Monday, August 14, 2006

GERAK AJAK RAKYAT MELIHAT RASUAH DENGAN JIJIK

GERAK memandang serius kenyataan Presiden IIM Datuk Seri Dr Isahak Yeop Mohamad Shar dalam ucapan perasmian seminar mengenai Peranan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sivil dalam Pengukuhan Integriti di Alor Setar yang menyatakan hampir 30 peratus ganerasi muda sanggup mengamalkan dan menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa dan diberi tanggungjawab terhadap sesebuah organisasi atau institusi. Fakta itu menurut beliau di perolehi menerusi satu kajian yang dilakukan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).

GERAK
mengajak seluruh rakyat khususnya golongan muda supaya melihat rasuah sebagai satu jenayah yang boleh menghancurkan tamadun ini. Kajian ini telah menggambarkan betapa masyarakat kita sedang berada di tahap yang begitu teruk sekali. Bayangkan jika 30 peratus daripada golongan remaja tadi memimpin negara dan menjadi pentadbir ataupun pengurus sesebuah institusi, apa akan terjadi kepada negara jika mereka ini diberi kuasa. Kini pun hampir semua gejala negatif berkait rapat dengan rasuah. Contohnya masalah dadah yang di isytihar menjadi musuh nombor satu negara pun berkait rapat dengan rasuah, kerana kebocoran di pintu sempadan dan penguatkuasaan masih menjadi punca kewujudan dadah dalam negara.

GERAK
menjadi lebih gusar dengan perkembangan ekonomi negara yang juga dalam keadaan menekan rakyat juga mampu menjadi punca amalan rasuah. Kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan bahawa inflasi telah memuncak tetapi Malaysia akan terus melihat pertumbuhan kukuh dalam separuh kedua tahun ini amat menggusarkan kerana ini bermaksud dalam keadaan pembangunan negara dapat diteruskan tetapi rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan kos hidup yang semakin tinggi. Sudahlah masyarakat tidak mempunyai kesedaran yang cukup dalam memerangi rasuah dan kini keadaan akan menjadi lebih sulit kerana masyarakat yang sama juga akan mengalami kehidupan yang makin terhimpit.
GERAK mengajak seluruh rakyat dan kerajaan ini serius dan melihat rasuah dengan jijik.
RASUAH MUSUH NOMBOR SATU NEGARA.
petikan kenyataan rasmi Mohamad Ezam Mohd Nor, Pengerusi GERAKAN DEMOKRASI DAN ANTI KORUPSI (GERAK)* pic gambar Ezam di temuramah oleh berita bernama tv

No comments:

Post a Comment