Wednesday, May 11, 2011

Kenaikan harga gula, kemana pergi subsidi yang dijimat ?

Harga gula sekali lagi dinaikkan semalam. Regim penguasa cuba mengelirukan rakyat dengan tidak menggunakan perkataan naik harga sebaliknya penyelarasan.azlan

Harga gula akan naik 20 sen kepada RM2.30 sekilogram berkuatkuasa esok (10 Mei). Kenaikan harga gula kali ini kerana regim sudah tidak mampu mengeluarkan RM116.6juta sebagai tanggungjawab memberikan subsidi kepada rakyat. Langkah sedikit - demi sedikit ini adalah untuk melalikan rakyat agar sehingga satu tahap nanti rakyat akan terbiasa dengan harga pasaran terbuka. Rakyat akan hanyut dalam pasaran terbuka dunia kerana regim sudah tidak mampu melindungi rakyat.

Ini diakui oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Mohd Zain Mohd Dom, yang mengatakan dalam kenyataan pengumuman kenaikan harga gula dengan mengatakan langkah ini adalah selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat.

Seperti biasa teknik yang sama 'membodohkan rakyat' ialah dengan membandingkan dengan negara jiran. Walaupun perubahan harga runcit dibuat, ia adalah lebih rendah berbanding negara serantau, termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina. Beliau malah menyebut harga gula di negara-negara berkenaan sebagai perbandingan. Kali terakhir harga gula naik pada 4 Disember lalu, sejajar dengan kenaikan Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG). Kenaikan yang dikenali sebagai "4-dalam-1" itu menimbulkan kemarahan banyak pihak, termasuk mewujudkan beberapa siri bantahan, terutamanya sekitar Kuala Lumpur. Pada masa itu, harga gula turut meningkat 20sen, menjadikan harganya RM2.10 sekilogram. Sebelum itu, berlaku juga kenaikan pada 15 Julai tahun lalu dalam kenaikan "5-dalam-1. Selain gula, turut mengalami kenaikan dua gred petrol, diesel, gula dan gas pada masa itu.

Dalam satu lagi kenyataan berasingan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan daripada kenaikan harga gula hari ini untuk menaikkan harga makanan. Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu Mahani Tan Abdullah berkata kenaikan harga gula tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga makanan memandangkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen sekilogram adalah minimum. "Kenaikan ini tidak seharusnya membebankan pengguna dan mereka seharusnya melihat dari sudut positif bahawa pengurangan penggunaan gula dapat mencegah dari penyakit seperti kencing manis," katanya kepada pemberita dan dilaporkan oleh beberapa agensi pemberitaan tempatan.

Selepas ini juga pasti akan ada Kutbah Jumaat yang bertajuk "kurangkan gula dalam minuman tambahkan manis dalam senyuman"

Persoalan


Industri gula ini telah menjadi industri yang dimonopoli oleh kelompok kroni tertentu yang rapat dengan regim. SAMM mendesak agar industri gula ini dibuka dari dimonopoli kelompok tertentu sahaja yang walau apa pun berlaku mereka tetap kaya dan untung.

Persoalan penting kini ialah regim boleh mengumumkan kenaikan tetapi peniaga kecil pasti akan terhimpit dengan kenaikan dan jika menaikkan harga terpaksa berdepan tindakan termasuk saman dari pihak regim yang akhirnya menguntungkan regim lagi dengan berjaya mengutip duit saman. Ini memberi makna regim melindungi kelompok peniaga korporat besar tetapi yang kecil marhaenis akan menjadi kambing hitam untuk disalahkan kerana menaikkan harga dan terus ditindas.

Kedua subsidi untuk mengawal harga sememangnya hak rakyat negara ini. Semangat ini terbina lama kerana ia sebahagian semangat apabila regim menggali dan mengaut keuntungan negara seperti petrolium dan rakyat dipulangkan hak mereka dalam negara yang dianugerah hasil bumi tuhan ini dalam bentuk subsidi. Namun mutaakhir ini oleh kerana pengurusan negara yang lemah serta membazir, rasuah yang berleluasa dan ketirisan yang melampau maka negara kekurangan wang sebagai tindak balas regim melihat subsidi rakyat sebagai cara paling mudah untuk menampung kelemahan urustadbir mereka.

Bagi kenaikan kali ini, regim hanya boleh menjimatkan RM 116.6 juta sahaja. Apalah nilai ini jika dibandingkan dengan kes - kes ketirisan, rasuah dan wang negara hilang yang dilaporkan (itu belum masuk yang belum terbongkar). Sebenarnya sedikit sahaja wang boleh diselamatkan tidak berbaloi dengan nilai pertambahan kesukaran hidup rakyat. Persoalan ke tiga ke mana wang penjimatan subsidi ini disalurkan.

Masih terngiang lagi ditelinga ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri Malaysia negara dilanda kenaikan harga minyak yang antara tertinggi dalam sejarah atas alasan kononya untuk memperbaiki taraf pengangkutan awam. Yang pasti harga minyak naik, wang subsidi kerajaan 'selamatkan' juga telah habis tetapi pengangkutan awam meningkatkah tarafnya.... siapa biasa menggunakan komuter pasti paham derita ketika masa kemuncak bersesak dengan warga perbagai negara dengan perbagai bau serta aroma.

Isu kenaikan ini isu besar, regim cuba mengalihkan kegagalan pengurusan ekonomi kepada rakyat. Jika rakyat terus tergula dan akhirnya lali dengan kenaikan ini maka rakyat akan diserahkan terus terdedah ke pasaran harga terbuka. Ketika itu peranan regim kutip cukai dan sebagainya tetapi rakyat tak dilindungi untuk disembelih oleh sistem kapitalis dunia yang kejam.


SAMM menggesa seluruh rakyat supaya bangkit segera sebelum terlambat !

2 comments:

  1. Anonymous11:04 PM

    NI BANGGANG PUNYA CADANGAN...TAKKAN NAK SURUH IKUT MACAM RAKYAT LIBYA...LU PIKIQ LER SENDIRI

    ORANG LAIN TGH TEPUK TANGAN TENGOK KITA BERGADUH SAMA SENDIR... UDAH..UDAH LER POLITIK TU

    ReplyDelete
  2. Anonymous6:40 PM

    BN mmg nak rakyat m'sia ni brfikiran mcm kwn kita yg kat atas ni.

    ReplyDelete