Wednesday, March 14, 2007

Rasuah makin subur.......

Oleh ROYCE CHEAH
mStar

Ekonomi negara dianggap oleh ahli-ahli perniagaan luar negara sebagai semakin "banyak unsur rasuah" tahun ini berbanding tanggapan tahun lepas, menurut satu tinjauan.Tinjauan tersebut yang diadakan setiap tahun oleh firma Political and Economic Risk Consultancy (PERC), yang berpangkalan di Hong Kong, diumumkan hari ini. Ia mengumpul pandangan 1,476 eksekutif perniagaan berasal luar negara di 13 negara di rantau ini pada Januari dan Februari.


Malaysia berada di tangga ketujuh dianggap banyak rasuah dengan mata 6.25 paling korup dalam pemeringkatan mata 0 (paling tidak korup) dan 10 (paling korup).Sewaktu dihubungi di Hong Kong, pengarah urusan PERC Robert Broadfoot berkata kedudukan Malaysia menurun sedikit berbanding indeks 2006 apabila mengutip mata 6.13 tetapi lebih baik jika dilihat indeks 2005 (6.80 mata)."Indeks tanggapan rasuah ini kami telah jalankan sejak 20 tahun, walaupun tanggapan dengan realiti adalah dua perkara berlainan, tetapi dalam soal rasuah, ia menjadi sangat penting," katanya.


"Syarikat-syarikat selalu membuat keputusan pelaburan mereka berdasarkan tanggapan, bukan kenyataan sebenar. Jika sesebuah syarikat melihat situasi di sesebuah negara itu sukar, ia mungkin tidak akan melabur," katanya. Menurut Broadfoot, mereka yang ditinjau pandangan dalam indeks ini termasuklah pengurus-pengurus syarikat dan bank multinasional.Dalam indeks tahun ini, Filipina dianggap ekonomi yang paling korup dengan mata 9.40, diikuti Thailand dan Indonesia, kedua-duanya 8.03. Kedudukan Malaysia ini membimbangkan presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Tan Sri Ramon Navaratnam walaupun beliau sedar indeks tanggapan tidaklah sempurna.

"Bagaimanapun tinjauan ini petunjuk terbaik bagaimana orang berfikir dan menilai rasuah di sesebuah negara," katanya.

"Saya tidak akan mengabaikan tinjauan ini sebagai tanggapan semata-mata kerana tanggapan yang konsisten mencerminkan kenyataan sebenar," tambahnya.

No comments:

Post a Comment