Thursday, July 08, 2010

Melayu – Bangsa yang mudah ditipu.. ??


Bila Inggeris mula menjejak kaki di Tanah Melayu perkara yang pertama mereka tahu tentang Melayu ialah masalah alma mater, masalah sekolah, masalah buku dan masalah minda yang mundur menjadi selimut orang Melayu. Sejak dulu orang Melayu bukanlah satu bangsa yang suka membaca dan berfikir. Mereka juga tidak suka menulis dan mencatat justeru mereka tidak mengambil penting soal masa dan tarikh peristiwa tertentu. Mereka campur adukkan sastera dan sejarah dan namakannya Sejarah Melayu. Mereka lebih senang mewarisi sejarah yang ditulis oleh British. Yang anehnya mereka menganggap apa yang ditulis oleh orang asing tentang mereka adalah satu sejarah dan mereka mendewakannya.

Dari dulu hingga sekarang orang Melayu lebih suka mendengar ceramah dan ‘labun’ tentang apa saja termasuk ajaran agamanya. Dalam hal ini mereka juga tidak suka bertanya atau menyelidik. Jika banyak bertanya mereka boleh dianggap sebagai lemah iman oleh guru-guru agama mereka. Jika membaca tanpa berguru boleh dianggap pula sebagai..berguru dengan syaitan. Jadi guru-guru agama ini secara tidak langsung telah mendidik agar Melayu jangan membaca, jangan bertanya dan jangan terlalu menyelidik kerana ini boleh membawa mudharat. Orang Melayu tidak dipimpin supaya menjadi masyarakat yang suka membaca, menulis dan membuat penyelidikan sebaliknya mereka digalakkan menerima apa saja yang diceramahkan tanpa banyak soal..“Dunia ini milik orang kafir dan akhirat itu adalah tempat untuk kita”…inilah ajaran-ajaran yang telah membelenggu masyarakat Melayu-Islam beratus tahun sejak ia telah melalui fasa-fasa perkembangan sejarahnya.

Fasa yang pertama yang telah dan sedang dilalui ialah fasa ‘kediktatoran ulama’. Kediktatoran ulama’ adalah suatu keadaan di mana ulama’ telah menipu rakyat kerana kepentingan kedudukan mereka. Segala fatwa mereka tidak boleh dipersoal dan harus diterima bulat-bulat. Agama bukan sahaja telah menjadi candu masyarakat malah menjadikan orang Melayu pasif dan tidak berupaya berfikir untuk mengubah kehidupan mereka. Pandangan hidup atau world view menjadi begitu terbatas dan mindanya mudah dijajah. Fasa kediktatoran politik-ekonomi juga bukanlah terasing dari kediktatoran ulama. Ia saling lengkap melengkapi dalam membina kelangsungan minda yang pasif di kalangan rakyat Melayu. Kediktatoran ulama’ turut menghilangkan cahaya ajaran al-Quran lalu meninggalkan rakyat dalam kegelapan beratus tahun lamanya.

Kediktatoran politik-ekonomi (capitalism) pula adalah kediktatoran yang di bawa dan diwarisi daripada penjajah menerusi sistem kapitalis yang dipaksakan ke atas rakyat. Sistem ini mengambil segala lebihan (surplus) yang dihasilkan rakyat atas nama negara dan dieksploit oleh kelas penjajah/pemerintah.

Al-Quran telah memperkenalkan kisah-kisah Hamman sebagai contoh kediktatoran ulama’ sementara kediktatoran Politik Ekonomi atau liberal-capitalism pula diwakili oleh Firaun dan Qaroon yang zalim terhadap rakyat. Kedua-dua kediktatoran ini saling melengkapi untuk melemparkan masyarakat Melayu di jurang kemunduran. Sistem liberal-capitalism ini dibawa masuk oleh penjajah Inggeris tidak ditentang oleh ulama’ sendiri kecuali sedikit daripada mereka. Hingga hari ini mereka lebih bermati-matian menentang sosialism yang melawan penindasan.

Dalam perkembangan sejarah masyarakat Melayu sepanjang dijajah selama 446 tahun fikiran mereka telah dicanai oleh agen-agen munafik-musyrik global ini. Budaya membaca secara kritikal tidak digalakan oleh kelas bangsawan dalam sistem pendidikan. Ulama’ pula mengajar membaca al-Quran tanpa memahaminya. Membaca al-Quran boleh dapat pahala walaupun tidak faham maknanya. Raja-raja, pembesar-pembesar dan masyarakat Melayu sendiri menjadi sangat lemah hingga mereka tidak dapat menjadi pelindung kepada rakyat. Tiada cahaya dari Allah untuk mereka memimpin masyarakatnya. Begitulah dalam kegelapan ini Melayu telah dijajah dengan begitu lama.

Satu contoh tentang begitu mudah Melayu ditipu dapat diperhatikan dalam kisah Pulau Pinang sebuah pulau milik Sultan Kedah suatu ketika dulu. Inggeris masuk ke Tanah Melayu bukanlah dengan cara berperang. Mereka hanya menghadapi pemberontakan rakyat setelah terjalin hubungan di antara Inggeris – raja-raja yang telah diperdaya. Pulau Pinang jatuh ke tangan Inggeris pada tahun 1786 hanya melalui tipu daya Kapten Francis Light. Setelah mengetahui kelemahan akal dan diri Melayu, beliau menyusun strategi untuk memperbudakkan raja dan pembesar Melayu Kedah. Pada masa ini Kedah sedang tergugat oleh kekuatan Siam. Melihat peluang ini, Inggeris telah memaksa Sultan Kedah supaya bersetuju menerima bantuan senjata daripada Inggeris bagi mengurangkan ancaman Siam. Sebagai balasan, Pulau Pinang diminta agar dipajakkan kepada Inggeris dengan harga $30,000. Sebaik sahaja persetujuan ini ditandatangani pada 11 Ogos 1786 maka Francis Light telah mengisytiharkan bahawa Pulau Pinang sebagai Prince of Wales dan menjadi jajahan takluk Inggeris.

Tindakan ini telah menyebabkan Sultan Kedah menjadi gelabah kemudian mengesa rakyat melancarkan serangan terhadap angkatan laut Inggeris. Dengan kekuatan yang ada mudah sahaja rakyat ditumpaskan dan kapal perang Inggeris telah masuk hingga ke Sungai Perai. Kekalahan ini telah menyebabkan satu lagi rundingan pajakan dilakukan oleh Inggeris terhadap Kedah. Kerana bimbang, maka Sultan Kedah telah menurunkan harga pajakan Pulau Pinang daripada $30,000 kepada $6,000 dan pajakan baru Seberang Perai sebanyak $4,000. Tempoh kuat kuasa perjanjian ini pula tiada had iaitu selagi ada bulan dan bintang. Jumlah pajakan keseluruhan ialah $10,000 dan Seberang Perai telah diletakkan di bawah jajahan baru Inggeris dan diberi nama Province Wellesley.

Demikianlah kisah mula Inggeris masuk dengan akalnya menguasai Tanah Melayu. Pada ketika ini, selain dari sistem feudal yang hidup di bawah makna diri Melayu yang setia dan pantang durhaka itu maka bangsa Melayu telah terjajah. Sungguhpun bangsa ini telah dijajah, tetapi Inggeris yang licik ini tidak menjajah Istana. Kepada kaum feudal- istana, mereka telah dilimpahi dengan pelbagai kemewahan dan keistimewaan serta layanan dari Inggeris. Kita telah menyaksikan sejak sebelum Perang Dunia kedua lagi, anak-anak raja dan pembesar-pembesar Melayu feudal telah dihantar untuk belajar di universiti-universiti di London dan Eropah. Mereka diberi biasiswa dan layanan yang sangat istimewa. Segala adat istiadat dan cara pergaulan bagi sesetengah golongan feudal ini telah berubah menjadi budaya Inggeris malah ramai di antaranya tidak fasih berbahasa Melayu dan tidak lagi mengamalkan adat Melayu.

Kepada bangsawan Melayu ternakan Inggeris ini atau dipanggil United Malay National Organisation (UMNO) kemudian telah diwariskan pentadbiran pasca merdeka mempertahankan kelangsungan sistem serta status-quo yang dipanggil neo-liberal. Lebih 50 tahun rakyat mabuk dalam penderitaan. Pun begitu mereka terus tersenyum dan menyokong walaupun miskin dan hutang keliling pinggang. Dalam keadaan rakyat yang mabuk dalam penderitaan ini, era Melayu tipu Melayu pun terus berlangsung.

No comments:

Post a Comment