Sunday, September 14, 2008

Khabar dari Sibu

Ziarah ke Sibu bukanlah yang dirancang awal. 12 Sept. 10 pagi ketika dalam perjalanan ke rumah DSAI di Segambut, telah dihubungi oleh Ginie Lim. Dia tanya sama ada cheGuBard ada program petang dan malam. Sememangnya petang itu tiada program cadangnya nak berbuka puasa sambil bawa anak dan isteri ke Pasar Ramadhan di Bandar Baru Bangi tetapi terpaksa dibatalkan kerana menurut Ginie , cheGubard harus terbang ke Sibu segera. Satu Majlis Makan Malam 'besar' akan diadakan sepatutnya harus dihadiri oleh Tian Chua.

Bergegas ke KL central, membeli tiket Air Asia (biasalah beli tiket saat akhir harga pun cantik lah sikit hehe) . Paling awal pun boleh sampai ke Sibu ialah jam 8.10 malam., tetapi menurut George Chan Pengerusi Penganjuran Program tak apa tetapi mesti datang juga sebab orang Sibu dah tunggu beliau dah umum bahawa cheGuBard akan hadir.

Bukan pengalaman kali pertama berbuka puasa dalam penerbangan. Jam 7.05 kapten umum buka puasa , cuma ini kali pertama buka puasa dengan manisan strudels. (mesti Unt.Jon Bangga aku buka posa pilih menu strudels dia, tahniah kek puan ada dalam menu Air Asia)

Malam itu dewan yang selesa untuk memuatkan 40 meja telah dipenuhi lebih 60 meja. Termasuk yang berdiri rasanya lebih 800 orang yang hadir terdiri dari perbagai kaum. Beg 'amat' berat yang cheGuBard seret dari semenanjung yang dipenuhi risalah menggembirakan mereka yang sememangnya 'hauskan' berita alternatif.

Himpunan malam itu dihadiri oleh Pengerusi dan Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, Naib Presiden SNAP selain Pengerusi Perhubungan keADILan,Timbalan dan Setiausaha Perhubunganya. Pemimpin - pemimpin tempatan termasuk mereka dari Bn juga hadir. Mereka mula majlis sekitar 6.30 petang, cheGuBard berucap jam 9.30malam. Ucapan sejam cheGuBard terus memaku mereka di kerusi kerana rupanya banyak fakta yang mereka tidak ketahui. Mereka seperti terpinggir jauh di sudut bumi Sarawak. Dari pengalaman ini cheGuBard seru MPT keADILan yang ada hampir 30 orang agar ringan-ringankanlah diri sering terbang ke mana - mana tempat ke Borneo ini lawat dan kongsi pandangan bersama aktivis setempat di sana.

Abang Dzul, Setiausaha Perhubungan keADILan Sarawak menyatakan keadaan begitu berbeza kini. Dulu masih ingat Dato Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Sarawak terpaksa bertukar 3 hotel dihalau keluar kerana pemilik hotel takut diugut Ketua Menteri. Sebelum PRU 12 juga Sibu bukanlah bumi yang subur bagi keADILan, tetapi secara tiba - tiba sokongan orang ramai terhadap keADILan meningkat mendadak.

Sebelum naik ke bilik hotel untuk berehat. Abang Ismail, meminta kesudian untuk hadir berbuka puasa di rumahnya esok, cheGuBard setuju.

Esok jam 10.00 pagi sudah meninggalkan hotel bertemu untuk bertemu dengan beberapa teman lama (ex maktab perguruan) yang sehingga kini terdampar di Sibu sejak 1999. Banyak cerita yang dikongsi.

Jam 2.00 petang, bersama Robert Lim, Ketua Bahagian Sibu melawat Perpustakaan Awam Sibu. Lawatan ini ekoran keADILan Sibu menerima banyak aduan bahawa Perpustakaan Awam ini banyak yang tak lengkap. Hampir sejam dihabiskan di sini. Membelek koleksi buku, berbual dengan pengguna perpustakaan dan beberapa pustakawan yang sedang bertugas.

Nampaknya tema pembinaan modal insan yang di huar-huarkan oleh Abdullah Badawi ialah omongan kosong. 200 ribu penduduk Sibu terpaksa berkongsi perpustakaan yang tidak terang atau bermasalah dengan pencahayaan, koleksi buku - buku usang dan tidak lengkap, hanya ada 4 buah komputer di perpustakaan ini. 2 buah untuk carian buku dan 2 buah lagi untuk layari internet. 2 buah komputer untuk layari internet itupun diletakkan dalam pejabat dan orang awam yang mahu menggunakanya perlu mendapatkan kelulusan khas.

Dari beberapa pustakawan yang ditemui mengatakan bahawa masalah peruntukan agak serius. Malah ada yang ditemui menyatakan harapnya jika PAKATAN jadi Kerajaan tolong jangan lupa perkara kecil seperti ini yang sebenarnya penting untuk memajukan insan. Cuma selepas itu tiada pegawai pustakawan yang berani menerima cenderamata dari Semenanjung yang saya bawa untuk bergambar. Kata mereka tak mengapa boleh terima tapi jangan bergambar kerana sarawak bukan Semenanjung kami dihantui Tok Uban (nama glamour Ketua Menteri Sarawak).
Ruangan kanak - kanak sempit, tak teratur dan penuh dengan buku 'klasik'ruangan dewasa cahaya suram, rak buku kebanyakan kosong.macam mana tak makin hilang daya saing ? Robert Lim menunjukkan risalah pelancongan Sibu yang diletakkan di hotel, perpustakaan dan kawasan tumpuan orang ramai hanya merupakan kertas A4 yang difotostat sahaja. Memang tak ada peruntukan atau peruntukan bocor ?

Selepas itu Robert Lim, Ketua bahagian Sibu telah bawa saya pusing - pusing Sibu.

Sibu sebenarnya menyimpan sejarah yang berharga. Satu ketika dahulu Sibu merupakan kormesial kedua selepas Khucing dalam Sarawak. malangnya kini Sibu seolah hilang dayasaing ia seolah sudah jatuh ke tangga kelima dalam Sarawak. Mana silapnya tidak dapat dipastikan. Hampir segenap sudut Sibu dikuasai oleh Tauke Balak dengan syarat ada bahagian keluarga Ketua Menteri.

Kediaman ini terletak di kawasan hartanah paling mahal di Sibu. Keluasanya dianggarkan sebesar 4 padang bola terletak di pinggir Sungai Rajang. Seperti istana tetapi ia rumah adik Ketua Menteri. Ia umpama Raja di sibu yang dihantar untuk mengawal oleh Ketua Menteri. Menurut penduduk setempat setiap bandar di Sarawak akan ada seorang ahli keluarga Ketua Menteri dihantar untuk mengawal.

kegiatan pembalakan dan perlombongan pasir yang hampir kesemua mempunyai kepentingan pemimpin politik Sarawak telah menjahanamkan Sungai Rajang yang menjadi aset utama Sibu. Menurut Robert Sungai Rajang satu ketika dahulu jernih dan boleh lihat ikan, tetapi kerana perlombongan pasir dan pembalakan yang keterlaluan telah mengeruhkan dan menjahanamkan sungai Rajang.Kami terpaksa membayar RM 5.00 untuk bayaran tol bagi menaiki jambatan yang menyeberangi Sungai Rajang. Penduduk bandar Sibu tidak punya pilihan lain jika mahu ke Kuching.Juga menarik ialah syaikat pemilik konsesi tol yang menyeberangi Sungai Rajang ialah sebuah syarikat pembalakan yang punya hubungan baik dengan pemimpin politik Sarawak dan juga antara penyumbang utama dana politik Bn Sarawak.

Seperti yang ditulis awal tadi Sibu juga menyimpan notalgia penting . Tentu ramai yang sudah melupakan malah tidak kenal sapa dia Rosli Dhobi, Melayu Melanau yang merupakan seorang pejuang kemerdekaan Sarawak daripada penjajah British.

Rosli didapati bersalah ketika usianya 17 tahun menikam sampai mati Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember 1949. Selepas beberapa bulan dalam penjara di Kuching, Rosli yang pada masa itu seorang guru akhirnya maut di tali gantung pada 2 Februari 1950. Turut sama digantung adalah rakan seperjuangannya Morsidi Sidik, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong.

Mereka semua dikebumikan di situ juga, di Penjara Kuching, tanpa batu nisan. Namun pada 2 Mac 1996, keempat-empat pejuang kemerdekaan ini dikebumikan semula di Sibu.

Sehingga kini masih ada buku sejarah yang merakamkan pemimpin Pertubuhan Rukun 13 ini pengkianat.

Ini ialah petikan surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung:

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita - Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat' atau `Fardu' kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.

Rosli Dhobi ialah anak kelahiran Sibu. namanya makin terhakis di minda kita. Sememangnya ini taktik regim yang menyambung pemerintahan penjajah. Memadamkan sejarah hero bangsa agar tidak menjadi inspirasi ganerasi muda untuk bangkit memperjuangkan kebenaran. Bagi Bn pejuang kemerdekaan yang harus dikenang hanyalah pemimpin Umno, hero yang telah membina negara ini hanyalah 5 Perdana Menteri Malaysia.

Saya telah memohon Robert Lim agar sama kita mencari rumah keluarga Rosli Dhobi. Robert ketawa dan bertanya adakah saya kenal Rosli Dhobi saya kata 'ya' ia adalah 'che' Sarawak. Rupanya Robert sering ke rumah Keluarga Rosli Dhobi. Kakaknya yang tingaal di rumah agak usang menghadapi masalah banjir. Setiap kali hujan rumahnya pasti ditenggelami banjir. Robert sering datang untuk membantu dari segi tenaga mahupun sedikit kewangan.

Sepatutnya Melayu Sarawak yang bernaung di bawah PBB harus malu untuk bercakap soal perkauman. Ketika keluarga pejuang bangsa dilupakan dan tertinggal kesusahan seorang cina dari Parti Keadilan Rakyat yang sering meluangkan masa bersama keluarga pejuang ini.

cheGuBard menghabiskan masa kira - kira 45 minit bersama Puan Fathimah Dhobi. Beliau mengadu nasib bagaimana dijadikan bola bila sendiri ke beberapa jabatan kerajaan memohon bantuan . Beliau menitiskan air mata bila menceritakan kepewiraan adiknya. Dia mengatakan walaupun ketika itu ibunya sering mengingatkan Rosli agar 'slow' sikit namun ketika Rosli di makamkan tanpa nisan ibunya memberitahu semua ahli keluarganya bahawa ibunya bangga punya anak yang syahid sebagai pejuang. Saya sempat menghulurkan sedikit wang tunai dari tabung Jejak Fakir Rembau untuk keluarga pejuang ini.Beliau sampaikan salam kepada DSAI katanya DSAI pejuang...jangan sekali gadai hak warisi kezaliman penjajah...Kami sekeluarga semua sokong dan undi keADILan kalau Rosli hidup pun mungkin dia bersama keADILan. Katanya Aini adik Rosli telah sambung perjuangan Rosli tetapi Aini memilih jalan politik. Itupun selepas Tok Uban jadi 'cm' bukan sahaja Rosli tetapi Aini juga dilupakan. Ketika berbual cheGuBard cuba menghubungi telefon DSAI malangnya panggilan tidak diangkat. Sesiapa yang ke Sibu mahu melawat keluarga ini sila email untuk alamat atau sesiapa yang sudi hulur bantuan boleh juga email.
Sesi akhir lawatan ringkas ke Sibu ialah Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa di Rumah Abang Ismail. Katanya rumahnya sudah menerima ramai pemimpin termasuk Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Rupanya majlis yang hanya di susun malam semalam amat meriah. Ramai hadirin dan banyak makanan. Majlis dimulakan dengan tahlil ringkas dan kemudian ceramah serta dialog ringkas. Ada juga hadirin yang mendaftar sebagai ahli baru. Malangnya cheGuBard terpaksa bergegas ke lapangan terbang untuk pesawat jam 8.00 malam. Masa amat terhad....

Sibu bumi subur buat pejuang !!! Salam sayang buat semua teman pejuang di Sibu dari Semenanjung.

p/s :

*(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.

Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6 comments:

  1. Anonymous5:33 PM

    Ape citer terbaru dr sane cikgu?Share2 la dengan kami kat sini..

    ReplyDelete
  2. Anonymous4:17 PM

    keadilan ada 30 mpt kalau semua macam cikgu bad turun jumpa rakyat keadilan pasti akan kuat!

    ReplyDelete
  3. Anonymous4:25 PM

    Tahniah buat pejuang jauh di Sibu sana tu.... Cikgu bila nak ke Kota Kinabalu pula...? ada alamat Rosli Dhoby tu tak?

    ReplyDelete
  4. Anonymous2:28 PM

    rosli dhoby - che di zamanya...

    chegubard - che ikon anak muda masa kini

    ReplyDelete
  5. zidane10:00 PM

    salam....semoga taib mahmud dan kuncu kuncunya insaf dan sedar akan apa yang di dah lakukan sepanjang dia memerintah swk...Aku kongsi sikit pengalaman aku sebagai anak sibu...byk perkara yang aku lihat tak sempurna di sibu..tiada perkerjaan,ekonomi dikawal oleh taibmahmud..then sape2 yang nak melabur di swk, kena ada sedara taib di dalam tu...even org kata nak sewa khemah pun kena amik org taib mahmud..apa punya org...aku harap ada sinar baru di swk dan aku ingin kembali ke sibu untuk menabur pengalaman aku disitu vsetelah hampir 15 tahun di kuala lumpur....

    ReplyDelete
  6. ninieamira94@gmail.com. boleh emailkan alamat?

    ReplyDelete