Wednesday, June 13, 2007

Selamat lahir....KLPos

di bawah ini di siarkan kenyataan yang di email oleh satu pengendali laman baru. Semoga kehadiran laman ini dapat mempertingkatkan lagi kadar efesiensi penyebaran maklumat di kalangan rakyat.
ADA BEBERAPA soalan ketika kami ingin memulakan klpos.com ini. Pertama konsep, kedua komitmen dan ketiga dana. Ketiga-tiganya amat berkait apabila kita bercita-cita tinggi untuk mewujudkan satu lagi media alternatif di alam maya ini. Tuan yang membaca, sudah pasti akan hilang keghairahannya jika laman ini hanya bersifat 'copy' dan 'paste' daripada laman-laman yang ada.

Sementara mahu mencipta laman yang benar-benar tulen isinya memerlukan komitmen dan dana yang bukan sedikit, sementelah kami hanyalah penganggur yang punya segunung mimpi.
Kami duduk dan berbincang. Berkali-kali. Bersama puluh barangkali ratus gelas teh tarik dan halia O, hanya untuk mendiskusikan perihal konsep, komitmen dan dana.
Berapa banyak masa yang tumpah hanya untuk melihat mimpi sang penganggur menjadi nyata. Mujur ia masa milik penganggur.

Dan pada akhirnya, ketika Tuan sedang membaca laman ini, hari ini dan detik ini, mungkin wang dari keuntungan teh tarik mamak yang kami minum hanya untuk berbincang tentang konsep, komitmen dan dana itu telah selamat tiba ke India. Begitulah lamanya berbincang.
Pun begitu syukur, ia telah menjadi kenyataan.

Kami tidak menjanjikan banyak. Dari segi konsep, kami tumpukan kepada tiga perkara asas dalam kehidupan sehari-hari rakyat Malaysia. Pertama politik, kedua hiburan dan ketiga sukan.
Apa membezakan kisah politik kami dengan laman seperti Malaysiakini misalnya, tidak banyak, cuma kami lebih tumpukan kepada khabar angin (spekulasi). Ini kerana dalam politik Malaysia khabar angin selalunya benar.

Hiburan kami fokus tentang gosip. Kerana itulah yang adik, akak di pejabat baik di rumah selalu bualkan. Gosip seringkali menjadi topik menarik untuk memulakan perbualan samada pagi, petang atau malam.

Sukan. Kami pilih bolasepak. Sukan dengan lebih tiga per empat penduduk dunia ini gilakannya. Dan untuk mengecilkan skopnya, kami tumpukan kepada berita sukan Liga Perdana Inggeris.
Kenapa EPL? Biar kami ceritakan di masa yang lain.

Sedangkan soal komitmen pula, kami bahagikan tugas, kata bidalan, kecil sama memikul, besar sama dijulang. Ada yang menulis, ada yang membuat grafik, ada yang membuat kerja-kerja webmaster.

Berapa orang kami? Tidak pasti, barangkali boleh dikira dengan jari, atau puluh atau ratus. Kerana klpos.com merupakan laman yang terbuka untuk sesiapa juga menyumbang apa saja dalam ruang lingkup yang disediakan.

Dalam kata lain, laman ini laman Tuan, Puan, saya dan kita semua. Tempat orang-orang yang percaya bahawa tiada tangan yang dapat menahan ombak, tiada undang-undang yang dapat menyekat kebebasan. Dan demokrasi itu perlu dirayakan.

Pun begitu, kebebasan yang ditawarkan perlulah digunakan dengan penuh tanggungjawab sebagai warga yang sedar dan celik.

Akhirnya, yang ketiga, soal dana. Seperti biasa. Tiada kesudahannya. Tetapi satu janji kami, kita akan merayakan kewujudan ruang awam ini, dengan atau tanpa trompet.

Salam perkenalan.
http://www.klpos.com/
Apa Siapa Mengapa

No comments:

Post a Comment