Tuesday, December 05, 2006

Gerak buat laporan BPR terhadap PM, Dr M

Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) hari ini membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya mengagihkan kontrak kerajaan kepada anak-anak mereka.

Laporan tersebut dibuat oleh Pengerusi Gerak, Ezam Mohamed Nor kepada Penolong Penguasa, Pusat Pengurusan Maklumat dan Tatatertib BPR, Haryazi Baharom kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Dalam laporan tersebut, Ezam mendakwa, BPR mempunyai asas cukup untuk memulakan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri dalam pengagihan kontrak kerajaan di bawah Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) kepada ahli keluarga mereka.

Sebagai Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan, kata Ezam dalam laporan tersebut, Abdullah mesti dipertanggungjawabkan dan satu siasatan mesti dimulakan terhadapnya.

Gerak membuat laporan itu sebagai susulan kepada pengakuan Abdullah pada 26 Oktober lalu bahawa syarikat yang dikuasai anaknya Kamaluddin, turut menerima kontrak kerajaan.

Ezam mendakwa, pengakuan ini merupakan satu pengakuan yang serius mengenai penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri.

Dua laporan polis

“Laporan ini juga sebagai susulan kepada laporan polis yang telah dibuat Gerak pada 1 November lalu di Balai Polis Dang Wangi,” tambahnya.

Ezam turut menyerahkan dua laporan polis kepada BPR, termasuk yang mengenai perjanjian penswastaan makanan bermasak tentera di mana tender dianugerahkan secara luar biasa kepada anak Abdullah.

Laporan polis berhubung transaksi penggabungan ECM Libra dan Avenue Capital, juga turut disertakan.

“Saya yakin dokumen tersebut cukup untuk BPR memulakan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa Perdana Menteri dan keluarganya,” katanya lagi.
Beliau berkata, BPR harus melihat laporan ini dengan serius, khususnya apabila persepsi dunia terhadap jenayah rasuah di Malaysia.

Untuk itu, katanya, BPR harus memulakan siasatan dan mengheret mereka ke muka pengadilan atau mengisytiharkan mereka bersih dari sebarang amalan penyalahgunaan kuasa dan korupsi.

No comments:

Post a Comment