Begitupun pengumuman itu amat mengecewakan kerana projek pembinaan tersebut tidak diberikan secara tender terbuka tetapi diberikan kepada kontraktor secara runding terus, kata Koordinator Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Badrul Hisham Shahrin kepada Harakahdaily hari ini.
Gerak memandang serius pembaziran wang rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang teruk dan kehidupan rakyat yang terhimpit selain mempertikai isu tindakan kerajaan tidak membuka projek ini untuk dibida, kata Badrul Hisham.
"Apakah ia merupakan projek yang amat mendesak dan berkepentingan rakyat terbanyak sehingga ia perlu dipercepatkan dengan diberi secara runding terus. Siapa yang mendapat projek tersebut dan apa kriteria pemilihan kontraktor? Sudah tentu penyelewengan dan salah guna kuasa bakal berlaku,"katanya lagi.
Mengulas laporan Polis terhadap Ketua Pembangkang Malaysia, Lim Kit Siang yang dibuat oleh Majlis Angkatan Permuafakatan Ngo Malaysia (Mapan) pada 28 November 2006 di Balai Polis Dang Wangi, Gerak meminta Mapan benar-benar memahami isu sebenarnya.
Bagi Gerak, mempertikaikan pembinaan istana tersebut bukanlah bermakna ia satu tindakan anti sistem beraja.
Gerak kesal dengan kenyataan melulu Pengarah Sekretariat Mapan, Dr Izham Nayan yang menyatakan, kenyataan Lim itu seolah-olah mencerminkan sentimen anti institusi raja negara dan hak Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dipersoalkan.
"Mempersoalkan perkara ini dianggap biadab, menghina dan mencabar kewibawaan rakyat negara ini," katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.
Gerak menghormati sistem beraja di Malaysia tetapi pembinaan istana ini isu yang berlainan kerana ia melibatkan ketelusan dan integriti kerajaan dalam menguruskan projek.
Kebimbangan itu disuarakan kerana sebelum ini terlalu banyak ketirisan dalam projek-projek yang dijalankan oleh beberapa kontraktor yang dianugerah projek kerajaan termasuk dalam projek-projek mega seperti bangunan Matrade.
Mapan seharusnya memahami permasalahan sebenar dan bertindak berdasarkan rasa getir rakyat terbanyak bukan hanya bertindak melulu membodek, kata Badrul Hisham
Rakyat Malaysia amat memerlukan pertubuhan bukan kerajaan (social society movement) yang memperkasakan kedaulatan rakyat, katanya.
Sementara itu pada 28 November lalu Mapan telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Lim yang mempertikaikan pembinaan Kompleks Istana Negara baru pada sidang Dewan Rakyat Selasa lepas.
Dr Izham Nayan berkata, kenyataan Lim itu seolah-olah mencerminkan sentimen anti institusi raja negara dan hak Yang di-Pertuan Agong yang tidak boleh dipersoalkan.
Seramai 16 anggota pertubuhan bukan kerajaan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Kongres Indian Muslim Malaysia hadir ketika laporan dibuat.
Selasa lepas, persidangan Dewan Rakyat gamat apabila Lim, yang juga Ketua Pembangkang dan Anggota Parlimen Ipoh Timur, meminta kerajaan menjelaskan mengenai kelulusan pembinaan kompleks Istana Negara baru bernilai RM400 juta berhampiran Jalan Duta.
No comments:
Post a Comment