Wednesday, August 25, 2010

Usaha membakar sentimen menjadi punca simbahan cat

23 Ogos 2010, negara digemparkan dengan kejadian simbahan cat dan balingan botol arak ke surau Taman Pulai Impian, Sikamat, Seremban. Selepas mengeluarkan kecaman terhadap pelaku, mendesak polis bertindak segera dan meminta semua rakyat bertenang Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan segera memanggil rapat aktivisnya 5.00 petang itu. Hasil rapat umum itu SAMM telah mengambil ketetapan sesiapa pun pelaku ia harus dihukum dan niat mereka untuk mewujudkan suasana kurang senang dikalangan rakyat harus dimatikan segera. SAMM juga sepakat untuk tampil dengan sekurang kurangnya 10 aktivis dari perbagai latar kaum dan agama untuk sama bergotong royong memperbaiki kerosakan.

24 Ogos 2010, pagi, wakil SAMM telah pergi dan cuba bertemu dengan jawatankuasa surau dan menyampaikan niat tersebut. Serentak dengan itu juga Ketua Pemuda Umno Malaysia juga mengikuti langkah SAMM dengan turut membuat pengumuman Umno tawar gotong royong bersih surau dari Kuala Lumpur. (klik sini) Hari yang sama che'GuBard dan YB Taufek (ADUN Paroi) bersama beberapa teman aktivis SAMM datang ke surau tersebut untuk solat Asar berjemaah dan bertemu dengan Jawatankuasa Surau.

Selepas solat Asar kami bertemu dengan Ust. Mohd Hasbi, Pengerusi Surau Taman Pulai Impian. Surau yang baru digunakan bermula ramadhan ini, masih dalam proses pembinaan. Ia dibina tanpa bantuan khusus mana - mana pihak termasuk kerajaan negeri. Kontraktor masih bekerja di kawasan surau khususnya pembinaan pagar.

Khuatir dengan kesan kerosakan yang mungkin boleh menimbulkan suasana yang lebih buruk dan negatif maka tindakan segera diambil. Ketika che'GuBard sampai sebelum Asar 24 Ogos 2010, semua kesan cat telah dibersihkan dan dinding yang terkena kesan sudah dicat dengan cat 'undercoat'. Kontraktor yang memang masih berada di kawasan surau yang melakukan kerja tersebut. Tindakan pantas jawatankuasa ini harus dipuji.

Maka wang yang SAMM sudah asingkan bagi membeli cat dan peralatan itu terus disumbangkan kepada pihak surau.

Ketika itu juga 4 orang remaja berbangsa Cina berumur 16 - 18 tahun telah ditahan oleh pihak polis. 4 remaja ini ditahan mungkin kerana mereka disyaki atas alasan terlibat dengan satu insiden salah faham berhampiran surau tersebut.

Ada sebuah taman permainan / rekreasi berdekatan dengan surau tersebut. Taman ini menjadi tempat melepak remaja, termasuk remaja yang datang dari kawasan luar sejauh Rasah.

Pada sehari sebelum kejadian lempar cat tersebut, telah berlaku salah faham. 4 remaja cina telah datang dan bertengkar dengan ramaja atau lebih tepat lagi kanak - kanak Melayu tempat itu. Penrtengkaran juga libatkan perbuatan saling membaling mercun. Remaja cina tersebut menurut saksi telah mengeluarkan kayu dari kenderaan mereka. Orang ramai yang berada di surau melihat kejadian tersebut dan ada yang keluar. Menurut saksi lagi walaupun ditegur oleh orang yang lebih tua terdiri dari jemaah surau yang bersedia untuk menunaikan solat tarawikh suspek dikatakan bercakap kasar. Lantas untuk mengelakkan kejadian tak di ingini ramai di situ sedikit kasar dan 'menghalau' kumpulan suspek. Kumpulan remaja tersebut beredar dengan mengeluarkan kata - kata seolah tak puas hati dan mengugut.

Remaja ini telah menjadi suspek utama ditahan di rumah masing - masing. Polis mendapat perintah reman 4 hari. Menjadi sedikit peroalan kenapa perintah reman yang sangat lama, ini bukan kes yang kompleks sangat ?

Setelah meneliti setakat maklumat yang diperolehi cheGuBard berpendapat ini bukan kes terpencil. Kejadian ini jika benar semua maklumat dan jika benar remaja tersebut melakukan perbuatan khianat itu maka ia membuktikan wujud semangat negatif di tengah masyarakat yang mampu menjadi bom jangka.

Ini semua berlaku kerana regim dan media sering menghangatkan isu perkauman dan hampir semua masalah dilihat dari aspek persaingan kaum dan agama.

Kejadian ini seharusnya menginsafkan kita semua dan usaha serius dalam menyatu padukan rakyat harus dilakukan secara serius, terancang dan bersungguh - sungguh.

Anak - anak itu berumur 16 tahun, nampaknya hasad perkauman semakin menebal di era 1 Malaysia.

No comments:

Post a Comment