Monday, June 11, 2007

Jangan kutip tol untuk terowong yang gagal....

Semalam (10 Jun 2007) sekali lagi Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dalam tempoh dua minggu. banjir kali ini lebih besar dan dikatakan antara yang terburuk pernah melanda ibu negara.

Kesesakan teruk dilaporkan berlaku di beberapa jalan utama dan mangsa-mangsa yang terperangkap terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul.
Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami separas pinggang.
Lebih dahsyat, air banjir turut memasuki sehingga ke ruang sembahyang di Masjid Jamek, Jalan Raja. Masjid itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal Sungai Gombak-Sungai Klang.
Ibu kota juga dilaporkan mengalami kesesakan teruk di beberapa jalan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi dan Jalan Kampung Pandan.
Hujan turun lebat di sekitar ibu negara hanya kira kira 3 jam dari sebelum jam 6 petang sehingga 8 malam tetapi kesannya amat teruk. Ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi.

Ini diakui oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Abu Seman Yusop sendiri berdasarkan laporan Berita Harian.

“Hujan yang terlalu lebat menyebabkan sungai dan sistem perparitan di kebanyakan kawasan di bandar raya tidak dapat menampung aliran air berlebihan,” katanya ketika meninjau keadaan banjir di Dataran Merdeka dan Kampung Baru bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan, malam tadi.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa sehingga pagi ini (8.00 pagi, 11 Jun 2007) masih belum dapat dianggarkan kerugian dan kecederaan yang diakibatkan oleh banjir tersebut, tetapi menyakini jumlahnya melibatkan angka yang agak besar.

Parti keADILan Rakyat dengan ini melahirkan rasa kecewa yang amat sangat dengan kegagalan pengurusan sistem pengurusan peparitan dan sisa kumbahan di ibu negara. Kekesalan dan kekecawaan ini bertambah selepas negara baru saja membazirkan RM 2 Billion wang rakyat untuk projek SMART yang kononya dengan wujudnya projek itu masalah banjir kilat di Kuala Lumpur akan diselesaikan.
Projek belum siap ?
Dalam menjawab perihal kegagalan projek RM 2 Billion ini pihak berkenaan telah menggunakan alasan bahawa projek itu belum siap sepenuhnya. Walaupun pada pringkat awal pengumuman terowong ini akan dibuka kerajaan dengan bangganya mengumumkan ia merupakan projek pertama seumpamanya di dunia dan dapat disiapkan mengikut jadual.
Malangnya setelah projek itu gagal dengan ujian alam kali pertama pada minggu lepas Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Keizrul Abdullah dilaporkan media berkata, sistem pengurusan banjir terowong itu hanya akan berfungsi sepenuhnya pada Julai dengan siapnya kolam tadahan air di Kampung Berembang dan Taman Desa.
Manakala setelah gagal kali kedua ini dan mengakibatkan kerugian rakyat yang bukan sedikit maka Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pula menyatakan, kejadian banjir semalam bukan disebabkan kegagalan terowong Smart kerana sistem terowong untuk mengalihkan banjir itu hanya akan beroperasi Ogos depan.(berdasarkan laporan berita harian online hari ini)
Umum tol, tabur garam ke luka rakyat.

Dalam perkembangan berbeza tanpa rasa bertanggungjawab terhadap kegagalan tersebut Menteri Kerjaraya Datuk Seri S Sammy Vellu mengumumkan bahawa Semua pengguna Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) di ibu negara akan dikenakan bayaran tol mulai Sabtu ini dan kemungkinan kadarnya akan diumumkan hari ini. (laporan bercanggah Utusan umum akan mula kutipan Jumaat manakala Berita Harian umum Sabtu).
Belumpun warga kota sempat membersihkan lumpur dan peniaga mengira kerugian akibat banjir semalam, Samy Vellu dalam satu sidang medianya pagi ini telah pun mengumumkan pagi ini bahawa kutipan RM 2.00 sehala akan bermula Khamis, 14 Jun.

keADILan dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak mengutip sebarang kutipan tol di atas terowong yang gagal (sistem SMART) atau belum siap yang membazirkan bukan sedikit wang rakyat. Malah kini kerana sistem yang gagal itu telah mengganggu sistem pengaliran sehingga mengakibatkan kerugian dan penderitaan terhadap rakyat di ibu negara. Peniaga - peniaga kecil di sekitar ibu negara yang sememangnya tertekan dengan kenaikan kos hidup dan kini pula sedang mengalami kesussahan hidup menanggung kerugian akibat banjir tersebut.

Berdasarkan pendedahan yang pernah didedahkan oleh Angkatan Muda, pemegang konsesi akan diberikan hak untuk mengutip tol sehingga tahun 2042 dan dijanjikan hak untuk menaikkan kadar tol beberapa kali sepanjang tempoh itu sehingga RM 7.00 satu perjalanan. Ini satu kezaliman dan rompakan wang rakyat secara terang terangan !

keADILan menuntut untuk semua pihak terbabit khususnya Menteri Kerjaraya untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan dan pembaziran serta kesusahan rakyat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus melihat serius perkara ini. Perdana Menteri yang selama ini dilihat lemah perlu bertindak serius dan memecat Menteri Kerjaraya yang mengakibatkan pembaziran dan penderitaan rakyat seterusnya memperbaiki keadaan ini segera. Bukan sedikit jumlah wang rakyat yang telah terbazir begitu sahaja akibat dari kegagalan projek - projek di bawah kementerian Kerjaraya.
Jika ini tidak berlaku rakyat seharusnya 'membuka mata' dan sedar bahawa kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional ini sememangnya tidak mempedulikan permasalahan rakyat. Ini kemungkinan BN sudah terlalu lama menikmati 'puncak kuasa mutlak'. Maka sudah sampai masanya rakyat harus berfikir serius pula untuk menukar parti pemerintah.
p/s : berdasarkan sdr. Zamel Rizal yang menghantar surat ke ruangan pembaca Utusan Malaysia juga membuktikan projek SMART gagal dalam menangani kesesakan lalulintas.

2 comments:

  1. Anonymous8:56 PM

    banjir itu bala ingatan Allah secara paling smart.....

    ReplyDelete
  2. Anonymous10:34 PM

    Pemimpin "de facto" keadilan adalah Anwar...dan pemimpin "de facto" anak muda ( bukan angkatan muda, jgn salah baca..)adalah Badrul...Ini adalah pandangan peribadi saya ( maybe ada yang tak setuju @ marah sambil menjuihkan bibir...) Sudah acap kali saya lihat beliau lebih prihatin dan cepat dalam membuat kenyataan...cthnya pasal terowong smart ni...baru la tok ketua korang tu ( bkn tok ketua aku )buat kenyataan pulak..lembap betul...dulu ada sekali pasal bantuan banjir ...mcm ni jugak...apala tok ketua, progresif la sikit......

    ReplyDelete