Wednesday, July 28, 2010

Kesal kegagalan rancang pembangunan

SAYA adalah seorang daripada beratus keluarga yang mendiami Taman Bukit Margosa, Seremban dan kawasan sekitarnya. Ketika mula berpindah, kawasan itu sememangnya tenang dan aman damai. Amat mengejutkan apabila sekitar 2008, dimaklumkan mengenai pembinaan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) yang melalui taman perumahan serta menyambungkannya dengan jalan Seremban-Kuala Pilah sedia ada.

Saya tidak bercadang untuk memberi komen mengenai kewujudannya kerana ia sudah hampir siap. Namun, saya kesal kerana pada pandangan saya ada kegagalan perancangan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dengan meluluskan projek perumahan di tepi cadangan lebuh raya.

Cukup saya katakan jika saya tahu taman perumahan akan terbahagi dua oleh lebuh raya LEKAS, pasti saya tidak akan membeli rumah di sini. Lebih-lebih lagi dengan lokasi rumah di lot tepi dan betul-betul bersebelahan lebuh raya. Lebih mengecewakan adalah kegagalan agensi berkaitan meminimumkan kesan jangka panjang kepada penduduk. Sudahlah kami terpaksa menanggung kesukaran ketika pembinaan selama hampir dua tahun dengan penutupan jalan, bising, debu dan saudara-mara sesat dalam perjalanan bertandang ke rumah.

Kami kini dipisahkan dari sekolah di mana anak belajar. Tempoh menghantar anak ke sekolah di sebelah taman perumahan yang sebelum ini mengambil masa 10 minit kini menjadi lebih 30 minit kerana mengikut satu-satunya laluan yang ada (serta lebih jauh) dari taman perumahan ke arah sekolah.

Kenderaan berderet panjang pada sebelah pagi untuk keluar dari simpang menuju ke sekolah. Sepatutnya laluan lebuh raya bertingkat dibina supaya kehidupan kami tidak terjejas. Sememangnya kosnya lebih tinggi, tetapi sejak bila kos menjadi penghalang kepada kesejahteraan rakyat?

Bukankah kos berkenaan boleh diserap oleh pemegang konsesi lebuh raya melalui kutipan tol? Itulah yang sewajarnya dan bukan penduduk yang terpaksa menanggung bebanan daripada kelemahan sesetengah pihak. Mereka dengan tanpa timbang rasa mengorbankan kesejahteraan penduduk bagi kemudahan pengguna lebuh raya.
Baru-baru ini, saya mencadangkan dua bukaan dan pelebaran pada lebuh raya berhampiran taman perumahan supaya kami dapat memasuki lebuh raya dan membuat pusingan 'U' untuk menghubungkan kedua-dua bahagian taman perumahan ini.

Saya ada membuat beberapa panggilan telefon ke Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memaklumkan perkara itu, bagaimanapun tiada sebarang perkembangan. Mungkin pembayar tol lebih diutamakan daripada penduduk asal kawasan ini.

Saya juga meminta LLM supaya memasang CCTV bagi mengawasi keselamatan pengguna jejantas yang didirikan. Ini berikutan ketika ini ia digunakan sebagai tempat lepak serta berlumba. Saya khuatir keselamatan pejalan kaki kerana laluan sempit dan tanpa pemisah.

Saya tidak lagi dapat memandang bebas di luar rumah buat selama-lamanya kerana tembok kekal di tepi lebuh raya akan didirikan. Begitu juga dengan bunyi bising, asap, debu, gegaran dan kehilangan pravisi. Semuanya gara-gara kegagalan sesetengah pihak membuat perancangan dan pastinya mereka tidak peduli kerana tidak menetap di sini.

Diharap kerajaan negeri dapat campur tangan bagi memastikan kesejahteraan penduduk tidak dirampas begitu saja. Dengan segala situasi ini, saya menuntut agensi berkaitan menghayati slogan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

1RAKYAT,
Seremban, Negeri Sembilan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kesalkegagalanrancangpembangunan/Article/index_html

No comments:

Post a Comment