Tuesday, July 04, 2006

22 soalan untuk Tun Dr Mahathir...................

Pertikaian yang berlarutan antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapatkan liputan meluas di Singapura.

Sudah menjadi pengetahuan awam bahawa hubungan Malaysia-Singapura tidak baik pada zaman Dr Mahathir. Bagaimanapun, ianya semakin baik selepas Abdullah mengambil alih pentadbiran negara pada 2003.

Malah, Dr Mahathir sendiri mengakuinya dan secara menyindir berkata hubungan dengan republik itu semakin baik berikutan kegemaran penggantinya yang suka bermain golf – yang dianggapnya satu permainan di mana berjam-jam digunakan untuk “memukul satu bola kecil”.

Media di republik tersebut telah mengambil kesempatan untuk melaporkan mengenai pertikaian yang berlanjutan itu dan jelas sekali siapa yang mereka sokong.

Jumaat lalu, akhbar pro-kerajaan Singapore Straits Times menyiarkan semula satu muka penuh persoalan-persoalan kepada Mahathir oleh Editor Eksekutif Kumpulan akhbar The Edge, P Gunasegaran.

Rencana tulisan Gunasegaran itu telah disiarkan dalam akhbar The Edge pada 20 Jun lalu.

“(Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi baru tiga tahun menjadi Perdana Menteri, tetapi (Tun) Dr Mahathir Mohamad mempunyai empat soalan untuk dijawab oleh pentadbirannya. Ia ialah mengenai jualan MV Agusta oleh Proton; pemberhentian bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Permit Import (AP) dan pembatalan projek jambatan,” tulis Gunasegaran.

“Walaupun kita mengharapkan jawapan yang lebih baik daripada pihak kerajaan, daripada apa yang telah diberikan setakat ini, tetapi sepatutnya bukan Abdullah seorang sahaja yang patut menjawab soalan tersebut. Saya pasti kita juga mempunyai soalan-soalan untuk Dr Mahathir – mengenai bagaimana beliau mentadbir negara ini selama 22 tahun.

“Ini adalah senarai 22 soalan atau lebih merupakan 22 kumpulan soalan yang kita minta dijawab oleh Dr Mahathir, – atu soalan bagi setiap tahun daripada 22 tahun beliau berkuasa.”

Berikut adalah petikan soalan-soalan tersebut:

1) Mengenai kerajaan yang bersih

Anda mula memegang tampuk pemerintahan pada 1981 dan memperkenalkan slogan bersih, cekap dan amanah. Apa yang telah anda lakukan untuk menjayakannya? Adalah anda jadikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) lebih bebas dan berkesan? Adakah anda pastikan yang pasukan polis dan badan kehakiman melakukan tugas mereka dengan baik dan mengurang rasuah dalam badan dan pasukan masing-masing? Adalah anda telah pastikan yang para menteri dan ketua menteri tidak mempunyai pendapatan melebihi yang dibenarkan oleh undang-undang? Berapa ramaikah orang besar yang didakwa kerana rasuah sewaktu pentadbiran anda? Apa yang telah
berlaku kepada (slogan) bersih, cekap dan amanah?

2) Kebebasan akhbar

Kritikan anda terhadap kerajaan mendapat liputan meluas dalam media-media tempatan, sedangkan sewaktu pentadbiran anda dulu, kritikan dua bekas perdana menteri terhadap anda tidak disiarkan langsung oleh akhbar-akhbar utama. Para editor dalam akhbar-akhbar pro-Umno disingkirkan kerana tidak menurut arahan. Apakah yang telah anda lakukan untuk mewujudkan kebebasan akhbar yang bertanggungjawab?

3) Proton

Anda meneruskan juga projek kereta nasional pada 1983 walaupun sejumlah pakar tidak bersetuju dengan (rancangan) anda itu, terutama dari segi ‘economies of scale’. Adalah benar yang keuntungan Proton sejak 20 tahun lalu adalah kerana harganya yang tinggi yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia untuk mengsubsidi Proton, mengakibatkan kesulitan terhadap rakyat Malaysia yang memerlukan kereta kerana sistem pengangkutan awam yang tidak baik? Selepas itu, mengapa perlu bagi Proton untuk membeli pegangan dalam syarikat pengeluaran motosikal Itali yang gagal, sedangkan ia (Proton sendiri) tidak mampu mengeluarkan kereta secara kompetitif?

4) Industri Berat

Mengapakah anda melaksanakan juga industri berat seperti besi waja dan simen pada 1980-an, dan mengenepikan kajian yang sebaliknya mencadangkan supaya dilaksanakan industri berasaskan sumber semulajadi? Ia mengakibatkan masalah besar dan kerugian berbilion ringgit.

5) Penduduk

Mengapakah anda meggalakkan pertumbuhan penduduk Malaysia kepada 70 juta dan menukar nama Lembaga Perancangan Keluarga Negara kepada Lembaga Penduduk dan Kemajuan Negara? Bagaimana anda mengharapkan rakyat miskin menjaga lima, enam atau lebih ramai anak? Apakah kualiti hidup yang boleh mereka sediakan kepada anak-anak mereka?

6) Penghijrahan

Mengapakah anda benarkan penghijrahan pendatang, terutama dari Indonesia, melalui cara yang tidak dikawal, sehinggakan kini terdapat lebih ramai pendatang haram daripada yang halal – yang berjumlah kira-kira dua juta orang atau lebih? Adakah anda sedar bahawa ia akan mengakibatkan masalah sosial yang serius?

7) Mengenai timbalan anda

Kira-kira lima tahun selepas anda berkuasa, berlaku perselisihan yang serius antara anda dengan timbalan anda (Tun) Musa Hitam. Apakah punca perselisihan tersebut dan adakah ia kerana anda mentadbir tanpa berunding dengan para menteri anda?

8) Mengenai perpecahan dalam Umno

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah dan (Tun) Musa Hitam mencabar anda dan (Tun) Ghafar Baba dalam perhimpunan agung Umno 1987, ia mengakibatkan perpecahan yang serius dalam Umno, dan anda hanya menang dengan majoriti nipis ((761 undi, berbanding 718 (undi Tengku Razaleigh). Mengapakah anda tidak berusaha untuk memulihkan semula keadaan dalam Umno selepas pemilihan (parti)? Sebaliknya, anda bertindak menyingkirkan dari Umno dan Umno Baru mereka yang menentang anda, sehingga mengakibatkan berlakunya satu perpecahan orang Melayu yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

9) Operasi Lalang

Mengapakah ambil mengambil tindakan tersebut pada bulan Oktober 1987, dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan lebih 100 orang, menutup empat akhbar dan menimbul ketakutan di seluruh negara? Adalah ia bertujuan untuk mengukuhkan pengaruh anda yang lemah untuk memegang kuasa ketika itu dengan menggunakan undang-undang yang menindas itu?

10) Kehakiman

Apakah motif anda mengambil tindakan memecat Ketua Hakim Negara ketika itu dan beberapa orang hakim Mahkamah Agung pada 1988 atas dakwaan salahlaku kehakiman – satu tindakan yang dikritik hebat oleh Majlis Peguam dan badan-badan lain? Adalah ianya kerana anda memerlu lebih ramai hakim yang mudah menurut di mana penghakiman mereka tidak akan mengancam kedudukan anda untuk berkuasa, dalam beberapa kes di mahkamah?

Adakah ini langkah pertama anda untuk menghapuskan peranan badan penghakiman sebagai sistem ‘checks and balances’ terhadap eksekutif dan penggubal undang-undang? Apa penjelasan anda terhadap dakwaan yang sering dibangkitkan oleh banyak pihak, termasuk bekas seorang ketua hakim, bahawa ini (tindakan tersebut) telah mengkibatkan hakisan kebebasan kehakiman?

11) Pendidikan

Anda mengetuai sistem pendidikan semasa di tahap penting transformasinya, pertama sebagai menteri pendidikan pada 1970-an, kemudian sebagai perdana menteri. Adakah betul jika diandaikan bahawa anda, oleh itu, juga bertanggungjawab terhadap kemorosotannya dalam tahun-tahun berkenaan? Mengapakah anda tidak membelanjakan lebih banyak wang dan memanfaatkan sumber-sumber yang ada untuk memastikan sistem pendidikan kita cermelang dan terus diperbaiki, tetapi sebaliknya berbilion-bilion ringgit dibelanjakan untuk projek-projek mewah?

Mengapakah anda benarkan sistem sekolah kebangsaan kita, yang merupakan tempat yang paling ideal untuk mewujudkan perpaduan di kalangan belia Malaysia, menjadi berpecahbelah sehinggakan pada hari ini, 90 peratus daripada pelajar sekolah kebangsaan adalah dari satu kaum sahaja, manakala kaum lain mencari pilihan lain?

12) Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin

Mengapakah anda memberi kuasa yang amat besar kepada individu ini? Dan anda belum memberi penjelasan yang memuas mengenai mengapa beliau meninggalkan kerajaan pada kali keduanya. Adalah ia ada kena mengenai dengan gabungan paksaan terhadap bank-bank? Mengapakah kerajaan membeli balik saham Penerbangan Malaysia (MAS) pada harga RM8 seseham daripada (Tan Sri) Tajudin Ramli, sedangkan harga pasarannya hanya separuh daripada itu?

13) Naungan dan kroni

Tidakkah anda menggalakkan amalan naungan dan kroni dengan memberi projek-projek besar kepada segelintir mereka yang rapat dengan anda? Individu seperti (Tan Sri) Halim Saad (lebuhraya tol kepada Renong, telekomunikasi dan sebagainya), Tajudin (syarikat telefon bergerak TRI dan MAS), (Tan Sri) Amin Shah Omar (kontrak limbungan kapal tentera laut bernilai berbilion ringgit kepada PSC Industries yang menemui kegagalan), Ting Pek Khiing (Ekran, ampangan Bakun), adalah beberapa contohnya.

14) Pengswastaan

Mengapakah anda benarkan pengswastaan dilaksanakan dengan cara mengswastakan operasi kerajaan yang paling menguntung? Jalan-jalan tol dengan jaminan kenaikan kadar tol dan bayaran pampasan jika jumlah pengguna tidak menepati unjurannya. Penjana Tenaga Bebas (IPP) diberi kontrak yang menjamin keuntungan mereka yang perlu ditanggung oleh Tenaga Nasional.

15) Tun Ghafar Baba

Walaupun (Tun) Ghafar Baba mendapatkan jumlah undi tertinggi di antara naib presiden Umno ketika (Tun) Hussein Onn menjadi perdana menteri pada 1976, (tetapi) anda, yang mendapat undi terendah antara penyandang jawatan tersebut, dipilih sebagai timbalan Hussein. Apabila anda mahu melantik Ghafar sebagai timbalan anda pada 1986, apabila anda bermasalah dengan (Tun) Musa Hitam, beliau dengan rela hati membantu anda menang jawatan presiden Umno. Tetapi (sebaliknya0, tidak banyak yang anda dan para penyokong anda lakukan untuk membantu beliau ketika dicabar oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bagi jawatan timbalan presiden pada 1993. Jadi, bolehkah kami mengatakan yang anda telah menikamnya dari belakang?

Dan bagaimana pula dengan (Tun) Hussein (Onn) – orang yang memilih anda sebagai penggantinya? Beliau kembali ke rahmatullah bukan sebagai seorang ahli Umno kerana beliau enggan menyertai Umno Baru pimpinan anda.


16) Datuk Seri Anwar Ibrahim

Adalah anda bertindak terhadapnya apabila beliau menjadi ancaman terhadap kedudukan anda pada 1998? Adakah anda menggunakan keseluruhan jentera kerajaan supaya beliau dihukum? Adakah anda merasakan beliau dibicarakan secara adil? Adalah anda merasakan negara menjadi mangsa semata-mata kerana berlakunya perebutan kuasa yang membabitkan anda berdua?

17) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur

Apakah penting sangat untuk membelanjakan RM10 bilion untuk membina sebuah lapangan terbang mewah di Sepang, sedangkan lapangan terbang di Subang masih boleh diperbesarkan?

18) Putrajaya

Apakah justifikasi membelanjakan RM20 bilion untuk membina pusat pentadbiran kerajaan yang hebat ketika ruang pejabat boleh diperolehi di Kuala Lumpur? Bukankah wang tersebut boleh dibelanjakan untuk tujuan yang lebih baik, seperti mempertingkatkan sumber-sumber pendidikan?

19) Syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Mangapakah anda tidak mengambil usaha untuk memperbaiki prestasi GLC? Mengapakah anda membenarkan badan tabungan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen membuat pelaburan yang meragukan? Ini mengakibatkan mereka mengalami kerugian beratus, walaupun tidak berbilion, ringgit.

20) Islamisasi

Di akhir pentadbiran anda, selepas berlaku perselisihan dengan Anwar, anda mengecam anasir-anasir melampau dalam Islam yang menguasai institusi-institusi kerajaan dan melakukan perkara-perkara yang memecahbelahkan umat Islam dengan bukan Islam.

Tetapi, benarkan anda yang memulakan semua itu dengan (dasar) anda “Menyerap nilai-nilai Islam dalam pentadbiran pada 1981, selepas anda berjaya memikat Anwar menyertai Umno untuk menjayakannya? Dan mengapakah anda mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam sedangkan telah dinyatakan dengan jelasnya dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara sekular memandangkan komposisi rakyat yang yang pelbagai kaum dan agama. Adakan anda cuba mengubah dasar negara yang digubal oleh pemimpin sebelumnya?

21) Permit Import Kereta (AP)

Anda menyalahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industi, Datin Paduka Rafidah Aziz mengenai isu pengeluaran AP. Sebagaimana yang kita masih ingat, anda melantik beliau dan mengekalkannya di kementerian tersebut sejak tahun 1986 sehinggalah anda bersara pada 2003 dan tidak pernah sekalipun anda membangkitkannya atau mengambil tindakan brehubung isu pengeluaran AP oleh kementerian berkenaan. Malah, beliau telah dibabitkan dalam beberapa kontroversi pengagihan saham untuk bumiputera, tetapi anda membelanya. Jadi mengapakah ia menjadi isu sekarang? Jika anda kata anda tidak sedar mengenainya ketika itu, jadi apakah yang dapat kita faham daripadanya?

22) Politik wang

Mengapakah politik wang dalam Umno menjadi isu yang besar ketika anda menjadi presiden Umno? Mengapakah anda tidak berkuasa untuk melakukan sesuatu mengenainya, sedangkan penyelesaiannya adalah begitu mudah sekali?

1 comment:

  1. Artikel ini disiarkan bukan untuk menyokong Dollah dalam pertembungan Mahathir denganya tetapi untuk menginatkan mengenai 'kezaliman' Mahathir ketika usia pemerintahanya....

    nantikan Lusa artikel khas mengenai pendirian cheGuBard dalam perkara ini.....

    ReplyDelete