Friday, October 10, 2008

BERITA : Anwar dituduh bagi sekat peralihan kerajaan - wasilah

PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Shaharin mengecam tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan agen kepada Amerika.

“Ketika Anwar ditangkap semasa gerakan pelajar dahulu, dia dituduh sebagai agen Libya. Mana mungkin agen Libya boleh jadi agen Amerika? Ini bukan agen Arab Saudi tetapi ini agen Libya,” soalnya ketika dihubungi Mingguan Wasilah.

Sebelum ini di Putrajaya, Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, Wisma Putra memperoleh maklumat bahawa ada pihak tertentu dari AS mempergunakan Anwar untuk memperkotak-katikkan dan menghuru-harakan Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan Rais ini dicantas Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin dan menyifatkannya sebagai biadab kerana mahu menggagalkan kemaraan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negara.

“AMK yakin dan percaya propaganda murah sebegini begitu terdesak direncanakan memandangkan mereka gagal menyekat kemaraan Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya dalam tempoh terdekat,” tegas beliau dengan yakin.

Rais, ketika berucap pada perhimpunan agung ke-63, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, baru-baru ini turut menyuarakan kebimbangan berhubung cubaan Amerika yang mempersoalkan undang-undang dan pentadbiran badan kehakimannya.

Amerika, melalui Washinton meminta Malaysia agar penyiasatan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ‘bermotifkan politik’ dan perlu dilakukan mengikut undang-undang.

Mengulas lanjut, Badrul berpendapat Amerika (mungkin) mengeluarkan pendapat seperti Menteri-Menteri Malaysia mengeluarkan pendapat mengenai negara lain.

”Adakah nak cerita pasal kedaulatan dan anti-Amerika? Kalau begitu, tutup kedutaan Amerika, putuskan hubungan dengan Amerika, hentikan bantuan keselamatan yang selama ini dikorban oleh Amerika terhadap kerajaan Malaysia.

“Mengenai latihan ketenteraan bersama yang lebih mencabul kedaulatan negara, apa (Datuk Seri) Abdullah Badawi nak jawab apabila kapal perang Amerika berteknologi nuklear hadir berhampiran pelabuhan kita? Perjanjian FTA dengan Amerika yang bakal menjahanamkan ekonomi dan survival peniaga-peniaga kecil? Itu lebih bahaya. Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang menjemput penjajahan dalam bentuk baru, itu lebih menjahanamkan kedaulatan negara,” kritiknya.

Menurut Badrul lagi, tuduhan ini benda biasa dalam mengalihkan isu dan memburukkan lagi keadaan, ditambah keyakinan Anwar bagi mengambil alih tampuk pemerintahan Barisan Nasional dalam masa terdekat.

“Tetapi saya dan parti juga tidak bersetuju sebarang campurtangan asing dalam pentadbiran negara ini,” tegasnya.

Terdahulu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengulangi penegasan seperti beberapa kali sebelumnya, bahawa lebih daripada 31 ahli parlimen Barisan Nasional akan menyertai Pakatan Rakyat.

Kini, Pakatan (Pas-PKR-DAP) mempunyai 81 daripada 222 kerusi Parlimen. Justeru Anwar berusaha supaya ahli-ahli Parlimen BN menyertai Pakatan bagi mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat sekaligus memerintah negara.

No comments:

Post a Comment