Altantuya dibunuh dengan kejam di Mukim Bukit Raja berdekatan Shah Alam Selangor, antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4, yang dikatakan hanya boleh diperoleh dari kementerian pertahanan. Cebisan mayatnya ditemui di Empangan Tasik Subang, di Hutan Simpan Puncak Shah Alam.
Ia menjadi kes berprofil tinggi, apabila rakan baik kepada perdana menteri, Abdul Razak Baginda ditahan dan didakwa dalam kes pembunuhan itu.
Razak didakwa bersubahat membunuh Altantuya, 28, dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, dari Unit Tindakan Khas (UTK) di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No. 148, Jalan Ampang antara pukul 9.54 pagi dan 11.05 pagi, 18 Oktober 2006.
Abdul Razak Baginda, yang juga merupakan seorang penganalisis politik, dikatakan mempunyai hubungan intim dan sulit dengan Altantuya.
Namanya turut dikenali sebagai seorang broker atas pembelian kapal selam Scorpene, oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.
Perundingan dijalankan menerusi Perimekar Sdn bhd, untuk membeli dua kapal selam Scorpene dan Agosta- di bawah usahasama syarikat Sepanyol-Perancis, Armaris.
Perimekar dimiliki satu syarikat bernama Ombak Laut, yang dimiliki sepenuhnya Abdul Razak dengan menerima komisyen sebanyak €114 juta (RM510 million) bagi pembelian kapal selam berkenaan.
Pada 31 oktober 2008, Abdul Razak dibebaskan dari tuduhan bersubahat membunuh Altantuya kerana kononnya kes itu, tiada prima facie. Manakala tertuduh lain, Cif Inspektor Azilah Hadri, dan Koperal Sirul Azhar Umar diarah membela diri.
Sepanjang perbicaraan selama 151 hari, Sirul Azhar dan Azilah Hadri enggan mendedahkan muka , sebaliknya hanya memakai topeng.
Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian menjatuhkan hukuman mati pada kedua-duanya pada 9 April 2009.
Pada 3 Julai 2009, seorang penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam, bekas anggota polis cawangan khas dan pernah bertugas dengan Abdul Razak, menggemparkan negara apabila membuat pendedahan mengaitkan Najib Razak dalam kes pembunuhan itu.
Beliau membuat sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, mengumumkan akuan bersumpah yang dirangka bersama peguamnya, Americk Singh Sidhu sebelum membuat akuan bersumpah kedua sehari selepas itu- sekaligus menafikan pendedahan yang dibuat nya.
Akuan bersumpah ke-2 didakwa dibuat setelah berjumpa dengan Deepak Jaikishan, seorang ahli perniagaan permaidani yang rapat dengan Najib dan seorang berpangkat Datuk di The Curve, Damansara, yang kemudian didedahkan sebagai Nazim Razak, adik kepada Najib.
Kedua-dua individu itu didakwa mahu Balasubramaniam segera meninggalkan Malaysia sehingga Najib sah menjadi perdana menteri yang baru, ketika itu.
Bagaimanapun, Najib Tun Razak menafikan pembabitan beliau dengan Altantuya dan spekulasi tindakan untuk mempngaruhi supaya Balasubramaniam menarik balik akuan bersumpah tersebut.
Selamat hari jadi Aminah @ Altantuya!
ReplyDelete