Thursday, January 29, 2009

Pelancaran Program “Malam Air Mata Palestin” meruntun jiwa.

gambar Demo Anti Israel di Masjid Senawang dari kiri Musliadi (Naib Ketua AMK Rembau),
Nor Azizi (Setiausa keADILan Rembau) dan YB Taufek A.Ghani (ADUN Paroi)

gambar NorAzizi ketika meberi taklimat dalam perjumpaan
Persatuan Keluarga Ganerasi Yang Chek


Palestin terus di kenang...baru baru ini di SENALING - “Di saat kita bergelak ketawa bersama teman-teman, mereka menangis meratapi kematian. Di saat kita berlari berkejar-kejaran, mereka berlari sambil diulit ketakutan..” . Itulah di antara bait-bait sajak yang dideklamasikan oleh anak-anak kecil daripada Persatuan Keluarga Generasi Yang Chek sempena pelancaran program “Malam Air Mata Palestin” di Kampung Batang Pilah, Senaling.


Program yang dimulakan dengan majlis tahlil dan aqiqah pada siangnya itu telah dihadiri lebih daripada 70 orang ahli keluarga Generasi yang Chek.


Menurut ahli jawatankuasa persatuan itu, Norazizi A. Aziz, program itu diadakan bertujuan untuk menimbulkan kesedaran serta menanamkan rasa insaf dalam menyelami penderitaan yang dihadapi oleh insan di Semenanjung Gaza yang diserang secara kejam oleh Zionis Israel.


“ Ini adalah persoalan kemanusiaan sejagat yang melampaui perbezaan fahaman politik, bangsa mahupun agama. Sebagai insan yang prihatin, kita harus ada rasa tanggungjawab untuk memainkan peranan kita sesama manusia dalam membantu teman-teman di Gaza. Justeru, pihak persatuan telah menganjurkan program ini untuk menyuntik kesedaran tentang peri pentingnya kita mengetahui isu ini dengan lebih mendalam,” ujarnya.


Menurut beliau lagi, program yang dimulakan dengan rentetan sejarah Palestin dan Israel serta tayangan keganasan Israel di bumi Gaza telah berjaya menitiskan air mata para penonton. Selain itu deklamasi sajak tentang penderitaan dan harapan anak-anak Palestin juga turut meruntun perasaan.


Menurut Norazizi, program pada malam itu juga turut diisi dengan kempen boikot barangan Yahudi dan kempen membeli barangan tempatan. “Kempen boikot barangan Yahudi ini adalah strategi untuk memperkasa dan memartabatkan ekonomi ummah. Ia secara tidak langsung akan meningkatkan hasil produk tempatan disamping mengurangkan aliran wang keluar negara. Kempen boikot ini harus bermula daripada diri kita sendiri dan apabila ramai yang menyokong kempen ini, keseimbangan produk tempatan dapat diwujudkan sekaligus mampu mengurangkan kebergantungan kita terhadap produk import. Inilah peranan setiap individu,” katanya.


Dalam kempen itu juga, telah diedarkan senarai produk Yahudi yang perlu diboikot. Setiap ahli persatuan itu juga telah digesa agar membuat salinan dan mengedarkan senarai produk Yahudi itu kepada kenalan. “ Ini merupakan strategi dan mesej jelas dari kita dalam memberi tekanan kepada syarikat induk produk-produk ini di AS yang turut terlibat ke atas keganasan rejim Zionis,” ujarnya lagi.

Kemuncak program itu adalah pelancaran kutipan dana untuk rakyat Palestin. Dengan kutipan sebanyak RM 570 yang berjaya diperolehi pada malam itu, Persatuan Keluarga Generasi Yang Chek akan menyalurkan kutipan itu kepada Tabung Kemanusiaan MERCY yang kini sedang berkhidmat di Gaza.


Norazizi yang menyifatkan walaupun jumlah kutipan itu kecil tetapi berharap sekurang-kurangnya ia dapat membantu rakyat di Gaza.

No comments:

Post a Comment