Thursday, May 26, 2011

Masalah peneroka Labu Sendayan belum selesai




Masalah peneroka Labu Sendayan belum selesai
May 25, 2011

Tanah dua ekar seorang di Bandar Baru Sendayan yang diberikan juga tidak sempurna, ada yang termasuk dalam kawasan sungai atau atas jalan raya.

PETALING JAYA: Ramai peneroka dan bekas peneroka Felda Sendayan mengadu rumah banglo yang diberikan kepada mereka berkualiti rendah tidak sepadan dengan harga RM240,000.

“Tanah dua ekar seorang di Bandar Baru Sendayan yang diberikan juga tidak sempurna, ada bahagiannya yang termasuk ke dalam sungai atau di atas jalan raya.

“Sebab itu ramai juga yang tolak dengan pemberian kerajaan Negeri Sembilan itu,” kata Setiausaha PKR Rembau, Norazizi Aziz.

Beliau hadir di majlis anjuran Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) di Felda tersebut malam tadi yang dihadapi antara 300 hingga 400 orang.

Di majlis tersebut, Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman meminta peneroka dan bekas peneroka menyenaraikan masalah yang sedang dihadapi mereka.

Felda Sendayan dengan kawasan 2, 000 ekar mula dibangunkan pada 1963 membabitkan 40 peneroka.

Pada tahun 1996 sesuai dengan perkembangan ekonomi semasa, Kerajaan Negeri Sembilan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) telah mengadakan perjanjian usahasama dengan MHS Land Sdn Bhd untuk memajukan Kampung Sendayan.

Krisis ekonomi

Peneroka ditawarkan pembelian tanah dengan harga kira-kira RM1.2 juta seorang. Suatu perjanjian jual beli kemudiannya ditandatangani pada 13 November 1996 tetapi krisis ekonomi pada 1997 menyebabkan PKKNS gagal membuat bayaran.

Bagaimanapun pada 2006, 95 peratus daripada 513 peneroka itu menerima bayaran mereka.

Setiap peneroka menerima wang tunai dan juga harta lain yang keseluruhannya bernilai lebih kurang RM1.2 juta. Pampasan ini adalah dalam bentuk wang tunai sebanyak antara RM450,000 ke RM685,780 seorang.

Di samping itu setiap seorang akan diberi tanah pertanian pegangan bebas seluas 0.8 hektar (2 ekar) dianggarkan bernilai RM348,480 dan juga sebuah banglo setingkat empat bilik dengan keluasan tanah 10,000 kaki persegi dianggarkan bernilai RM240,000.

Felda Sendayan dibangunkan menjadi bandar baru bernama Bandar Sri Sendayan.

Menurut Norazizi, peneroka juga mengadu padang sekolah di kawasan tersebut telah bertukar menjadi kawasan pertanian.

“Mereka mahu Anak menyebarkan isu ini untuk pengetahuan semua kerana selama ia hanya diketahui oleh peneroka Felda Sendayan.

“Mereka mahu masyarakat bukan peneroka tahu bahawa nasib peneroka Felda Sendayan tidak sebaik sebagaimana disangka. Isu antara satu Felda dengan Felda lain berbeza,” katanya.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/05/25/masalah-peneroka-labu-sendayan-belum-selesai/

No comments:

Post a Comment