Wednesday, January 12, 2011

Anjakan makna dalam konteks politik

Oleh - RAHMAN SHAARI

Agak besar jumlah pembaca, terutama kawan-kawan, yang ingin tahu tentang konsep Anjakan Makna. Saya telah membicarakan konsep ini dalam beberapa artikel tentang sastera, tetapi belum menyatakan maknanya dalam konteks politik. Sebenarnya, dalam konteks apa pun, anjakan tetap berlaku. Hal ini demikian kerana manusia hidup dalam subjektiviti.

Baru-baru ini seorang ahli politik mempersoalkan kedudukan Karpal Singh dalam hal tertentu berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ahli politik itu, Wee Choo Keong, tidak gemar mendengar alasan Karpal Singh bahawa kata-katanya tentang Anwar dalam tahun 1997 adalah ‘because he was the opposition MP’. Kata Wee, jawapan itu menunjukkan Ahli Parlimen boleh dan berhak membuat tuduhan palsu. (New Straits Times, 7 Januari 2011).

Akhbar Mingguan Malaysia 8 Januari 2011 memuatkan saranan Zulkifli Noordin, yang mewakili Anwar dalam kes liwat pertama, agar pendakwa raya melaksanakan sapina Karpal Singh.
Apa dapat kita fahami, Wee mahu Karpal Singh berkata perkara sama, tidak kira Anwar selaku timbalan perdana menteri, atau Anwar sebagai ketua pembangkang.

Wakil rakyat Wangsa Maju itu mahu ahli politik bercakap benar. Kita dapat menerima kehendak Wee, tetapi hendaklah berhati-hati, perlu bertanya: Adakah dikatakan politik jika kesemuanya benar? Kita juga ingin mengatakan jika ketika kes pertama dulu Zulkifli berada di pihak Anwar, mengapakah kes kali ini Zulkifli di pihak lain? Jawapannya mudah Makna telah beranjak.

Jika kita membuat pemeriksaan rapi, kita akan mendapati politik dipenuhi strategi, taktik, janji, serangan (libas melibas kata Marwilis Haji Yusof), isu, tuduhan dan banyak lagi.

Che Guevara, tokoh politik revusioner (Marxist) meninggalkan kata-kata berguna untuk kita memahami politik. Antara lain, 'Cruel leaders are replaced only to have new leaders turn cruel.' Tentu kata-kata itu merupakan generalisasi yang mungkin boleh silap dan Sharif Shaary ada mengatakan itu satu fallacy. Namun keseluruhannya benar apabila dianjakkan oleh seseorang yang melihatnya dari sudut disukainya dan hanya menjadi silap jika anjakan dilakukan ke sudut lain pula.

Di Malaysia, tanda-tanda bahawa kata-kata itu benar amatlah jelas. Orang yang sedang memerintah (mentadbir) Malaysia dan orang berusaha untuk menggantikannya dulu adalah kelompok sama. Walaupun ada Parti Keadilan Rakyat (PKR), kewujudannya hanyalah kerana berlaku pemecatan. Jika Anwar tidak dipecat lebih 10 tahun dulu, beliau masih orang kuat UMNO. Jadi sebarang kekurangan yang ada kini (jika berlaku perubahan) akan digantikan oleh kekurangan akan datang.

Oleh yang demikian, kata-kata Che Guevara, tokoh pujaan CheguBard itu, amat bermakna, terutama dalam konteks seperti kita hadapi kini. Itu pun jika kita anggap cruel leaders itu ada. Itulah sebabnya CheguBard menyenangi Che Guevara.

Sebarang saranan, slogan atau sindiran, secara keseluruhannya, terutama dalam arena politik, terdedah pada proses anjakan makna. Satu pihak mengecam slogan Ketuanan Melayu, dan diketengahkan pula Ketuanan Rakyat, namun, tujuannya adalah dengan harapan untuk mengikut jalan pihak yang asal juga. Kedua-duanya mencari sokongan dan kedua-dua slogan itu abstrak. Kedua-duanya bertujuan membina isu. Pihak Ketuanan Melayu muncul dalam dekad 1990an, manakala Ketuanan Rakyat adalah baru. Kedua-dua slogan itu tidak membawa makna kamus, tetapi membawa makna di landasan lain.

Jadi, ternyatalah bahawa perkara 'yang dikatakan' amat jauh beranjak daripada perkara 'yang dimaksudkan'. Dalam politik, apabila dikatakan pihak lawan itu buruk, ertinya diri yang bercakap adalah baik. Dikatakan tutup pintu, ertinya ialah buka tingkap!

Anjakan makna mungkin berlaku di atas landasan sama, dan mungkin juga di landasan lain.

Pada masa lepas, orang menganggap perjuangan untuk rakyat jangan dikaitkan dengan bunyi-bunyi gelaran besar dan panjang pada nama. Pejuang rakyat berbangga dengan panggilan ‘saudara’, di samping ada juga yang amat berbangga disebut ‘cikgu’. Pada masa ini, bukan hanya UMNO, malah PKR dan Pas juga dipimpin oleh orang-orang bergelar dan gelaran itu diberikan oleh pihak istana. Itulah sebabnya saya menganggap CheguBard ialah ‘cikgu’ yang amat sesuai dengan perjuangan rakyat. Beliau ialah anak muda yang mahu berbalik kepada rakyat.

Dalam tulisan ini saya masih mahu menegaskan di Malaysia panggilan ‘cikgu’ adalah mulia, dan termulia antara sejumlah panggilan untuk ahli politik. Panggilan lain, baik dalam UMNO atau dalam PKR, bukan tanda kemuliaan. Walaupun sukar untuk membalikkan ‘cikgu’ ke dunia politik moden, namun kemegahan nama ‘CheguBard’ akan dapat mempengaruhi yang lain. Biarpun Che Guevara adalah lain sama sekali, namun ingatlah beliau itu ialah ahli fizik, pengarang, intelektual, ahli teori dan pemimpin revolusi.

Saya tahu saranan ini tidak akan membawa rakyat dan pemimpin Malaysia ke mana-mana. Makna telah lama dianjak, malah ahli lawak dan ahli sukan mendapat kemuliaan daripada gelaran yang datang dari istana. Mereka bukan Pak atau Pakcik. Jika ahli lawak ada gelaran Datuk, maka berlaku peristiwa aneh, iaitu setelah penonton ‘ketawa senget’ kerana orang itu berlawak bodoh, penonton kena memanggilnya ‘Datuk’ pula. Ini sedang kita hadapi dan ‘nikmati’ sekarang ini.

Teori Anjakan Makna ialah teori untuk orang berfikir tentang perubahan yang berlaku dalam masyarakat, termasuk dalam sastera, politik, budaya bahkan dalam hal ehwal agama juga. Sesuatu teori dicipta kerana adanya fenomena yang berlaku di mana-mana.

Ingin saya rumuskan, bahawa mengikut Teori Anjakan Makna, pada asasnya Karpal Singh tidaklah lebih baik daripada Zulkifli Noordin. Mereka bercakap mengikut kedudukan. Kedua-duanya berdamping dengan Anwar, cuma masanya lain. Zulkifli berdamping dengan Anwar di sekitar hujung tahun 1990an dan awal dekad kemudiannya, manakala Karpal Singh pula dalam tahun 2010. Di samping itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pada asasnya tidak berbeza daripada mana-mana menteri veteran dalam UMNO. Beliau kelihatan seperti pembangkang, kerana beliau berada di tempat yang berbeza daripada tempat Datuk Seri Utama Rais Yatim dan lain-lain.

No comments:

Post a Comment