‘suka atau tak suka, apa hujah dan komen kita terhadap Abdullah Badawi, dia sudah jadi Perdana Menteri. Beliau tidak boleh kekal menjadi Perdana Menteri dan akan turun juga cepat atau lambat. Tetapi yang lebih bersaing ialah siapa bakal pengganti Abdullah itu. Kerana itu, politik hari ini ialah persaingan terang antara Najib dan Anwar. Pada masa ini ialah Anwar kelihatan begitu laju tanpa diduga. Dan Najib kelihatan agak perlahan sedikit kerana ketakutan dia (tentang kedudukan) dalam Umno . Budaya Umno telah mengongkong perjalanannya mendaki tangga itu.’
Mukaddimah
Pergolakan politik yang berlaku melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah mengimbau kembali peristiwa 10 tahun dulu. Rakyat tertanya apakah ini satu konspirasi ataupun strategi DSAI sendiri dalam rancangan mengambil alih kerajaan ?. Adakah 16 September akan menjadi realiti dengan kemelut yang melanda ini?.
Wakil Mingguan Wasilah berpeluang menemubual seorang reformis dan pemimpin muda, juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) bagi menjelaskan segala kemelut yang berlaku.
Sebelum ini isu Altantuya. Sekarang ni dah timbul pula kes liwat. Apa pendirian PKR dengan perkembangan kes liwat yang dituduh ke atas Datuk Seri Anwar?
Pertama sekali, kita jelas dalam isu ini. Benda ini berlaku ketika saat kita sebenarnya dalam peringkat proses mengambil alih negara. Dalam rundingan dengan teman-teman Ahli Parlimen dari Barisan Nasional untuk bersama dalam Pakatan membentuk kerajaan baru, tiba-tiba benda ini berlaku. Justeru itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan ini konspirasi kedua untuk halang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Konspirasi pertama juga berlaku atas dasar sama iaitu kerana ketakutan terhadap Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri.
Dalam negara hari ini, suka atau tak suka, apa hujah dan komen kita terhadap Abdullah Badawi, dia sudah jadi Perdana Menteri. Beliau tidak boleh kekal menjadi Perdana Menteri dan akan turun juga cepat atau lambat. Tetapi yang lebih bersaing ialah siapa bakal pengganti Abdullah itu. Kerana itu, politik hari ini ialah persaingan terang antara Najib dan Anwar. Pada masa ini ialah Anwar kelihatan begitu laju tanpa diduga. Dan Najib kelihatan agak perlahan sedikit kerana ketakutan dia (tentang kedudukan) dalam Umno . Budaya Umno telah mengongkong perjalanannya mendaki tangga itu.
Justeru itu, dia harus merancang sesuatu untuk memperlahankan sedikit Anwar. Mungkin konspirasi kedua (isu liwat ) lagi sekali dengan skrip yang sama seperti 1998 dan kita akui memang perancangan ini agak sedikit terganggu, namun tumpuan kita tidak terganggu. Kita akan terus fokus kepada isu sebenar.
Kedua, perkara ini terjadi untuk mengalih fokus rakyat kerana mereka faham rakyat Malaysia memang sukakan isu sensasi.
Perkara ketiga ditakuti Najib ialah jenayah-jenayah yang (mungkin) dia dan isterinya terlibat. Jika dibenarkan Anwar mendaki tangga dan duduk di tampuk kuasa, Najib bakal berdepan tindakan yang cukup hebat. Kalau Mahathir, ketakutannya cuma hilang kuasa dan (mungkin) rasuah-rasuah yang dilakukannya. Tidak mustahil cerita ini terpaksa dibuat kerana kalau tidak, dalam 2-3 minggu ini kita akan berjaya mengambil alih kerajaan.
Macam ada satu ruang pertarungan yang sangat besar. Apabila Anwar di ‘serang’ Najib tidak kelihatan dikambing-hitamkan dalam perebutan ini. Seolah-olah Anwar dengan Pak Lah yang sedang berselisih, apa komen cikgu ?
Ini bukan persoalan siapa jadi kambing hitam.Tetapi siapa yang merancang konspirasi dan siapa yang terlibat. Kita ada bukti untuk pengakuan dan kita ada cukup sumber yang diyakini bahawa Najib berada di belakang perancangan ini. Dia tidak boleh menafikan pertemuan dengan kononnya bakal saksi penting mangsa terhadap cerita kali ini. Keyakinan saya secara peribadi, bahawa dia antara yang terlibat. Kalau bukan dia yang lakukan (sekali pun) tetapi semua berlaku dalam pengetahuan dia.
Kedengaran baru-baru ini kononnya Tun Mahathir yang bertindak sebagai ‘play-maker’.Adakah wujud aspek pembalasan dendam melibatkan pihak ketiga dalam isu ini ?
Saya ada sedikit keyakinan Tun Mahathir melantik Abdullah Badawi dengan harapan (beliau) boleh mengawal Abdullah. Pak Lah dilantik kerana dia memang diketahui lemah atas dasar untuk peralihan kuasa kepada orang yang dia percaya dan yakin. Pada ketika ini dia selesa dengan Najib Tun Razak. Tetapi persoalannya ialah Mahathir juga perlu membuat banyak perkara untuk membolehkan Najib naik.
Kedua ialah jika Abdullah terus kekal di tampuk kuasa, amat bahaya kepada Umno dan Barisan Nasional. Faktornya ialah kehadiran Khairy Jamaludin lebih melemahkan Umno dan Barisan Nasional. Untuk selamatkan keadaan, Mahathir terpaksa back-up Najib dalam isu ini.
Kalau kita lihat, gelombang kebangkitan rakyat kini sangat berbeza dengan senario pada 1998 dahulu. Rakyat ramai yang terkejut dengan isu ini. Tidak seperti tahun 1998 di mana mereka berkumpul dan berhimpun.
Faktor pertama ialah dulu Anwar sedang (berada) di tampuk kuasa. Anwar jatuh daripada tempat yang tinggi ke tempat paling bawah. Ini menggalakkan orang lebih tahu kerana dia mengawal semua selaku orang nombor dua dalam negara. Tetapi hari ini dia ‘kena’ sebagai orang yang belum ada kuasa. Pembangkang yang kena, itu perkara biasa.
Kedua ialah kita perlu mengakui walaupun pahit, hari ini kita memikul beban. Dulu tiada organisasi parti, bila berlaku saja mereka terus tumpu ke rumah pusat (rumah Anwar), berbincang ke arah membentuk gerakan reformasi dan gelombang rakyat. Tetapi hari ini, selaku sifat saya sebagai reformis, saya juga ada sedikit rasa dalam hati kerana masing-masing sekarang mula sibuk dengan tugas harian.
Adakah disebabkan Anwar sudah kehilangan figur- figur yang telah mencorakkan gelombang dahulu. Ramai yang sudah menjauhkan diri daripada Anwar Ibrahim?
Mungkin ya dan mungkin tidak. Tetapi hakikatnya ialah setiap kali krisis, pemimpin muda akan muncul. Mereka muncul atas gelombang 1998-1999. Siapa kenal mereka sebelum ini?. Mereka menumpang gelombang rakyat dan saya percaya pemimpin-pemimpin muda pasti akan muncul malah beberapa pertemuan sebelum ini, saya bertemu semula dengan teman-teman dan abang-abang lama yang dulu menjadi senior saya dalam perjuangan. Mereka hadir semula kerana bagi mereka yang berjuang, tidak mahu nama mereka disebut. Mereka berjuang atas dasar kepercayaan terhadap perjuangan itu. Pada ketika Anwar dianiaya, mereka muncul untuk melihat pembelaan terhadap Anwar itu sebagai ikon. Ketika Anwar sudah terbela, mereka sambung buat kerja masing-masing. Tetapi hari ini mereka hadir untuk membentuk gelombang itu. Tetapi gelombang hari ialah ini gelombang dan tarikh yang berbeza. Sebab dulu kalau nak mengetahui maklumat terpaksa datang. Sekarang duduk depan komputer boleh buka blog. Tetapi yakinlah bahawa gelombang itu tetap ada.
Ezam nampak begitu agresif menyerang Anwar. Tidakkah ini menjejaskan persediaan PKR dan apa respon terhadap beberapa kenyataan Ezam?
Pertama sekali, saya adalah antara beberapa orang yang rapat dengan Ezam Mohd Nor dalam keADILan, kemudian dalam Gerak yang ditubuhkan pada waktu sama. Persoalannya ialah (sekarang) dia orang Umno. Dia menyerang kita ini biasalah. Tetapi, sebenarnya ialah Ezam cuba mempergunakan ruang ini untuk meyakinkan Umno. Masalah sekarang ialah masalah Umno tidak yakin dengan dia. Masalah Ezam ialah masih ada kumpulan dalam Umno yang mengatakan dia Trojan Horse.
Bagi saya, yang lebih penting hari ini ialah jika ramai memikirkan kita akan kehilangan Ezam, saya rasa itu tidak betul. Sebab akan lahir wira-wira baru dan pejuang-pejuang rakyat yang hari ini mereka berada di bawah. Dulu kita cuma ada ikon 10-20 orang pemimpin-pemimpin pemuda . Hari ini kita sudah ada di setiap-setiap negeri. Saya merasakan lebih mudah untuk bergerak sekarang ini kerana apa juga arahan dan tindakan ialah kita mampu ada beberapa ‘kepala’ untuk kita salurkan dan sistem organisasi terbentuk secara organik ini lebih kuat dan berkesan.
Dalam Pakatan Rakyat, Pas dikatakan kurang memberi respon terhadap isu dihadapi Anwar sekarang, berbeza tahun 1998, ketika Anwar dipecat Ustaz Fadzil ada dalam gelombang Anwar sendiri. Sekarang, pimpinan peringkat Pas sendiri pun nampak macam tak fokus dalam isu ini. Bagaimana PKR menangani isu ini dengan kerjasama Pas dan DAP.
Saya rasa tidak ada kurangnya sumbangan Pas pada kali ini. Cuma (berhati-hati supaya) tumpuan Pakatan Rakyat tidak teralih. Semua tumpukan tugasan masing-masing. Dulu, Datuk Seri Anwar terpaksa pergi ke Kelantan bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz dan kali ini Tuan Guru datang bertemu Anwar pula. Saya rasa itu sebagai satu penghormatan yang cukup besar. Tuan Guru datang ke Kuala Lumpur menziarahi Anwar untukmemberi semangat kekuatan malah memberi statement yang cukup kuat. Ketika sidang media pertama selepas Anwar membuat laporan polis, pimpinan kanan Pas hadir ke pejabat PKR menyatakan sokongan. Begitu juga teman-teman dari DAP yang datang mengadakan pertemuan dan perbincangan.
(Cuma sekarang ini) kita tidak mahu menumpukan sepenuhnya masa dalam kes ini. Yang kita mahu ialah semua tugasan berjalan seperti biasa. Kita tak nak bermain dalam padang yang disedia untuk perangkap kita. Kita memberi perhatian dan tidak memandang kecil isu ini . Cuma kita meneruskan agenda lain iaitu pembelaan terhadap rakyat. Tetapi (konspirasi) fitnah ini kita tidaklah side line sahaja kerana kita tidak menolak kemungkinan peristiwa zalim seperti tahun 1998 boleh berlaku balik kali ini malah mungkin lebih teruk lagi.
Dalam media arus perdana, dimainkan isu ada penglibatan atau campurtangan asing, kononnya Anwar agen kepada Amerika. Bagaimana PKR berhadapan dakwaan mereka.
Pertama sekali, ketika Anwar ditangkap semasa gerakan pelajar dahulu, dia dituduh sebagai agen Libya. Mana mungkin agen Libya boleh jadi agen Amerika? Ini bukan agen Arab Saudi tetapi ini agen Libya.
Yang kedua ialah mereka tidak campurtangan. Bagi saya, mereka mengeluarkan pendapat mereka. Kita juga sering mengeluarkan pendapat kita mengenai negara lain. Menteri kita juga sering komen. Kita hidup dalam dunia global dan era networking. Dalam era globalisasi ini mereka menyuarakan pendapat masing-masing ke arah memperbaiki dunia ini.
Adakah nak cerita pasal kedaulatan dan anti-Amerika? Kalau begitu, tutup kedutaan Amerika, putuskan hubungan dengan Amerika, hentikan bantuan keselamatan yang selama ini dikorban oleh Amerika terhadap kerajaan Malaysia.
Mengenai latihan ketenteraan bersama yang lebih mencabul kedaulatan negara, apa Abdullah Badawi nak jawab apabila kapal perang Amerika berteknologi nuklear hadir berhampiran pelabuhan kita? Perjanjian FTA dengan Amerika yang bakal menjahanamkan ekonomi dan survival peniaga-peniaga kecil? Itu lebih bahaya. Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang menjemput penjajahan dalam bentuk baru, itu lebih menjahanamkan kedaulatan negara. (Tuduhan )ini benda biasa dalam mengalihkan isu dan memburukkan lagi keadaan.
Tetapi saya dan parti juga tidak bersetuju sebarang campurtangan asing dalam pentadbiran negara ini.
Mufti Perlis, SS Dr. Mohd Asri Zainal Abidin melontarkan satu idea untuk penyelesaian iaitu akuan bersumpah untuk Saiful dan juga Anwar bagi menyelesaikan isu ini menerusi kaedah Islam. Apa pandangan cikgu?
Saya bersetuju . Tetapi sejauh mana proses perundangan yang diperkudakan oleh kerajaan boleh terhenti dengan itu?. Kalau kita lakukan, akhirnya mereka akan tuduh kita gunakan media untuk alatkan agama.
Sebenarnya kita tak perlu layan isu (liwat) ini tetapi kita berhati-hati daripada sudut tindak-balas yang akan berlaku. Kalau kita buat akuan juga dalam isu ini, mereka tetap akan kata ‘Anwar cuba peralat agama’.
Di dalam internet ada mengandaikan bahawa konspirasi ini adalah plan Anwar sendiri, mewujudkan Saiful Bukhari untuk menambat kembali keyakinan rakyat terhadap beliau selepas dua kali gagal mengota janji untuk mengambil alih kerajaan dalam persidangan Parlimen. Kononnya dia nampak 16 September macam tak boleh, jadi dia cipta satu game yang baru.
Dua kali persidangan Parlimen bukan bererti kita gagal. Memang kita tidak beri perhatian pada dua persidangan yang lepas, tetapi kita akan membuat perubahan pada persidangan kali ini dan selepas ini. Mana mungkin kita mereka-reka masalah dalam keadaan kita hampir dan ada cukup keyakinan. Baiklah, mereka mengatakan ‘ini taktik licik Anwar Ibrahim’. Adakah Khairy nak pohon maaf atas wrong statement beliau sekiranya salah dalam berpolitik?. Semua perkara ini kena dinilai dengan matang.
Sekiranya Anwar Ibrahim ditangkap lagi apabila kerajaan menggunakan segala institusinya, dan tiba-tiba disahkan Anwar Ibrahim terlibat. Bagaimana menangani isu ini?
Saya lebih gusar tangkapan bukan dari proses mahkamah. Saya ditemuduga oleh beberapa teman wartawan media internet, saya memberi amaran kepada kerajaan bahawa jangan cuba fikir kali ini ialah gelombang berdasarkan pemimpin sahaja. Tetapi ia adalah gelombang under-current rakyat yang cukup kuat sebenarnya.
Saya tidak menolak kemungkinan ISA mampu digunakan terhadap Anwar dan 10-15 orang pemimpin yang lain. Tetapi hakikatnya ialah kerajaan harus sedar. Janganlah lakukan perkara ini. Kalau mereka lakukan perkara ini juga, ini ialah perkara yang salah kerana secara perkiraan politiknya rakyat akan lebih marah, benci dan menyampah.
Ada juga pihak yang melihat terjadinya isu ini sebagai gambaran kelemahan dan kegagalan Anwar menguruskan organisasi. Bagaimana seorang yang hampir ‘ditabalkan’ menjadi Perdana Menteri tiba-tiba boleh cuai dalam aspek pemilihan seorang individu yang boleh duduk dalam pejabatnya dan didakwa sebagai pegawai khasnya (walaupun Anwar menafikan)?
Dalam Malaysiakini ada juga menyatakan bahawa ini berlaku disebabkan semua benda berubah terlalu drastik selepas pilihanraya. Ketika pilihanraya, susah kita hendak cari calon. Bukan semua orang nak jadi calon. Malah saya di Rembau pun tiada orang hendak bertanding pikul tanggungjawab. Sim, Nik Nazmi dan kakitangan Anwar Ibrahim Club (AIC) bertanding pikul tanggungjawab. Ketika pilihanraya, sukarelawan, dan pimpinan mahasiswa masuk sebagai sukarela. Kebetulan selepas pilihanraya, ramai kakitangan yang menjadi YB.
Anwar terpaksa memberi tumpuan kepada pembinaan kerajaan dan sistem. Itu kesibukan Anwar. Akhirnya dia tak sempat mengambil tahu hal pejabatnya kerana tekanan yang diberikan.
Akhirnya, Saiful diambil sebagai temporary staff (kakitangan sementara) kerana masa pilihanraya dia pernah muncul sebagai volunteer. Dia bekerja selama 3 bulan membantu Nazmi yang bertindak sebagai penyusun program. Selepas 3 bulan, ada beberapa sebab dari Biro Politik ingin menamatkan temporary staff ini. Tetapi dalam keadaan itu, terlalu licik pula permainan jahat itu masuk. Kita akui kita tidak berhati-hati atas dasar kepercayaan dan perkara ini sebenarnya telah mengajar kita.
Saya melihat perkara ini secara peribadi, saya yakin dengan fakta bahawa kita sedang bercakap soal perjuangan. Jika kita hendak mencapai perjuangan itu, kita perlu satu pasukan yang benar-benar teruji, bersih dan mampu membawa perjuangan rakyat. Ketika kita di saat hampir menang, ini ialah ujian terakhir terhadap pejuang-pejuang rakyat. Adakah kita benar-benar mampu bersatu mengenepikan segala masalah-masalah politik kecil ini?. Kita perlu tumpu terus kepada pembelaan rakyat. Kalau kita berjaya mendepani ujian terakhir ini, saya yakin dan percaya bukan setakat mampu di tampuk kuasa. Tetapi kita mampu merealisasikan perubahan yang kita janjikan kepada rakyat.
Kalau betul ini konspirasi peringkat lawan, maknanya mereka sudah berjaya menghantar Trojan mereka ke dalam Parti Keadilan. Bagaimana iktibar di peringkat Parti Keadilan sendiri ?
Pejabat Anwar Ibrahim bukan struktur parti. Saya tidak pasti dia (Saiful) ahli Parti Keadilan atau tidak. Tetapi persoalannya ialah dari segi parti, kita tak perlu rombakan besar. Cuma mungkin pembahagian tugas itu berbeza sedikit. Masing-masing akan diberi peranan untuk terus berjuang mendepani masalah-masalah yang mendatang.
Bagaimana respon daripada ‘rakan-rakan’ BN terhadap isu ini ?
Pimpinan peringkat tertinggi Barisan Nasional ramai yang terkejut kerana tidak menyangka permainan sekotor ini dimainkan semula. Malah ada yang menghantar mesej memberi semangat dan sebagainya. Tetapi yang mana menghentam, terus menghentam dan mengambil kesempatan.
Dari pimpinan peringkat bawahan Umno, kita ada bertemu dengan pimpinan-pimpinan pertengahan dan bawahan Umno. Ramai yang mula rasa kecewa kerana bagi mereka pada tahun 1998 ramai yang sedar bahawa apa yang berlaku itu ialah konspirasi. Dari persepsi mereka, mereka percaya akan fakta kedua bahawa Anwar ini ialah agen yang ingin menghancurkan negara dan sebagainya. Tetapi bab liwat ini memang mereka mengatakan ada konspirasi. Jadi keperluan untuk mempertahankan Umno dari kepentingan bangsa itu lebih besar walaupun mereka tahu tindakan melontar fitnah itu boleh menggoncang Umno. Akhirnya apabila sampai peringkat ini, mereka buat sekali lagi. Macam tiada idea lain dengan skrip yang sama.
Malah ada pemimpin Umno peringkat cawangan di Parlimen Rembau datang bertemu saya dan dalam blog saya ada didedahkan berkenaan ini. Dia kata kalau pemimpin peringkat pertengahan dan bawahan berusaha meyakinkan orang, membela rakyat, buat program-program rakyat tetapi pemimpin di atas sibuk berpolitik dan cipta konspirasi demi konspirasi, akhirnya mereka di bawah terpaksa bertempur menyatakan kebosanan.
Apakah itu petanda Umno akan musnah dalam tempoh 5 tahun sepertimana dilontarkan Datuk Zainal Keling?
Umno tidak belajar daripada sejarah. Banyak organisasi yang lama, gah dan besar tetapi mereka mempelajari sejarah. Sentiasa tidak meneruskan kelangsungan benda-benda yang salah. Contohnya benda paling besar sekali ialah Islam dan agama. Ia berkembang mengikut zaman.
Tetapi Umno ternyata tidak pernah belajar daripada sejarah. Sejarah 1998 telah meletakkan bahawa orang sekarang tidak hormat institusi polis dan kehakiman sampai sekarang. Bukan salah konstabel-konstabel polis peringkat bawahan tetapi salah pemain-pemain politik dan orang yang dekat dengan pusat kekuasaan. Jika mereka tidak pelajari dari sejarah dan meneruskan perangai ini, saya rasa selepas ini giliran Umno pula menjadi bahan sejarah.
Setelah berlaku reformasi dalam badan kehakiman, bukankah kerajaan seolah-olah sudah clear dalam soal kehakiman termasuklah berhadapan isu Anwar Ibrahim sekarang ini. Apa komen cikgu?
Bagi saya sampai ke hari ini, saya tidak meletakkan sebarang kepercayaan kepada sistem itu. Bukan kita tidak menghormati tetapi kita masih meragui.
Pertama ialah player yang sama masih berada di sana iaitu Musa Hassan dan Peguam Negara. Kedua ialah apa sebenarnya reformasi yang telah dibuat?. Bagi saya IPMC Polis tidak berlaku. Yang kita nak bentuk iaitu satu Panel Suruhanjaya Hakim tidak berlaku. BPR yang bebas tidak berlaku. Reformasi ini ialah permainan retorik BN yang saya rasa nak menipu dan memperbodohkan rakyat. Bagi saya, tidak ada sebarang reformasi pun!
Pak Lah nampak relax dan responnya bersahaja menghadapi situasi ini. Bagaimana sebagai seorang Perdana Menteri melihat kekecohan yang berlaku berlaku kepada orang nombor dua yang terlibat ini?
Pak Lah dalam pertemuan dengan wartawan pun dia mengatakan ‘tidak tahu’. Sebagai orang nombor satu, perkara yang melibatkan konspirasi mestilah dia tahu. Hujah saya ialah apa yang Pak Lah tahu?. Dia tak banyak tahu banyak perkara pun. Dan dia tenang sebab dia tak ambil tahu. Kita ditadbir oleh seorang Ketua Negara yang cukup tidak ambil kesah dan paling lemah dalam sejarah Malaysia.
Harapan dan saranan cikgu dalam menghadapi kemelut dakwaan terhadap Anwar Ibrahim ini.
Rakyat perlu bertenang, bertindaklah mengikut landasan undang-undang. Kuasa rakyat ialah penentu kekuasaan. Rakyat perlu menunjukkan kuasa yang membela dan menyuarakan hak mereka. Rakyat merupakan hakim kepada negara
No comments:
Post a Comment