,
ayuh kita susun gerakan ampuh turun ke jalanraya tawan Dataran
Merdeka.
Di
atas nama Bersih yakni sebuah gerakan rakyat, di atas nama anak-anak
kita, di atas nama bangsa dan agama, tanahair ini perlu diselamatkan
segera. Letaklah tarikh, rakyat bersedia untuk sekali lagi, untuk sekali
lagi!
No comments:
Post a Comment