Tuesday, December 12, 2006

Kini konco Tun Mahathir mula serang 'orang kuat' PM

SEREMBAN, 12 Dis (Hrkh) - Pergeseran dalaman Umno tidak boleh dirahsiakan lagi selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan serangan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak awal tahun 2006.

Ujian demi ujian dan kritikan demi kritikan dihadapkan kepada Abdullah dari semasa ke semasa hingga akhirnya Umno dilihat kian kelabu dengan masalah dalaman yang sukar untukdiatasi meskipun Perhimpunan Agung Umno yang dikatakan sebagai medan perpaduan ahli parti sudah berlalu.

Umno 'retak menanti belah'

'Retak menanti belah', inilah ungkapan yang boleh disamakan dengan keadaan dalam Umno hari ini meskipun Dr Mahathir senyap seketika, namun konco-konconya pula kini menyerang pentadbiran orang kanan Abdullah.

Antaranya serangan peribadi ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Utama Mohamad Hassan oleh Adun Lenggeng, Dato'Ishak Ismail dalam Sidang Dun Negeri Sembilan minggu lalu.

Ishak adalah tokoh politik yang sangat dikenali di negeri ini yang dikatakan sebagai penyokong kuat kepada bekas PM kerana pembabitannya dalam program-program bersama Dr Mahathir yang dijalankan di negeri ini.

Malah Ishak juga pernah secara terbuka menyokong kritikan Dr Mahathir ke atas Abdullah yang dilaporkan oleh sebuah akhbar online satu masa lalu.

Dalam pergeseran ini bukan Khairy yang jadi topik tetapi pembabitan abang Menteri Besar, Dato' Azman Hassan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri dan pengagihan kontrak mula menjadi 'peluru' kepada Ishak untuk membedil orang kuat PM ini (Mohamad Hasan).

'Berbulu'

Harakahdaily difahamkan bahawa Ishak sememangnya 'berbulu' dengan gelagat Azman yang didakwanya sebagai 'mastermind' dalam pentadbiran kerajaan pimpinan adiknya yang hanya naik kejawatanMB kerana dikenali sebagai tokoh yang paling rapat dengan Abdullah.

Tidak cukup dengan menghentam Mohamad di dalam dewan, di luar dewan Ishak terus menerus mengecam dan mengkritik kepimpinan Mohamad, malah di satu program bersama ahli Umno di Dun Lenggeng Ishak memperlekeh corak pentadbiran Mohamad yang lemah.

Mengulas isu tersebut Pengarah Pusat Aduan Rakyat Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan (AMKNS), Badrul Hisham Shaharin, berkata seluruh rakyat negeri ini sememangnya tahu soal campur tangan keluarga Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya campur tangan itu khususnya dalam isu pengagihan projek dan hal pentadbiran yang lain.

Tandatangan MB tidak laku?

"Perkara ini sudah menjadi perbualan terbuka ramai orang tahu, bukan orang biasa, orang keADILan atau PAS yang cakap. Perkara ini diperkata orang Umno. Ramai orang Umno juga datang mengadu," katanya.

Badrul Hisham juga menyifatkan bahawa Mohammad sebagai MB yang lemah yang terpaksa bergantung kepada Azman untuk mengawal Umno Negeri Sembilan.

Malah beliau terpaksa melantik abangnya sebagai Setiausaha Umno Negeri Sembilan serta Ahli Majlis dan perbagai jawatan lagi bagi mengukuhkan kedudukannya di negeri tersebut, katanya lagi.

Salah seorang ahli Umno yang tidak mahu dikenali berkata, apa yang dibangkitkan Ishak dalam dewan ialah menifestasi protes dalaman Umno.

Ramai kontraktor yang dahulunya kuat menyokong Umno negeri dipinggirkan hanya kerana dilabel orang kuat bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad.

"Dahulu semua orang berlumba nak jumpa MB dapatkan tandatangan sokongan untuk banyak benda tapi kini dapat sign MB tak membawa makna apa–apa jika tidak dapat 'endorsement' abang MB” katanya yang juga salah seorang ketua cawangan Umno di sini.

Kecoh

Sidang DUN Negeri Sembilan kecoh dan hangat dengan isu mengenai campur tangan Azman dalam pentadbiran kerajaan negeri. Isu ini telah mengheret tiga wakil BN bertikam lidah.

Dua wakil rakyat terbabit, Adun Palong, Aziz Samsudin dan Adun Sungai Lui, Zainal Abidin Ahmad yang menegur Ishak yang didakwa menimbulkan isu yang boleh mengaibkan orang lain.

Ketika membahaskan Belanjawan 2007, Ishak meminta Mohamad menasihatkan abangnya agar tidak campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan memberi tekanan kepada pegawai awam.

"Perkara ini (memberi tekanan) berlaku kepada seorang pegawai kerajaan dalam satu majlis, baru-baru ini," katanya tanpa menyebut nama abang Menteri Besar, tetapi jelas merujuk kepada abang Menteri Besar yang juga Setiausaha Umno negeri, Azman Hasan.

Kenyataan itu mengundang reaksi daripada Aziz yang berpendapat Ishak mengaibkan Mohamad.

Zainal Abidin juga menggunakan peluang ketika sesi perbahasan untuk mengingatkan Ishak supaya mengamalkan budi bahasa dan sopan santun seperti yang disasarkan kerajaan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan kempen berbudi bahasa dan wajarlah kita semua berusaha mengamalkan budaya itu," katanya.

Seleweng

Ishak berkata, beliau tidak berniat mengaibkan sesiapa dan teguran berhubung isu abang Menteri Besar dibuat untuk kebaikan semua pihak, kerana terlalu banyak orang mengadu menganai campur tangan keluarga Menteri Besar dalam pentadbiran kerajaan.

Terdahulu sebelum ini AMKNS turut mendedahkan isu penyelewengan Dana Kemiskinan sejumlah RM4.5 juta yang didakwa digunakan untuk ubah suai rumah MB Negeri Sembilan.

Dakwaan itu dibuat berasaskan kepada laporan audit tahun 2005 yang dibentang di Parlimen.Begitupun sehingga kini Mohamad tidak pernah mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan itu atau mengakuinya.

Dapatkan orang kuat PM ini terus mencatur politik negeri untuk satu penggal pilihan raya lagi, atau Ishak akan terus mencari jalan untuk menghentam Mohamad dengan kesumat yang berterusan.

Begitupun ada yang kecewa dengan sikap berdiam diri PAS Negeri Sembilan dalam isu ini malah isu yang membabitkan kerajaan negeri serta penyelewengan Dana Kemiskinan tatkala AMKNS giat menjalankan penerangan berhubung isu tersebut.

Reaksi dari pimpinan mahupun orang yang sepatutnya tidak pernah timbul hinggakan ada ahli PAS yang menyatakan bahawa isu ini seakan tidak diketahui oleh pimpinan PAS Negeri Sembilan untuk diperjuangkan.

oleh Wan Nordin Wan Yaacob

1 comment:

  1. Abang MB nafi ganggu jabatan kerajaan negeri
    Muda Mohd Noor
    Dec 12, 06 1:40pm Saiz Huruf:
    Abang Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Azman Hassan menegaskan beliau tidak pernah mengganggu dan campurtangan dalam urusan jabatan-jabatan kerajaan di negeri itu.

    “Jabatan kerajaan Negeri Sembilan terlalu kecil untuk saya...Saya pernah menjadi Pengarah Sime Darby dan Guthrie berpuluh tahun lama nya, jadi kalau setakat jabatan kerajaan di negeri ini tak ada apa untuk saya.

    “Kalau saya masih mahu melakukan kerja-kerja pentadbiran, mengapa saya meletakkan jawatan dengan Sime Darby dan Guthrie?” soal beliau yang juga Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan ketika dihubungi hari ini.

    Azman menegaskan, segala teguran atau kritikannya terhadap jabatan-jabatan kerajaan negeri selama ini semata-mata untuk memperjuangkan suara rakyat.

    “Saya cuma membawa masalah rakyat untuk tindakan jabatan kerajaan. Salahkah saya berbuat demikian untuk rakyat dan negeri ini?”

    Beliau juga menyatakan bahawa adiknya, Datuk Mohamad Hassan (foto kanan) sama sekali tidak membenarkannya terbabit dengan urusan jabatan kerajaan.

    Azman berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail yang mendakwa beliau gemar mencampuri urusan pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan Negeri Sembilan.

    Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng membuat dakwaan tersebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri di Seremban baru-baru ini. Dakwaan tersebut menimbulkan kemarahan di kalangan beberapa Adun lain.

    “Kalau saya ganggu jabatan kerajaan, sila beri bukti. Mengapa Datuk Ishak tidak membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Umno negeri?”

    “Bagi saya Datuk Ishak bercakap di depan lain, di belakang lain. Sebenarnya tidak ada isu, tetapi beliau sengaja menimbulkannya kerana kegemarannya memburuk-burukkan orang lain,” katanya lagi.

    Azman mendakwa, program-program anjurannya terus mendapat sambutan baik dari ketua-ketua jabatan kerajaan dan ini membuktikan hubungan beliau dengan jabatan kerajaan adalah baik.

    Beliau juga berkata, Ishak memang gemar `menyerang’ pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui oleh abangnya sejak dari dulu lagi.

    “Ini bukan pertama kali Datuk Ishak cuba mengaibkan Menteri Besar kerana dalam majlis sambutan Aidilfitri di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, bulan lalu beliau juga menyindir Datuk Mohamad.

    “Memang kerja Datuk Ishak suka memalukan orang. Dia pernah cuba memalukan Tan Sri Isa Samad (bekas Menteri Besar),” dakwa beliau lagi.

    ReplyDelete